Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Taufik perluas sumber pendapatan, kini ceburi bidang hartanah

Selain menyanyi dan beri tumpuan pada perniagaan makanan ayam pedas, Chix Hot Chicken, kini ganding bersama abang sebagai ejen rumah
Sep 26, 2019 | 05:30 AM



SEPANJANG kerjayanya sebagai pemuzik dan kemudian peniaga restoran makanan ayam, Taufik Batisah mengakui tidak banyak menyumbang kepada Tabung Simpanan Pekerja (CPF) kecuali untuk akaun Medisave – justeru beliau sebelum ini kurang berminat untuk mengetahui skim-skim dan geran-geran yang ada untuk pemilikan hartanah.



Tetapi kesedaran mengenai pentingnya membuat pelaburan yang bijak mengikut kemampuan timbul setelah beliau mengikuti Kursus Pengurusan Hartanah di sebuah institusi privet selama dua bulan, menggunakan kredit SkillsFuture.



Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kata Taufik, abangnya Mustaffa, 39 tahun, yang telah menjadi ejen PropNex, telah berkongsi pengalaman urusan menjual beli rumah sepanjang lebih lima tahun menceburi bidang tersebut.



“Saya ambil kursus itu sekadar suka-suka untuk luaskan pengetahuan sebab sebelum ini, abang saya Mustaffa, selalu cakap pasal hartanah tetapi saya kurang faham kepentingannya.



“Memang kursus itu membuka mata saya tentang peluang-peluang pelaburan dan pelbagai skim dan geran yang disediakan pemerintah untuk membantu kita memiliki rumah. Saya seperti ramai masyarakat Melayu selama ini ketinggalan tentang peluang-peluang pelaburan hartanah kerana tak ada ilmu, mungkin kerana selama ini memikirkan, saya tak cukup simpanan CPF.



“Selepas lulus ujian kursus itu, Mus tanya... apa langkah saya seterusnya. Beliau ajak saya sertai pasukannya sebagai ejen. Saya fikir, mengapa tidak? Mus yakinkan saya bahawa kita perlu berkongsi ilmu, membantu masyarakat membuat pelaburan dalam hartanah secara bijak,” kata pemenang pertama Singapore Idol (2004) itu dalam satu interviu eksklusif dengan Berita Harian.



Langkah Taufik menyertai bidang ini tepat masanya dengan pengumuman pemerintah barubaru ini mengenai beberapa perubahan yang memberi lebih banyak kelonggaran dan tambahan geran untuk pemilikan rumah Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) bagi pelbagai peringkat keperluan.



Ini termasuk Geran Perumahan CPF Dipertingkat (EHG) yang ditawarkan kepada pembeli flat HDB kali pertama dengan pendapatan bulanan keluarga $9,000 dan ke bawah.



Ia menggantikan Geran Perumahan CPF Tambahan (AHG) dan Geran Perumahan CPF Khas (SHG) yang sebelum ini ditawarkan HDB bagi membantu pembeli bergaji lebih rendah membeli flat HDB.



Bahkan setelah mengikuti kursus itu, Taufik berkata beliau sedar dari segi pelaburan jangka masa panjang, beliau sendiri telah membuat perhitungan yang kurang bijak apabila membeli rumah pertamanya, sebuah flat maisonett di kawasan Barat Singapura.



“Saya beli flat maisonett saya pun pakai wang tunai kerana CPF yang ada terlalu sedikit – sumbangan cuma daripada zaman Perkhidmatan Negara dan kerja sambilan sebelum jadi penyanyi.



“Dengan ilmu pengurusan hartanah, saya pasti akan membuat keputusan yang berbeza apabila membeli rumah di masa depan,” ujarnya.



Taufik, yang bakal menyambut ulang tahunnya ke-38 Disember ini berkata beliau baru mendapatkan Lesen Ejen Hartanah (CEA), sekaligus membolehkan beliau memulakan tugas pemasaran.



Beliau bergabung dengan Mustaffa sebagai pasukan yang dikenali sebagai Batisah Brothers Property dan bergerak dengan pasukan berpengalaman bersama PropNex.



Sesuai dengan lagu popularnya, Awak Kat Mane, pasangan beradik itu akan menggunakan tagline #RumahKatMane untuk mendekati pelanggan secara mesra.



“Saya pelajari, untuk menjadi ejen hartanah yang berkesan, kita kena bergerak secara berpasukan dan menjalinkan rangkaian dengan ejen-ejen lain. Kalau kita bergerak bersendirian, boleh jadi bingung dan akhirnya ketinggalan,” ujar beliau.



Taufik menjelaskan langkahnya menjadi ejen rumah tidak merubah komitmennya kepada perniagaan makanan ayam pedas, Chix Hot Chicken di Jalan Pisang yang menurutnya stabil sejak dimulakan dua tahun lalu bersama dua orang rakan kongsi.



Begitu juga dengan kerjaya muziknya yang telah dibina selama 15 tahun, apatah lagi beliau masih terikat di bawah pengurusan Hype Records.



Beliau menafikan komen-komen di media sosial yang menyatakan langkahnya menjadi ejen rumah berkaitan dengan kerjaya muzik “yang susah cari makan” dan bisnes restoran yang disangka “kurang menjadi”.



Berdasarkan pemeriksaan Berita Harian, kadar bayaran persembahan untuk Taufik masih bertahan sebagai antara tertinggi untuk artis Singapura di peringkat nasional (mencecah sehingga lima angka), selain menerima royalti dari Persatuan Penulis Lirik dan Penggubah Lagu Singapura (Compass) secara tetap setiap tahun. Dua tahun beliau dinamakan sebagai penerima royalti tertinggi lagu-lagu Melayu (Usah Lepaskan pada 2009 dan Awak Kat Mane pada 2017).



“Tiada kena mengena dengan soal laku tak laku.



“Orang yang kenali saya akan tahu, sejak dulu saya tak boleh duduk diam dan selalu memikirkan apa nak buat untuk bergerak dan berkembang. Sebab itu, setelah menjadi penyanyi dan menang banyak anugerah, saya fikir… takkan nak menyanyi saja?



“Sebab itu saya gubah lagu, kemudian susun lagu, bukan saja untuk diri saya dan penyanyi Singapura lain termasuk untuk Hady Mirza, bahkan penyanyi negara jiran seperti Afgan dan Rossa.



Selepas dah buat itu semua… saya fikirkan apa lagi nak buat… sebab itu timbul idea buka bisnes restoran ayam pedas sebab saya suka makan ayam dan kebetulan ada rakan kongsi yang baik.



“Selepas dua tahun bisnes berjalan dengan baik, saya dah mula nak bergerak lagi… dan saya digerakkan untuk melangkah ke bidang pengurusan hartanah pula.



“Saya rasa bidang ini cukup sesuai kerana di sebalik komitmen dan kesibukan menguruskan kehendak pelanggan, saya masih fleksibel untuk menguruskan restoran dan kerjaya seni pada masa yang sama.



“Saya mendapat sokongan pasukan yang berpengalaman di PropNex. Doakan semuanya berjalan dengan baik,’ kata Taufik.




“Orang yang kenali saya akan tahu, sejak dulu saya tak boleh duduk diam dan selalu memikirkan apa nak buat untuk bergerak dan berkembang. Sebab itu, setelah menjadi penyanyi dan menang banyak anugerah, saya fikir… takkan nak menyanyi saja? Sebab itu saya gubah lagu, kemudian susun lagu, bukan saja untuk diri saya dan penyanyi Singapura lain termasuk untuk Hady Mirza, bahkan penyanyi negara jiran seperti Afgan dan Rossa. Selepas dah buat itu semua… saya fikirkan apa lagi nak buat… sebab itu timbul idea buka bisnes restoran ayam pedas sebab saya suka makan ayam dan kebetulan ada rakan kongsi yang baik. Selepas dua tahun bisnes berjalan dengan baik, saya dah mula nak bergerak lagi… dan saya digerakkan untuk melangkah ke bidang pengurusan hartanah pula.”



– Taufik Batisah




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >