Tiada titik noktah dalam usaha NEELOFA

Peragawati dan usahawan artis mahu tebar jauh jenama hijab ke persada antarabangsa

SEPULUH minit mungkin tempoh masa yang dianggap singkat.

Namun, bagi seorang yang mempunyai tumpuan dan matlamat yang jelas, berdisiplin dan cekap, banyak perkara yang boleh dilaksanakan dalam masa itu.

Sebagai usahawan selebriti Noor Neelofa Mohd Noor sedar pentingnya sikap dan keupayaan memanfaatkan masa.

Berita Minggu (BM) sempat menemui beliau semasa acara 'Influence-Her' di mana beliau telah dijemput berkongsi panduan sebagai usahawan wanita berjaya.

Memang masa yang diperuntukkan agak singkat, namun dalam masa 15 minit yang diluangkan beliau bersama BM, kami dapat melakukan sesi ringkas mengambil gambar beliau serta mendapat jawapan yang tenang, tepat dan padat bagi kesemua soalan yang kami ajukan.

Temu ramah bersama beliau juga dirakam dalam video dan tidak sekali beliau meminta diberi masa untuk berdandan, berehat, minum air atau sebagainya.

Memang tidak dinafikan perkara ini sering juga berlaku dalam temu ramah bersama individu lain, malah dengan mereka yang bukan dikira 'selebriti'.

Tingkah laku Neelofa bak seorang yang sudah biasa dan tidak 'gentar' hidup dalam suasana pantas.

Apakan tidak, hidupnya sejak kebelakangan ini memerlukan beliau terbang ke sana sini untuk urusan perniagaan di bawah jenama Naelofar Hijab dan juga kerjayanya sebagai peragawati.

"Bukan senang nak balance (mengimbangi), buat banyak benda, apa lagi yang melibatkan time zone berbeza, tapi dah lima tahun (saya melakukannya), jadi bukan perkara asing lagi bagi saya," katanya.

Jenama Naelofar Hijab yang diterajuinya baru berusia lima tahun, tetapi bukan ia sudah terkenal bukan sahaja di rantau ini, malah sudah mula menebar sayap ke ruang antarabangsa termasuk Timur Tengah, Britain dan Perancis.

"Apabila saya mula buat Naelofar Hijab ni saya tak sangka ia akan mendapat tempat (di hati pengguna) begitu cepat. Di Singapura, Malaysia, Indonesia, Brunei ia sangat dikenali, tapi di negara lain ia masih lagi baru.

"Penyusunan semula yang saya lakukan terhadap syarikat saya dengan menggunakan e-commerce saya rasa membuat saya lebih senang mendapatkan audience baru dan memodenkan jenama ini," katanya.

Walaupun mengakui kelebihannya sebagai selebriti dan peragawati memainkan peranan penting dalam peringkat awal perniagaannya, Neelofa sedar satu-satu jenama itu memerlukan lebih daripada hanya populariti artis untuk kekal.

"Terbukti melalui selebriti berbeza yang ada

brand sendiri, banyak yang hanya berhenti setengah jalan kerana mungkin tiada kemahiran dalam perniagaan atau kurang ilmu pengetahuan untuk mengendalikan perniagaan. Mungkin juga mereka ada masa yang terhad untuk menumpukan perhatian kepada bisnes mereka.

"Maka itu, walaupun ada kelebihan, ada wadah atau rangkaian dalam bidang seni ini, jenama atau bisnes itu masih memerlukan pasukan yang baik di belakangnya, fokus yang berterusan serta sistem sokongan yang kuat untuk berjaya," ujarnya sambil menekankan bahawa beliau cuba memberi tumpuan terhadap perkara-perkara tersebut dalam bisnesnya.

Walaupun produk Naelofar Hijab bermula dengan 'Neelofa', beliau tidak lagi ingin orang ramai membelinya kerana beliau.

"Tiga tahun pertama memang tiada kos yang dimasukkan dalam usaha pemasaran kerana saya rasa saya perlu ke hadapan untuk menaikkan sales.

"Saya tak nafikan, memang stockist akan bergantung pada pos saya di Facebook dan Instagram.

