BAHAS 4PM

SJI takluki bahas 4PM, Aljunied raih tempat kedua

SEKOLAH St Joseph's Institution (SJI) berjaya merampas takhta kejuaraan daripada Madrasah Aljunied Al-Islamiah dalam Bahas Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) 2019 pada 8 April lalu.

Ini sekaligus melenyapkan harapan Madrasah Aljunied mahu membawa pulang piala juara bagi tiga tahun berturut-turut.

Peserta Madrasah Aljunied merupakan pencadang mauduk Ekonomi Dijulang, Sejarah Dilupakan dalam pertandingan bahas peringkat pascamenengah itu.

Meskipun kecewa, peserta madrasah - Abdul Hakam Nor Razak, 18 tahun; Muhammad Akmal Sufyan Chua Muhammad Safwan Chua 17 tahun; dan Danniesh Asyraff Mohsain, 18 tahun - menerima kekalahan tersebut dengan hati terbuka dan akur lawan mereka pemenang selayaknya.

Danniesh Asyraff berkata mereka sudah mencuba yang terbaik.

"Semuanya sudah ditakdirkan. Kami reda dengan keputusan ini," ujarnya.

Mantan Setiausaha Parlimen Kanan, Encik Yatiman Yusof, yang juga ketua penilai peringkat akhir, berkata kedua-dua kumpulan mengetengahkan hujah yang baik.

Namun, ada beberapa kekurangan dalam hujah Madrasah Aljunied yang memberi kelebihan kepada pihak penyanggah.

"Mereka (Madrasah Aljunied) tidak begitu jelas dalam definisi mengenai aspek sejarah apa yang dilupakan," ujarnya.

Menyentuh perihal kejayaan SJI, yang kali pertama menyertai pertandingan bahas 4PM itu, Encik Yatiman menerangkan hal tersebut berdasarkan tiga faktor.

"Pertama, strategi mereka jelas dan mereka berhujah sebagai pasukan dengan amat baik.

"Kedua, idea, hujah yang ada itu dikongsi oleh semua pembahas.

"Ketiga mereka dapat mematahkan hujah lawan dan melebarkan bidang perbahasan," katanya.

Ketika ditemui selepas perbahasan, pasukan SJI, yang dianggotai oleh pelajar tahun enam - Mohd Rizq Irfandi, Kamal Ashraf dan Nadim Nazri, kesemuanya 18 tahun - berkata mereka rasa rendah hati atas kejayaan tersebut.

Antara mereka, hanya Kamal yang pernah menyertai bahas. Itu pun dalam bahasa Inggeris, ujarnya.

"Selepas setiap pusingan, kami duduk dan nilaikan persembahan kami dan juga persembahan lawan. Kami belajar daripada kekuatan dan kekurangan masing-masing.

"Kami tahu banyak yang perlu kami belajar daripada segi gaya perbahasan dalam bahasa Melayu.

"Sepanjang pertandingan, kami perlahan-lahan berkembang sebagai sebuah pasukan," ujar Kamal.

Sebagai persiapan, mereka sering berlatih dengan rakan dan guru.

Strategi mereka, menurut Mohd Rizq, yang turut ditabal sebagai pembahas terbaik peringkat akhir dan keseluruhan pertandingan (laporan bawah), adalah menyusun hujah berdasarkan apa yang dikatakan pihak pencadang.

"Kami juga saling membantu dengan celahan dan bidasan," ujarnya.

Sehubungan itu, kata Nadim, lebih penting ialah beliau dan rakan kini lebih fasih berbahasa Melayu.

"Banyak yang kami dapat hasil pengalaman bahas ini, lebih daripada apa yang kami jangkakan," katanya.

Bahas 4PM kali ini dihadiri tamu terhormat, Setiausaha Parlimen Kanan (Kementerian Ehwal Dalam Negeri merangkap Kementerian Kesihatan), Encik Amrin Amin.

  • Nenie Kairuman ialah penulis sambilan.