SRIKANDI Siti Nurhaliza MUNCUL SEMULA

Tidak mudah kembali ke persada nyanyian setelah 'menggantung' mikrofon buat seketika selepas melahirkan cahaya mata pertama. Minda dan jiwa perlu gagah berdepan dengan pelbagai cabaran baru meskipun penyanyi tersohor Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza, membawa pengalaman 23 tahun bersamanya. Namun, Siti, yang mencecah usia 40 tahun pada 11 Januari lalu dan kini berstatus legenda muzik Melayu, kekal bertenaga dan dinamis dalam beberapa projek terkininya termasuk konsert jelajah Datuk Seri Siti Nurhaliza On Tour ke tiga negara Nusantara termasuk Singapura. Apakah rahsia Siti serta pandangannya tentang kehidupan, dunia seni, perniagaan dan hidup berkeluarga? Wartawan HARYANI ISMAIL (haryani@sph.com.sg) melaporkan dalam wawancara eksklusif di Hotel Parkroyal On Beach Road, baru-baru ini.

BAGAIKAN penyanyi baru yang belajar bertatih dan perlu memulakan latihan vokal dan stamina secara intensif.

Segalanya bermula dari sifar dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza, 40 tahun, tidak mampu memperlekeh amanahnya agar kembali segar dan bertenaga di sisi peminat selepas kelahiran cahaya mata, Siti Aafiyah Khalid, sekitar Mac tahun lalu.

Terasa desakan agar lebih bersiap sedia dalam industri hiburan yang pesat berubah dan menuntutnya menghasilkan lagu baru seperti Comel Pipi Merah dan Anta Permana.

Malah lebih terasa perlunya menjaga suara dan tahap kecergasan apabila ditawarkan syarikat Shiraz Projects agar mengadakan konsert jelajah di tiga negara Nusantara, Singapura, Malaysia dan Indonesia serta peringkat antarabangsa di Royal Albert Hall, London.

Di sebalik pengalaman 23 tahun yang dimiliki dalam bidang seni suara, penyanyi tersohor Malaysia Siti masih dahagakan ilmu persembahan dan nyanyian yang ingin ditimba hari demi hari.

Dalam pertemuan bersama Berita Harian di Hotel Parkroyal On Beach Road sehari sebelum konsertnya di Singapore Expo, Siti berkata:

"Saya ambil tawaran konsert di empat negara sebagai mencabar diri agar muncul semula dalam industri muzik dengan suasana yang lebih dinamis.

"Selepas melahirkan Aafiyah menerusi pembedahan 'Caesarian', saya perlu hati-hati menjaga luka pembedahan.

"Namun, demi nak kembali lagi dalam industri, saya menjalani latihan stamina intensif di gim, berbasikal dengan suami dan menggunakan sut gelombang elektrik bagi menambah keberkesanan proses senaman itu. Latihan vokal dan menari pun tak putus-putus.

"Saya perlu ulang balik apa yang saya pernah buat dahulu, macam baru-baru nak jadi artis. Ia memang sesi pening kepala yang amat sangat. Nak berlatih joget inang, zapin dan samrah tanpa henti. Ia tidak mudah."

Bintang asal Kuala Lipis, Pahang, yang dilahirkan pada 11 Januari 1979 itu terharu apabila lagu-lagu barunya diterima baik. Peluang bekerjasama dengan artis lain pula sering diterima dengan hati terbuka.

Dalam berdepan dengan saingan sengit artis YouTube mahupun aplikasi karaoke Smule muncul bagai cendawan selepas hujan, tiada yang perlu digentarkan sebab lagu-lagu Siti tetap menarik jutaan tontonan.

Comel Pipi Merah (buat Aafiyah), misalnya, disaksikan sebanyak 4.1 juta kali di YouTube. Cinta Syurga yang menyatukan suaranya dengan bintang popular masa kini, Khai Bahar, menarik 2.9 juta tontonan manakala Anta Permana yang dicipta dua penggubah hebat, Ezra Kong dan Hael Husaini, pula mencecah tontonan 12.3 juta kali.

"Sekarang ini memang era kolaborasi dengan penyanyi masa kini. Kerjasama dengan Khai Bahar misalnya amat dialu-alukan.

"Saya senang dengan anak muda yang mempunyai sikap positif, rajin bertanya dan ingin belajar sepertinya. Kalau nak maju, harus ada sikap ingin kenali diri sendiri dan perbaiki segala kekurangan diri," ujarnya yang selesa bekerjasama dengan bintang Indonesia juga.

Nama besar dalam industri muzik Indonesia kini, Tulus, turut menjadi pilihan Siti dalam konsert jelajahnya.

"Genre muzik kami berbeza tetapi saya sukakan ketulusannya, vokalnya dan sikap rendah hatinya," katanya lagi.

Namun lumrah dunia. Yang berjaya di mata ramai tetap akan ada kelompok yang tidak menyenanginya.

Di sebalik ribuan yang memuji suara emas dan budi pekerti Siti, tidak kurang juga yang melontar kata-kata menyinggungkan khususnya di media sosial.

Dari detik awal beliau bertapak dalam industri seni setelah bergelar juara peraduan adu bakat Bintang HMI pada usia 16 tahun hinggalah ke detik beliau kini bergelar legenda pada usia 40 tahun, tak putus-putus orang yang mengkritik gaya fesyennya.

Malah, masyarakat siber atau 'netizen' termasuk dalam kalangan pereka fesyen muda begitu lantang mengecam pakaiannya dalam konsert jelajah di tiga negara Nusantara, Datuk Seri Siti Nurhaliza On Tour, yang bermula di Jakarta, Indonesia, lewat bulan lalu.

Kata-kata 'baju obit', 'kurang anggun' atau 'ketinggalan zaman' dilontarkan sewenang-wenangnya oleh mereka yang dianggap peminat setia Siti sebagai 'menulis tanpa insurance'.

Siti tidak lagi terguris dengan kecaman tentang fesyen atau penampilannya.

Dalam wawancara setengah jam itu, beliau banyak berkongsi mengapa beliau lebih pentingkan sikap menghargai usaha dan sumbangan orang pada kerjayanya daripada membiarkan dirinya hilang fokus kerana kritikan mereka yang hanya sedap cakap tetapi kurang memahami situasi.

"Sudah lebih dua dekad saya menyanyi secara profesional. Sudah menjadi perkara lumrah akan ada yang menilai saya dari hujung rambut sampai hujung kaki.

"Kalau mereka tak nilai sikap, pakaian saya pula jadi mangsa. Kalau tak keterlaluan, saya akan diamkan diri dan biarkan komen mereka itu berlalu pergi.

"Tapi kalau dah melebih, saya kena fahamkan mereka, 'bukan mudah nak rancang fesyen bagi sesebuah konsert. Tidak semudah saya beritahu pereka fesyen, You buat baju I macam gini okey?"

Menurut Siti, pasukannya meliputi penganjur Shiraz Projects, akan mengadakan sesi perbincangan sebelum dan selepas konsert.

"Segala busana yang diberi kepada saya melalui tapisan demi tapisan. Ia mestilah yang senang nak dipakai dan disalin sebab saya perlu beralih dari satu segmen ke segmen lain dengan fesyen berbeza.

"Bagi saya, tak apalah. Kita puas hati. Apa masalahnya? Saya selesa dengan busana yang buat saya yakin di pentas. Orang tak suka, tak apa. Janji saya suka. Keutamaan saya adalah agar pakaian itu tidak terdedah dan sesuai dengan penampilan saya yang bertudung kini.

"Setiap orang ada imej sendiri. Ini Siti Nurhaliza. Tak bolehlah nak saya jadi penyanyi lain. Saya hargai usaha setiap pereka fesyen yang menyumbang pada konsert saya. Setiap daripada mereka ada kelebihan, menyenangkan saya untuk bekerjasama dengan mereka.

"Maka, terimalah Siti Nurhaliza seadanya. Itulah saya," jelasnya penuh ketulusan dan ketegasan.

Rasa sebak pelantun lagu popular Purnama Merindu dan Percayalah itu memang payah dibendung.

Di penghujung konsert di Singapura yang merupakan usaha beliau muncul semula dalam industri setelah melahirkan cahaya mata yang dinanti-nanti tahun lalu, titisan air mata deras membasahi pipi.

Pengurusnya, Rozi Abdul Razak, yang melampirkan foto Siti menangis di Instagram, menulis:

"Di sebalik puji, dia diuji. Kita selalu membaca paparan, menafsir, melontar kata-kata, mengirimkan jabat sahabat dan menabur kata kesat, menyiram pada api marak, menambah pada berita tanpa sumber benar, menokok pada cerita reka, tajam menghujah tidak puas.

"Siti juga manusia macam kita. Cerita layar sebenarnya, hanya dia tahu. Jika dipinjamkan satu hari kepada kita (menjalani hidup seperti Siti), entahkan mampu entahkan tidak meneruskan perjalanan."


APA KATA SITI

AAFIYAH TIDAK DICALONKAN SEBAGAI IKON MEDIA SOSIAL

Aafiyah masih terlalu kecil. Ayahnya begitu prihatinkan keadaannya. Maka, saya dan suami sepakat tidak mahu dia terlalu terdedah pada pemerhatian awam. Saya akan muatnaikkan gambar dan videonya bila-bila perlu, taklah sampai hari-hari. Kami belum bersedia lagi untuk meletakkannya dalam sebarang kategori pertandingan seperti Anugerah Si Cilik MeleTOP. Biarlah dahulu.

TYA ARIFIN: MENANTU & IDOLA...

Walaupun Tya lebih muda daripada saya, saya melihatnya sebagai idola dalam hal penjagaan anak. Tya memang dahulukan anaknya, Arif, dalam apa jua perkara. Beliau beri saya inspirasi menjaga anak, menyusukan anak dan membimbing anak sampai jadi cerdik. Lihatlah Arif, happy baby yang ramai pengikutnya walau masih kecil. Saya kagum dengan cara Tya mencorak anaknya yang bijak, dengar kata dan akan ikut apa yang disebutkan.

Waktu Solat

Subuh
5:51
Syuruk
7:08
Zuhur
1:12
Asar
4:13
Maghrib
7:15
Isyak
8:23
3 HR PSI: 47
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.