"Tapi, sekarang saya dah banyak ambil langkah ke belakang untuk biarkan brand saya terbang sendiri. Dan kini ada produk yang habis dijual tanpa perlu saya pos apa-apa," katanya.

Katanya lagi, arah pemasaran yang disasarkannya buat masa ini adalah menonjolkan keunikan yang mempunyai kesan terhadap pelanggan.

"Saya tak mahu orang beli pasal saya yang jual, tapi pasal cerita di sebalik hijab itu sendiri secara teknikal dan kenapa pelanggan perlu memiliki collection tersebut.

"Kami kini cuba sedaya upaya mengumpul maklumat daripada pelanggan kami supaya ini boleh bertahan lama."

Neelofa tidak menafikan usaha membangunkan jenamanya itu bukan hanya berkisar pada pencapaian dan berita gembira.

Namun, bak peribahasa, berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian, beliau percaya di sebalik setiap kesusahan ada pengajaran yang dapat diraih.

Antara rintangan hebat yang dialaminya adalah semasa pelancaran produk baru Naelofar Hijab yang dilakukan di Zouk.

Menceritakannya, Neelofa dengan tenang berkata bahawa beliau sedar perkara tersebut di luar kawalannya dan menjadikannya satu pengajaran.

"Pada mulanya saya pilih tempat itu untuk membuktikan produk Muslimah boleh jadi 'daring', jadi kita hapuskan semua alkohol dan ubah suai tempat tersebut.

"Tapi apabila keluar suatu kenyataan yang misleading (tidak tepat) ia merosakkan semua rancangan itu.

"Saya jadikan insiden itu sebagai peluang memahami apa sebenarnya yang diinginkan oleh masyarakat Melayu/Islam di luar sana," ujarnya.

Menurut Neelofa lagi, ramai berpendapat kejadian tersebut merupakan titik noktah bagi jenamanya.

"Tapi, sebenarnya disebabkan insiden itu kami kembali bangkit lebih kuat dan bersemangat," katanya.

Dengan rancangan untuk mengubah struktur syarikatnya, Neelofa berharap ia akan menjadi suatu yang baik untuk dirinya dan keluarga.

Untuk bisnes dan kerjayanya, Neelofa mempunyai matlamat yang jelas dengan langkah-langkah yang telah difikirkan dengan baik.

Namun, dari segi rancangan peribadi, beliau dengan ringkas berkata, "I will just go with it!" sambil tertawa.


Apa kata Neelofa tentang: Cari keseimbangan

"Bukan senang nak 'balance' (mengimbangi), buat banyak benda, apa lagi yang melibatkan 'time zone' berbeza, tapi dah lima tahun (saya melakukannya), jadi bukan perkara asing lagi bagi saya. ... Apabila saya mula buat Naelofar Hijab ni saya tak sangka ia akan mendapat tempat (di hati pengguna) begitu cepat. Di Singapura, Malaysia, Indonesia, Brunei ia sangat dikenali, tapi di negara lain ia masih lagi baru."


Bergantung hanya kepada 'brand' selebriti

"Terbukti melalui selebriti berbeza yang ada 'brand' sendiri, banyak yang hanya berhenti setengah jalan kerana mungkin tiada kemahiran dalam perniagaan atau kurang ilmu pengetahuan untuk mengendalikan perniagaan. Mungkin juga mereka ada masa yang terhad untuk menumpukan perhatian kepada bisnes mereka. Maka itu, walaupun ada kelebihan, ada wadah atau rangkaian dalam bidang seni ini, jenama atau bisnes itu masih memerlukan pasukan yang baik di belakangnya, fokus yang berterusan serta sistem sokongan yang kuat untuk berjaya."


Peristiwa pelancaran hijab di Zouk

"Pada mulanya saya pilih tempat itu untuk membuktikan produk Muslimah boleh jadi 'daring', jadi kita hapuskan semua alkohol dan ubah suai tempat tersebut. Tapi apabila keluar suatu kenyataan yang 'misleading' (tidak tepat) ia merosakkan semua rancangan itu... Saya jadikan insiden itu sebagai peluang memahami apa sebenarnya yang diinginkan oleh masyarakat Melayu/Islam di luar sana. Tapi, sebenarnya disebabkan insiden itu kami kembali bangkit lebih kuat dan bersemangat."


Galeri Foto