Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Taufik rayu bantuan bawa pulang anak saudara, ibunya

Jun 11, 2019 | 05:30 AM



WADAH media sosial menjadi ruang buat penyanyi Taufik Batisah memohon bantuan daripada orang ramai.



Penyanyi itu telah merayu agar orang ramai menyalurkan bantuan kewangan untuk membantu sepupunya, Cik Nur dan anak saudaranya, Hana, yang terperangkap di Lebanon dan tidak dapat pulang ke Singapura.



Dengan lampiran video yang dimuatnaikkan ke akaun Instagram dan diharap dapat dikongsi dengan ramai di ruang siber, Taufik berharap bebanan kewangan keluarga Cik Nur itu dapat diringankan.



Wang yang bakal terkumpul akan membiayai kos guaman dan belanja lain yang diperlukan.



Menurut Taufik, bapa Hana ialah lelaki asal Lebanon yang kini dipercayai berada di Australia.



Kementerian Ehwal Luar (MFA) di Singapura dan Konsulat Jeneral Kehormat di Lebanon menjelaskan bahawa mereka tahu tentang kes itu, sebagaimana yang dikongsi MFA dengan The Straits Times baru-baru ini.



Pihak MFA malah sudah berhubung dengan Cik Nur dan keluarga dalam usaha membantu mereka.



Taufik pula memohon agar pengikutnya melungsuri laman mengumpul dana GoGetFunding yang dibuka bapa Cik Nur , Encik Mohamed Ismail.



Mengikut keterangan laman tersebut, Cik Nur dan Hana dikatakan berkunjung ke Lebanon pada 2017 bagi menemui datuk dan nenek Hana atas permintaan bapa Hana.



Cik Nur kemudian mendapat tahu bahawa sekatan berkunjung ke negara lain telah dikenakan ke atas Hana. Justeru, anak kecil itu tidak dapat meninggalkan Lebanon.



Cik Nur pula dipaksa meninggalkan Lebanon tanpa anaknya yang ketika itu berusia lapan bulan.



Tahun lalu, mahkamah Lebanon menghentikan sekatan tersebut.



Mereka juga memberi hak penjagaan sepenuhnya ke atas Hana kepada Cik Nur, yang kembali ke Lebanon pada Jun 2018 untuk disatukan semula dengan anak perempuannya itu.



Namun, kedua-duanya kini masih di Lebanon dan tidak dapat pulang ke Singapura.



Taufik berkata kepada Berita Harian bahawa keluarganya sudah cuba pelbagai cara bagi membawa pasangan ibu dan anak itu kembali ke Singapura.



Namun, setiap kali mereka mencuba, harapan musnah kerana ada sahaja masalah lain atau dakwaan daripada pihak keluarga bapa Hana.



Akibatnya, mereka terhalang meninggalkan Lebanon.



Keluarga di Lebanon kini mendakwa bahawa Cik Nur menculik Hana dan beliau pula dilarang keluar dari Lebanon.



Hingga semalam, sebanyak $34,645 telah didermakan orang ramai kepada kempen mengumpul dana 'Bawa Pulang Hana' itu.



Matlamat kempen itu ialah $50,000.



"Kami rasa rendah hati di atas budi baik dan keihsanan yang anda tampilkan.



"Kami menghargai sokongan anda pada usaha kami membawa pulang Hana dan ibunya.



"Moga kempen ini dapat diteruskan dengan Allah membalas budi baik dan keihsanan anda," ujar Encik Mohamed Ismail di laman tersebut.



Klip video permohonan Taufik di Instagram sudah ditonton lebih 157,000 kali.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >