Sufi Rashid selamat diijabkabulkan

DENGAN sekali lafaz, penyanyi Singapura dan juara Akademi Fantasia 2015, Sufi Rashid bergelar suami kepada usahawan Nurulain Md Yusof, pagi tadi.

Dalam majlis penuh syahdu dan serba sederhana berkonsepkan taman menghijau di Hotel Pulse Grande, Putrajaya, Sufi, 28 tahun, dinikahkan oleh bapa Nurulain, Encik Md Yusof Md Nor, dengan kehadiran Pendaftar Nikah Putrajaya, Ustaz Hasli Othman.

Bapa Sufi, Encik Rashid Abdul Rahim, turut hadir di majlis yang dimulakan dengan sisipan kata-kata nasihat buat mempelai yang bakal melalui fasa kehidupan baru.

Selesai upacara pernikahan, Sufi telah menyerahkan hantaran RM20,000 ($6,586),  mas kahwin sebanyak $300 , sebentuk cincin dan sembilan dulang hantaran berbalas tujuh dulang.

Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran sahabat karib Sufi dari Singapura, penyanyi Nana Karia, pelakon Yuslina Yussof serta deejay Warna 94.2FM, AB Shaik dan deejay Ria 89.7FM, Hans Ashrie.

Sufi dan Nurulain, juga 28 tahun, yang merupakan bekas pramugari bertemu sekitar dua tahun lalu dengan si gadis yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan, tidak begitu mengetahui perkembangannya sebagai artis Singapura yang dikenali ramai.

Mengulas amanah baru yang bakal digalas, Sufi memberitahu:
"Saya berharap dapat memberi kebahagiaan buat Ain yang amat memahami kerjaya saya sebagai penyanyi. Susah senang sudah dilalui bersama. Sebelum berumah tangga, sebagai langkah persiapan, saya juga berusaha mempertingkatkan ilmu agama bagi menjadi ketua keluarga yang baik.

"Ain juga rakan niaga biskut dan kudapan Krispy Krunchee yang berwawasan. Kami malah memikirkan pelbagai cara mempertingkat kemajuan bisnes kami termasuk menjadikan produk Krispy Krunchee sebagai cendera hati tempahan di majlis kahwin atau apa jua keramaian.

"Selepas fokus pada hari bersejarah dalam hidup saya ini, saya akan kembali dengan tekad lebih kuat lagi dalam kerjaya seni."

Sufi juga teruja melibatkan diri dalam projek kemasyarakatan seperti Konsert Dadah Itu Haram yang mendekatkannya dengan cabang seni di belakang tabir. Beliau menggabungkan rakan-rakan artis dalam kempen menggalak orang ramai khususnya generasi muda dalam menjauhi dadah serta menerusi kegiatan sihat.

"Sudah sampai masanya saya memperluas penglibatan seni saya agar menyumbang semula kepada keperluan masyarakat dalam acara akar umbi.

"Ada ketikanya dahulu saya merasakan enggan lagi menyanyi secara profesional dan buat kerja lain seperti dalam sektor bank atau pramugara tatkala dilanda ujian kehidupan dan kerjaya. Namun, peminat yang membuat saya merasakan bakat saya tidak harus dipersiakan.

"Lagi pun, bidang hiburan telah memberi saya banyak kekuatan dalam bentuk sahabat karib dan pengalaman yang membuka mata yang tak akan saya perolehi di mana-mana," katanya.

Beliau juga mengizinkan Nurulain menceburi kerjaya sebagai pramugari semula selepas ini jika kerjaya itu memang sesuatu yang dekat di hatinya dan menggembirakannya.

Penyanyi Nana Karia yang juga juara SG Mania 2, dalam pada itu, begitu sebak melihat Sufi yang sudah dianggap seperti adik sendiri berada di singgahsana 'Raja Seharinya' itu.

"Saya sudah kenali Sufi sejak beliau belasan tahun. Beliau berbakat. Saya tahu jerih payah yang dilalui serta suka duka kehidupannya. Di sebalik senyumannya, banyak keperitan yang disimpan. Sebak terasa di dada apabila saya lihat beliau dan Nurulain selamat diijabkabulkan. Saya harap mereka akan mengharungi alam rumah tangga dengan tabah dan sabar," katanya.

Sempena hari bersejarah yang menggunakan tanda pagar simbolik #SAH  yang merupakan singkatan pada 'Sufi Ain Hitched' (Sufi Ain Bernikah), Sufi juga telah merakam lagu khusus buat Nurulain, Cin Cinta dengan klip videonya dirakam di Melbourne, Australia.

Satu majlis resepsi akan diadakan di Mercu Mustapha Kamal, Neo Damansara esok manakala resepsi di Singapura pula berlangsung di Kelab Perkhidmatan Awam Changi pada 28 September ini.