Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19

Sentuhan segar 'Sambutlah Kasih' selepas dua dekad

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Sentuhan segar 'Sambutlah Kasih' selepas dua dekad

Nov 17, 2019 | 05:30 AM



Di kala anggota kumpulan rok legenda Singapura, Lovehunters, sibuk memikirkan arah tuju dalam kegawatan ekonomi, lagu ikonik ‘Sambutlah Kasih’ dihasilkan. Meskipun hanya diedarkan di Singapura dan mula popular di seberang Tambak sejak munculnya kemudahan YouTube, ia adalah lagu dengan versi saduran paling banyak di wadah itu. Baru-baru ini, sempena ulang tahun ke-20 ‘Sambutlah Kasih’, anggota Lovehunters, Moliano Rasmadi, merancang merakamnya semula dengan versi penyanyi era masa kini – Kai Nizam, Aweera dan Azlan Typewriter. Wartawan HARYANI ISMAIL (haryani@sph.com.sg) melaporkan.



TIDAK semua lagu hit era silam yang mampu dipanggil malar segar hingga ke hari ini dicipta tatkala artisnya berada di puncak jaya.



Sambutlah Kasih yang didendangkan band rok legenda Singapura, Lovehunters, merupakan karya seni yang tercetus dalam kegawatan ekonomi serantau sekitar 1999.



Gitaris kumpulan itu, Moliano Rasmadi, malahan menyifatkan tempoh perit itu sebagai yang banyak meninggalkan kesan dan terpahat di ingatan.



"Tidak ada satu label pun nakkan kami. Betul-betul tak laku dan mencuba nasib dari satu label ke satu label lain.



"Suasana ekonomi serantau cukup gawat. Banyak sektor terjejas termasuk bidang hiburan. Kebanyakan label rakaman melepaskan satu demi satu artisnya. Betul juga... tak 'kan dah lepaskan mereka, nak ambil kita pula," jelasnya membuka cerita di pejabat Berita Minggu baru-baru ini.



Namun, sejarah silam selama dua dekad itu tidak terkubur begitu sahaja ditelan masa.



Di atas saranan sahabatnya, Olly Ismail, juga seorang pemuzik, Sambutlah Kasih diberi sentuhan baru oleh Moliano.



Olly ingin melihat satu lagi karya agung diabadikan dengan suntikan muzik dan vokal segar sepertimana lagu 'berhantu' Search, Isabella, dirakam semula Amy, Datuk Jamal Abdillah, Saleem dan Zamani.



Lagu dendangan asal vokalis Lovehunters, Yazid Abu Bakar, dirakam semula penyanyi Singapura, Kai Nizam bersama dua vokalis 'power' Malaysia, Azlan Typewriter dan Aweera, sekitar September lalu.



Rakaman di studio NAR Records, Kuala Lumpur, hasil kerjasama Life Records dan Moluv Music itu turut melibatkan iringan muzik Moliano In Rock dan pemain dram Lovehunters, Saharudin Jalil.



Yang menariknya, Sambutlah Kasih, ciptaan asal wartawan Malaysia, Ruslan Mamat, terhasil dalam tempoh lima minit sahaja.



Memandangkan ia hanya diedarkan di Singapura ketika itu, ia hanya tular di Malaysia sejak beberapa tahun lalu dek ledakan YouTube dengan klip video asalnya sudah ditonton sebanyak 42 juta kali.



Menyingkap semula perjalanan menarik terciptanya Sambutlah Kasih, Moliano berkata:



"Pada waktu itu, kami sedang menyiapkan album penuh Kembali Lovehunters. Sebanyak sembilan lagu sudah dirakam tetapi kami tidak mempunyai karya agung yang boleh dipanggil 'killer song' bagi memikat hati pendengar muzik.



"Dalam perjalanan van kami dari Bandung ke Garut, kami berhenti seketika untuk mandi mata air panas.



"Berbekalkan gitar tong, melodi Sambutlah Kasih tercetus kerana penangan lagu Search, Fantasia Bulan Madu," cerita Moliano.



Saharudin yang menemani Moliano dalam wawancara ini pula menambah mereka bagaikan tidak menyangka lagu ini tercipta hanya dalam masa lima minit sahaja.



"Sampai ke hari ini, saya memang kagum dengan kebolehan Ruslan yang menggunakan pelbagai nama pena bagi lagu-lagu hit-nya.



"Beliau memang berkebolehan besar meskipun salah satu telinganya tidak mampu mendengar dengan baik," kata Saharudin yang berbesar hati diundang memberi pukulan dram bertenaganya setelah sekian lama menggantung kayu dram.



Moliano menambah:



"Apa yang membuatkan setiap lagu Ruslan 'menjadi' dan 'cantik' lirik bahasa Melayunya dan struktur lagunya adalah kerana beliau adalah Melayu sejati yang hanya dengar lagu Melayu. Lagu Inggeris tak 'main'."



Meskipun payah memasarkan Sambutlah Kasih ke luar Singapura, Lovehunters tidak berputus asa.



"Lega dan gembira juga apabila setelah sekian lama terdengar lagu ini dimainkan di pusat beli-belah di Johor.



"Walaupun suatu ketika itu, keserasian antara kami bertiga dalam Lovehunters sukar dibina semula sebagai sebuah kumpulan, kami bersyukur Sambutlah Kasih masih boleh 'bernafas' lagi dengan susunan baru tahun ini.



"Kami mengambil masa dua tahun membuat perancangan bagi rakaman ini. Ingin sekali saya dengar gabungan suara hebat era masa kini. Awalnya, nak cari seorang wakil bagi setiap negara Nusantara - Singapura, Malaysia dan Indonesia.



"Di atas usulan Pengarah Urusan Life Records, Osman Ariffin, kami hanya tumpukan pada seorang bakat Singapura dan dua bakat Malaysia. Ada isu logistik yang perlu diambil kira," ujar Moliano.



Beliau dan Olly akui begitu sukar mencari bakat Singapura yang boleh berkorban masa dan tenaga serta komited dengan jadual rakaman yang memerlukan mereka ke Kuala Lumpur.



Suara Aweera dan Azlan pula memang tidak dapat dinafikan sesuai, ditambah dengan Moliano memang meminati gaya persembahan mereka.



"Mulanya ingin dapatkan bakat Singapura yang ada nama tetapi telah lama tidak menyanyi. Tapi yang empunya diri belum bersedia lagi.



"Kemudian ada yang kerap beri alasan remeh apabila diajak berlatih. Ada yang memiliki pakej suara dan wajah tetapi berdolak-dalik pula.



"Kami kemudian mengambil keputusan mengambil bakat 'underdog' yang jarang diketengahkan tetapi memiliki suara rok yang mantap.



"Sewaktu buat rakaman rancangan Hari Raya bagi siaran media sosial Voz Management, saya ternampak Kai Nizam nyanyi lagu Awie.



"Walaupun roker ni macam Mat Kental sebab rambutnya dipotong kemas dan rapi (tidak seperti kebanyakan roker berambut panjang), saya yakin beliau adalah bakat muda berkebolehan besar.



"Kerana Kai janji akan berikan jiwanya 100 peratus bagi projek ini malah mengorbankan tugasnya sebagai pemandu bas untuk ikuti kami dalam perjalanan seni ini, memanglah rezekinya dan aturan Tuhan yang tidak mampu kami nafikan," jelas Moliano.



Penstriman langsung Sambutlah Kasih boleh dinikmati bersama beberapa lagu lain menerusi laman Coverline TV pada 9.30 malam, 22 November ini.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >