Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19

Sriwana mahu semarakkan semula drama pentas

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Sriwana mahu semarakkan semula drama pentas

Apr 14, 2019 | 05:30 AM



SRIWANA, yang pernah dikenali sebagai "akademi seni drama Melayu" kerana telah melahirkan ramai pelakon hebat Singapura, akan kembali mementaskan drama di panggung selepas hampir dua dekad menyepi.



Azman Shariff, Sahfudin Mahfudz, Mahyonis Mahfudz, Jasmi Ahmad, J.A. Halim, Aminah Ahmad, Mahadi Shor, Ahmad Stokin, Junainah Jumari, Azhar Nor Lesta, Raffi Khan dan ramai lagi antara nama besar yang lahir daripada Sriwana menerusi teater konvensional dan bangsawan sebelum melangkah ke televisyen.



Bagaimanapun, pementasan pada 20 April ini akan dijayakan oleh wajah-wajah baru - yang kebanyakannya tidak mempunyai pengalaman berteater.



Bahkan, dua naskhah tulisan Nadiputra yang dipilih, Angka-Angka Yang Tinggal dan Jongos, merupakan teater kontemporari yang terbuka kepada banyak pentafsiran dan pemahaman penonton - bukan berkonsep konvensional yang biasa dijayakan Sriwana sebelum ini.



Mampukah Sriwana mengembalikan zaman kegemilangannya dengan pilihan pelakon untuk projek pertama selepas lama berehat?



Pelakon yang lebih berpengalaman seperti Azman diberi tugas sebagai pengarah AngkaAngka Yang Tinggal sementara Jongos diarahkan oleh Sahfudin.



Menjenguk sesi latihan drama itu baru-baru ini di rumah Sriwana di Goodman Arts Centre, wartawan dapat melihat bagaimana Sahfudin, yang terkenal sebagai pelakon komedi, begitu serius memberi arahan, mengemaskan pergerakan pelakon.



Walaupun ini kali pertama beliau mengarahkan drama pentas, Sahfudin kelihatan yakin, mungkin kerana pengalaman lebih tiga dekad sebagai anak seni, baik di pentas mahupun di kaca televisyen.



Unit drama Sriwana sebelum ini terhenti selama 18 tahun kerana menurut pengerusi terkininya, Jasmi Ahmad, bersebabkan "tiada yang boleh mentadbir dengan berkesan" selepas kematian setiausaha tetapnya, Allahyarham Nongchik Ghani.



Mereka kembali bergabung pada akhir tahun lalu selepas mesyuarat agung tahunannya.



Namun, unit tarian persatuan yang kini diterajui Fauziah Hanom sebagai Presiden Sriwana, tetap bergerak seperti biasa.



Mengapakah Sriwana tidak menggunakan ahli veterannya yang sedia ada sedangkan ramai antara mereka masih bergiat cergas di televisyen?



Sahfudin, anak kedua seniwati Ponisah Bachik mengakui peminat rindu melihat Sriwana berpentas seperti zaman di Panggung Victoria dulu tetapi merasakan projek permulaan harus dibuat secara kecil-kecilan.



"Kita dah lama tak buat projek teater. Nak panaskan balik enjin, kena ambil masa. Ini bukan soal kemampuan pelakon kerana kita masih mempunyai ramai pelakon hebat yang aktif. Soalnya, kita perlukan perancangan, atur balik strategi dan dapatkan dana. Cara berteater zaman dulu dengan sekarang berbeza. Dulu, kita siapkan drama dengan gotong-royong... tak fikir bayaran pelakon, buat set sama-sama. Sekarang, semua kena pakai duit," kata Sahfudin.



Mempunyai pandangan serupa, Azman, yang tetap giat berpentas sebagai pelakon bebas, berkata Sriwana masih mengekalkan taraf sebuah persatuan, sedangkan kebanyakan projek teater Melayu hari ini dipersembahkan oleh kumpulan teater profesional.



Antara yang dimaksudkan ialah Teater Kami dan Teater Ekamatra.



Pelakon teater profesional kebanyakannya dibayar mengikut kadar pasaran, bergantung pada tempoh latihan dan skala pementasan.



"Dari segi disiplin dan tuntutan berlakon, tiada yang berubah. Dulu dan sekarang sama saja.



"Tetapi jangkaan penonton berubah, tuntutan pelakon juga berubah. Ramai pelakon hari ini mempunyai latihan formal di sekolah seni, ada diploma dan sarjana.



"Sikap gotong-royong masih wujud tetapi kita tak boleh tolak soal perlunya kos walaupun minimum," kata Azman.



Namun, Sahfudin yakin, dengan sokongan dana pementasan yang betul, Sriwana mampu mementaskan drama yang berskala besar seperti sebuah muzikal.



"Kita ada pelakon yang terlatih dalam aspek teater yang luas. Ada penulis hebat seperti Nadiputra. Pemuzik juga masih ramai. Begitu juga penari.



"Insya-Allah, dengan perancangan yang sesuai, Sriwana mampu bangkit seperti dulu.



"Tetapi biarlah kami bermula dengan sederhana dulu. Kami perlu sesuaikan diri dengan keadaan sekarang. Seni itu luas... Sriwana juga harus meluaskan langkah meneroka aspek teater lain seperti syair dan teater tradisional lain," kata Azman.



Pelakon yang terlibat dalam pementasan itu telah melalui 12 sesi bengkel yang dikendalikan oleh anggota Sriwana sendiri dan penceramah undangan.



Antara mereka ialah pelakon drama Tanglin, Rahman Rahim, yang bercakap tentang pengenalan seni lakon, Nadiputra bercakap tentang perbezaan berlakon antara pentas dengan televisyen, Anis Azman dan Khaziah Yem berbicara mengenai seni syair dan Sahfudin mengenai pergerakan 'mime'.



Walaupun Sriwana kembali dengan wajah baru, sokongan yang diterima sejauh ini tetap padu.



Buktinya, hampir kesemua tiket pementasan di Studo Black Box Goodman Arts Centre itu habis terjual.




PEMENTASAN MALAM DUA DRAMA SRIWANA



Angka-Angka yang Tinggal dan Jongos adalah dua karya Nadiputra yang akan dipentaskan



Tarikh: 20 April 2019



Masa: 3 petang (tiket habis terjual) dan 8 malam (masih ada tiket)



Tempat: Goodman Arts Centre, Black Box



Tiket: $20



Hubungi 9810-0276 dan 8776- 3565 untuk tempahan tiket.



Angka-Angka Yang Tinggal mengisahkan sekumpulan kelasi kapal yang terkandas di sebuah pulau dan mula mencari arah dan mengenal diri.



Jongos mengisahkan sebuah persatuan teksi yang dibelenggu pelbagai masalah sehingga mengancam pembubarannya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >