Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:06
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19

'Tipah' tak lagi tertipu...dah pandai hiburkan ramai sehingga bergelar Ratu Jaz Malaysia selama 30 tahun

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

'Tipah' tak lagi tertipu...dah pandai hiburkan ramai sehingga bergelar Ratu Jaz Malaysia selama 30 tahun

Mar 04, 2018 | 04:50 PM



TIADA yang mampu melupakan nostalgia menonton filem komedi cinta remaja, Ali Setan, dek dialog-dialog bersahajanya.


Antara yang terkenang dalam ingatan adalah kata-kata watak adik angkat Ali, Tipah, watak kecil yang dijayakan Datuk Sheila Majid sewaktu mula bertapak dalam industri seni sekitar 1984.


"Tipah tertipu bang...Tipah tertipu...." Begitulah yang diucapkan Sheila dalam filem itu. Ia begitu 'melekat' di fikiran ramai, menjadi bahan gurauan, malah turut dijadikan ilham bagi lagu popular Ruffedge, Tipah Tertipu.


Ternyata, babak filem Ali Setan itu turut menjadi kejutan dan sedutan bahan tayangan video bagi acara Sheila Majid The Concert Singapore di Pusat Seni Pementasan The Star di Buona Vista semalam (3 Mac).


Menyusuli tayangan babak itu, Sheila tampil mendendangkan lagu runut bunyi filem Ali Setan, Wajah Rahsia Hati dalam rangkaian lagu yang turut menyisipkan lagu popularnya Hitam Putih Kehidupan dan Dia.


Konsert yang dibawakan ke sini oleh IME Singapore itu merupakan antara siri persembahan jelajah dunia Sheila yang terkenal dengan julukan Ratu Jaz Malaysia. Berita Harian adalah akhbar rasmi konsert ini.


Tahun lalu, konsert jelajah beliau dibuka tirainya di Malaysia secara gah di Stadium Negara.


Beliau merancang mengadakan konsert berskala serupa di Jakarta, Indonesia dan Jepun bagi mengubati rindu peminatnya di kededua negara.


"Tak sangka anda masih ingat lagi babak Ali Setan tu...dahlah tak payah diingat-ingatkan. Pengalaman berlakon itu adalah yang pertama dan terakhir buat saya. Saya kemudian menyedari kekuatan saya adalah dalam bidang nyanyian bukan lakonan.


"Tipah dulu tertipu. Sekarang dah tak lagi! Tipah dah pandai!" selorohnya ketika ditemui Berita Harian menyusuli konsert yang menarik sekitar 1,000 orang termasuk peminat setianya dari Malaysia dan Indonesia.


"Awak tak jelak-jelak datang tengok muka saya dan dengar lagu saya?" teriak Sheila kepada sekumpulan peminatnya dari Malaysia yang melambaikan tangan penuh mesra.


Konsert dibuka tirainya dengan lagu ikonik Pengemis Muda dan Memori yang mengingatkan penulis pada gadis genit berambut pendek dan tajam potongan rambutnya lebih 30 tahun lalu.


Keramahan Sheila mempesona. Kehadiran pentasnya begitu terasa apabila beliau meminta penonton bangkit daripada kerusi mereka, jangan bermalasan dan menari sama.


Pendek kata, banyak lagu-lagunya yang pastinya menjadi sajian apabila berkaraoke bersama teman-teman mampu dinyanyikan beramai-ramai. Di Dalam Emosi Ini, Tua Sebelum Waktunya dan Warna adalah antara yang terpahat di minda sehingga setiap bait katanya mampu dilontarkan.


Pada usia 53 tahun, stamina dan vokal Sheila amat dikagumi. Beliau bersahaja mengusik pengarah muzik sebaya dengannya, Mac Chew, yang dikatakan sama-sama 'mengembang' saiz tubuhnya apabila mereka sama-sama berkongsi tempat duduk di balik piano bagi menyingkap semula pengalaman menyanyikan lagu syahdu yang ditulis Sheila sendiri, Ku Mohon.


Sheila memberi penghormatan kepada empat pengarah muziknya yang berkongsi pentas sekali gus buat julung-julung kalinya - Mac, suaminya Datuk Acis, Jenny Chin dan Tohpati.


Sanjungan tertinggi buat idolanya, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee,  disampaikan penuh bertenaga menerusi rangkaian lagu Aduh Sayang, Bila Larut Malam dan Jelingan Manja yang diberi sentuhan jaz.


Lagu Lagenda yang menghargai kehebatan golongan 'orang lama' dalam dunia seni yang diberkati dengan daya intelek dan kupasan masyarakat sosial sekeliling turut disampaikan.


Awal daripada itu, Sheila sebagai contoh wanita perkasa dalam dunia seni Melayu juga menyampaikan lagu buat kaum Hawa, Ratu, Wanita dan Gemilang. Sebagai bukti, dirinya bukan 'otai' yang berpuas hati dengan koleksi lagu 'hit' masa silam, Sheila turut menyajikan ramai dengan lagu-lagu daripada album Boneka.


Tidak sah jika konsert tidak diakhiri dengan dua lagu yang menyentuh kalbu ramai peminat Sheila - Aku Cinta Pada Mu dan Sinaran.


Kata salah seorang pemenang kuiz Konsert Sheila Majid-Berita Harian, Encik Mohammad Rizan Zainal Abidin, 35 tahun, pengawal keselamatan, yang mendapat tiket VIP bagi menonton konsert dan  bergambar bersama Sheila:


"Saya tidak duga dapat bawa isteri menonton konsert dan bergambar dengan penyanyi kegemaran kami, Sheila Majid. Ia adalah hadiah hari lahir paling manis buat saya."


Ternyata, penangan Sheila selama lebih tiga dekad tidak mampu diketepikan. Beliau penghibur, pendidik, pencerita, pewaris dan penyebar seni yang tiada tolok bandingnya. Beliaulah legenda dengan gedung ilmu yang amat dihargai.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >