Ramadan membuka peluang bagi selebriti tempatan meneroka bidang baru, baik dalam dunia perniagaan mahupun cabang seni berbeza. Wartawan HARYANI ISMAIL (haryani@sph.com.sg) meninjau peralihan kerjaya pelakon dan peragawati, Fatin Amira Abdul Aziz, dan percubaan terkini penyanyi Ryzal Noor untuk berlakon.
SELAMA setahun, pelakon dan model Fatin Amira Abdul Aziz, membangun kerjaya sebagai jurutera kimia yang menyarung sut khusus, gogal, topi keledar dan but keselamatan.
Lulusan ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian Kelas Dua Atasan) dalam bidang Kejuruteraan Kimia daripada Institut Teknologi Singapura (SIT) itu awalnya menyangka itulah bidang yang dekat di hatinya.
Namun, juara pertandingan Ratu, peraduan peragaan gadis Melayu di kaca televisyen Mediacorp Suria itu, menyedari cintanya lebih mekar dalam bidang perniagaan dan rekaan fesyen trendy bagi kegunaan kasual dan lebaran kaum Hawa.
Maka, dua tahun lalu Fatin menggagahkan dirinya berhenti daripada kerjaya dengan pendapatan lumayan itu.
Kaki jelitawan yang kini berusia 25 tahun itu ingin terus melangkah jauh dalam membangunkan jenama pakaian dan gedung pakaian dalam talian MNQN atau singkatan bagi Mannequin.
Ramadan ini pula beliau memberanikan diri menyewa gerai di bazar Wisma Geylang Serai (WGS) bagi meraih pengalaman berharga di samping disaluti bahang suasana menjelang lebaran.
Baginya, pilihan untuk berniaga di daerah Geylang didorong rasa cintanya kepada identiti 'kampung Melayu' di situ.
Bukan sahaja busana lebaran dijual, malah pakaian kasual buat kegunaan harian di pejabat atau bersiar-siar bersama teman.
Kata anak bongsu dalam keluarga tiga beradik itu: "Saya kini menyedari bahawa ada beza antara kelulusan atau jurusan yang dijadikan sandaran, malah menjadi kemahiran kita di bangku sekolah dengan cinta sebenar kita.
"Dari kecil lagi saya suka mengamati kemeriahan bazar Geylang di mana usahawannya gigih berjualan hingga malam Raya. Maka, peluang menjayakan bazar Ramadan tahun ini membuat impian zaman kanak-kanak saya menjadi nyata.
"Saya juga suka berurusan dengan pelanggan bagi mengenali cita rasa mereka. Semakin rancak mereka menempah pakaian dan bertanya, semakin seronok rasanya walaupun saya akur kerap juga kurang tidur.
"Lebih seronok lagi apabila saya berpeluang melakar rekaan fesyen saya sendiri mengikut cita rasa masa kini, mencari fabrik dan pembekal yang sesuai di rantau Asia Tenggara."
Ditanya tidakkah beliau terasa sayang meninggalkan kerjaya jurutera kimia, Fatin yang dikenali kerana watak antagonis termasuk dalam drama komedi Aduh... Bibikku, beliau tertawa seraya berkata:
"Saya kira ada hikmahnya memulakan kerjaya dalam bidang kejuruteraan kimia. Kegembiraan saya secara peribadi adalah jauh lebih mustahak daripada gaji bulanan yang diterima daripada tugas sebagai jurutera kimia.
"Sungguhpun begitu, pendapatan yang diraih daripada kerjaya tersebut dapat dikumpul bagi kegunaan pelaburan perniagaan saya kini.
"Daripada bisnes dalam talian, saya juga terlibat dalam bazar selebriti seperti CelebFest atau bazar musiman LalooLalang. Dah puas juga mengembara dan mencari bahan bagi jenama MNQN.
"Menangani konflik dengan pembekal di luar negara juga banyak mengajar saya yang tiada pengalaman berniaga agar cekap menajamkan kemahiran berkomunikasi sekali gus."
Beliau, yang dibantu rakan niaga, ibu bapa, seorang pekerja tetap dan beberapa pekerja sambilan, terharu apabila busananya ditempah pelanggan dari Dubai dan United Kingdom, hasil usulan beberapa pelanggan setianya di Singapura.
"Seronoknya apabila kami meniaga di Instagram dan pelanggan generasi muda khususnya turut mempromosikan produk kami di media sosial.
"Ibu bapa saya bahkan sangat menyokong perniagaan saya. Mereka turut menyetujui rancangan berhenti kerja agar saya fokus kepada perniagaan yang kian maju.
"Maklumlah kalau dulu mereka lihat hanya satu kotak bekalan pakaian sahaja mampu tersimpan di rumah, sekarang saya perlu sewa gudang bagi pakaian pelanggan.
"Hari demi hari, melihat banyak pakaian yang direka laris, saya mula meraih keyakinan bahawa saya tidak perlu takut mengembangkan perniagaan saya secara bertahap.
"Lebih mustahak lagi, saya ingin mengikis salah tanggapan bahawa pakaian saya hanya buat anak muda atau mereka yang bertubuh kecil sahaja. Memang bukan setiap hari itu indah.
"Ada juga hari-hari sukar, tetapi pasang surut dunia perniagaan ini mendewasakan saya. Berkat kesabaran dan kegigihan, saya yakin jenama MNQN boleh diperluas, malah timbul ura-ura memulakan koleksi kasual lelaki pula kelak," tambahnya, yang sekali lagi bawa watak antagonis dalam drama Tekan Minyak.