Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:06
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19

Sertai Kapal Belia, belajar budaya lain

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Sertai Kapal Belia, belajar budaya lain

28 pemimpin belia Singapura antara peserta Program Kapal Belia Asia Tenggara bagi pelayaran selama 51 hari
Oct 30, 2019 | 05:30 AM



PERTEMUAN tidak diduga antara Cik Sri Nur Asma-ul Husna Mohd Hussain dengan seorang warga Indonesia di Brunei dua tahun lalu membawa kepada keinginan menyertai Program Kapal Belia Asia Tenggara (SSEAYP) tahun ini.



Tatkala itu, dia dan wanita tersebut mengembara secara solo dan kebetulan bertemu apabila penerbangan mereka ke Bali terkandas dan terpaksa dibatalkan kerana ledakan gunung berapi Gunung Agung.



Sebagaimana jelas Cik Husna, 22 tahun, konsultan kewangan dan mahasiswa ijazah kejuruteraan sambilan di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS):



"Saya memang suka mengembara untuk meneroka dunia. Pada masa yang sama, saya gemar bertemu kawan baru dan mempelajari tentang latar belakang budaya serta gaya hidup mereka.



"Saya juga aktif dalam dunia kemasyarakatan belia melalui kerja sukarela bersama Persatuan Belia Bedok untuk Insan Kurang Upaya (BYSD). Mereka juga mengamanahkan saya dengan peranan sebagai pemimpin belia.



"Apabila penerbangan saya ke Bali terkandas, saya dan rakan wanita Indonesia itu bersemangat berbincang tentang pengalaman kami. DIa beritahu saya tentang SSEAYP yang disertainya beberapa tahun lalu. Menurutnya, program itu membawa banyak pengalaman manis buatnya dalam mengenali budaya asing dan menyumbang kepada masyarakat."



Awal tahun ini, Cik Husna lebih bersyukur kerana ditaja BYSD bagi menyertai SSEAYP.



Dia adalah antara 28 pemimpin belia Singapura yang terpilih bagi menyertai pelayaran 51 hari di atas kapal Nippon Maru.



Delegasi Singapura dipimpin Ketua Nasional, Encik Chairul Fahmy Hussaini, 46 tahun, yang juga Penolong Kepada Editor Berita Harian.



Keseluruhannya, 300 pemimpin belia dari rantau Asean dan Jepun menyertai SSEAYP yang dianjurkan Pejabat Kabinet Jepun dengan sokongan pemerintah dan kerajaan negara-negara di Asia Tenggara.



Pelayaran sudah dimulakan pada 24 Oktober lalu hingga 13 Disember ini.



Peserta yang disifatkan sebagai duta negara generasi mendatang berpeluang membina semangat setia kawan di samping meninjau isu, cabaran dan peluang sosioekonomi di rantau ini.



Cik Siti Nabihah Abu Talib, 26 tahun, tutor Biologi sambilan dan penyelaras acara secara bebas pula teruja dengan topik pendidikan yang bakal dibincangkan dengan peserta SSEAYP lain.



"Saya ingin menyelongkar sistem pendidikan Singapura dan landskap pendidikan di sini bagi penyampaian saya.



"Justeru, saya perlu lengkapi diri saya dengan pengetahuan tentang pendidikan prasekolah hingga pembelajaran sepanjang hayat bagi pekerja dewasa.



"Bagaimanakah sistem pendidikan di sini yang konvensional tetapi kreatif dapat diperbaiki? Bagaimana pula negara lain membangun sektor pendidikan mereka?



"Harapan saya agar dengan perkongsian idea ini, saya dapat membawa pulang ilmu bagi memperkasakan bidang kerja saya sebagai seorang tutor," katanya lagi.



Berbekalkan pengalaman teater di kumpulan penggiat teater remaja Buds Youth Theatre, Cik Wan Sarah Masputri Wan Zin, 22 tahun, mantan pendidik pelajar berkeperluan khas, diberikan peranan sebagai pengarah konsert kebudayaan yang disertai peserta Singapura sebelum mereka berangkat ke Jepun.



"Ini adalah kali pertama saya mengarah sebuah konsert dengan sketsa dan pelbagai persembahan budaya.



"Daya tarikan konsert ini memberi gambaran tentang apa yang dilalui belia, baik dalam alam pekerjaan, pengajian di institusi tertentu mahupun sewaktu Perkhidmatan Negara (NS).



"Banyak yang belia fikirkan daripada perihal kerja, pelajaran, perkahwinan, membina keluarga mahupun ehwal Singapura," katanya yang menyertai pelayaran ini bagi mencari diri dan arah tujuannya.



Cik Nurul Baizura Abdul Rashid, 24 tahun, mahasiswa kursus sambilan keselamatan siber di Universiti Nasional Singapura (NUS) juga teruja dapat mengetengahkan usaha Singapura dalam pemuliharaan air, tempat-tempat menarik di negara ini dan bahasa Singlish dalam pameran kebudayaan.



"Di Jepun, kami akan mengagihkan kudapan seperti kacang putih dan menyediakan khidmat lukisan inai sebagai satu paparan budaya," katanya lagi.



Encik Muhammad Danial Abdul Rahman, 19 tahun, pelajar Diploma Seni Bunyian dari Politeknik Republic (RP) pula amat meminati isu sekitaran.



Lantaran itu, dia teruja membincangkan tentang cara masyarakat Singapura menangani perubahan iklim yang boleh menjejas sekitaran secara negatif.



Cik Murni Nadra Abdul Rahim, 25 tahun, pengurus (program dan kerjasama) di Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) Central, pula berkata dia antara lain ingin berbincang tentang usaha melibatkan golongan berkeperluan khas agar dapat diajak sama dalam kegiatan masyarakat umum.



"Dalam kesibukan bekerja, saya kurang aktif menawarkan khidmat sukarela. Apabila diterima bagi SSEAYP, saya melihatnya sebagai satu cara saya dapat mengupas, berbincang dan mendengar pandangan masyarakat lain tentang nilai-nilai yang menjadi pegangan hidup dalam mengatasi cabaran sekeliling," ujarnya.




"Saya bersyukur diberikan peluang memimpin 28 pemimpin belia berkebolehan dan berbakat. Sepanjang latihan empat bulan ini, mereka menonjolkan ciri-ciri kepimpinan, daya kerja dan disiplin yang baik, sama ada secara individu atau berkumpulan. Selama 51 hari dalam program yang menawarkan peluang pelayaran ke lima negara termasuk Singapura, belia ini berkesempatan memainkan peranan sebagai duta muda dalam aktiviti darmawisata, di samping terlibat dalam sesi seminar, kegiatan kebudayaan, acara sukan selain bermalam di rumah keluarga angkat selama dua malam di negara-negara yang dikunjungi - Jepun, Vietnam, Malaysia dan Myanmar. Sebagai Ketua Nasional, saya akan berusaha sebaik mungkin dalam memastikan delegasi kami melaksanakan segala yang diamanahkan dengan usaha terbaik dan mengharumkan nama negara di persada antarabangsa."
- Ketua Nasional Program Kapal Belia Asia Tenggara (SSEAYP), Encik Chairul Fahmy Hussaini.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >