Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19

Tomok abaikan rasa putus asa

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Tomok abaikan rasa putus asa

Jul 15, 2018 | 05:30 AM



Mereka bermula sebagai vokalis band remaja yang cukup popular dalam kalangan anak gadis di Malaysia dan Singapura. Kini berusia 30-an tahun, Tomok daripada New Boyz dan Lan daripada Kristal sudah mencipta nama sebagai artis solo. Meskipun sibuk dengan undangan menyanyi, mereka tetap jejaka yang pentingkan hidup berkeluarga bersama isteri dan anak. Apakah yang membuatkan mereka cekal dan betah dalam industri seni? Wartawan HARYANI ISMAIL (haryani@sph.com.sg) melaporkan.



MASIH baru tetapi meningkat popular berbekal lagu 'hit' kegemaran ramai - itulah tempoh paling gembira buat bakat seni muda.



Namun, detik melepasi lima tahun dalam industri hiburan mulalah timbul keresahan dan tanda tanya sejauh mana beliau mampu bertahan.



Itulah antara perasaan yang pernah wujud di hati bekas vokalis kumpulan remaja New Boyz, Tomok, yang popular dengan lagu 'tangkap lentok' Sejarah Mungkin Berulang pada 1999.



"Setiap hari ialah perjuangan bagi memenuhi misi mengeluarkan lagu bermutu yang mampu diterima ramai. Sepanjang 20 tahun dalam industri hiburan, saya akur ia bukan perkara mudah. Hingga hari ini, saya masih lagi berjuang demi mendapatkan tempat saya dalam dunia seni.



"Maka, kepada generasi bakat muda di luar sana, jangan mudah berputus asa. Di kala saya mula dikenali dahulu bersama New Boyz, bakat remaja tidak ramai.



"Tahun pertama hingga tahun kelima ialah detik percubaan tetapi biasanya artis baru dengan lagu baru yang 'hit' akan sampai ke kemuncak kerjaya dan nikmati kepopularan meluas.



"Melepasi tempoh itu, tahun kelima hingga ke-10, cabarannya lebih terasa. Saya pernah lalui tempoh buntu bagaimana nak bergerak selepas itu. Kecekalan benar-benar diperlukan untuk bertahan lebih 10 atau 15 tahun," ujar Tomok, yang nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail, 34 tahun.



Tomok, yang bergerak dengan New Boyz antara 1999 dengan 2008, ditemui Gah! di kedai makan M A Deen Biasa, Jalan Sultan, baru-baru ini.



Beliau datang ke sini bagi acara Tomok Nak Raya anjuran bersama Z.H Creatives Management dan DJ Azzuri & Friends di Warung In The East minggu lalu.



Katanya, setelah mencorak kerjaya solo menyusuli kemenangan sebagai juara peraduan realiti One In A Million (Musim Ketiga), tiada lagi frasa 'duduk relaks dan goyang kaki' buat dirinya.



"Saya pernah hadapi tempoh sukar seperti yang dihadapi sesetengah artis muda yang terasa hambar mahu teruskan perjalanan seni.



"Nak jadi artis, kita perlu tanam minat mendalam. Kalau buat benda yang benar-benar suka, kita mampu bertahan. Ini formula dalam apa jua kerjaya, bukan sahaja nyanyian.



"Ikhlaskan hati dan jangan terlalu sangat mencuba. Lebih mustahak, usah segan bertanya bagi cedok ilmu daripada artis mapan. Rajinkan diri mendapatkan pandangan orang lebih arif.



"Saya sendiri akan ambil peluang duduk bersembang dengan orang lama seperti Datuk Ramli Sarip, Datuk M. Nasir atau Datuk Hattan sebab itulah masanya saya boleh dapatkan panduan.



"Saya berharap artis generasi baru akan miliki semangat begitu walaupun kita tahu mudah jadi artis sekarang dan bikin lagu dalam media sosial. Perihal mutu lagu dan nyanyian jangan abaikan," pesannya.



Buat masa ini, Tomok sibuk menyiapkan album solo ketiganya terbitan Aubrey Suwito.



Konsert Tomok VS. Black - In The Spotlight bersama penyanyi bersuara lantang Black di Dewan Filharmonik Petronas pada 28 November ini juga antara perkara yang memenuhi kalendarnya.



"Saya terima juga undangan bagi menyertai peraduan realiti seperti Gegar Vaganza tapi saya rasa pada tahap ini biarlah saya sahut cabaran lain seperti sertai peraduan lawak Super Spontan.



"Saya dah cuba menyanyi. Lakonan pun pernah walau tak sebagus mana. Masanya sudah sampai ingin belajar kemahiran melawak.



"Lagipun, saya sanjung tinggi generasi baru pelawak Malaysia seperti Jep Sepahtu dan Johan. Sebetulnya, bukan mudah buat orang ketawa. Jenaka memerlukan daya intelek tinggi dan kespontanan,"ujarnya.



Dalam kesibukan Tomok membina kerjaya, beliau tidak melupakan tanggungjawab sebagai ayah kepada dua anak comel, Arrian Shah Akid dan Andra Anrashah Iman.



"Alhamdulillah, saya bersyukur dengan rezeki anak. Kepopularan Arrian dan Andra sampaikan ke mana-mana pun mereka jadi tumpuan amat saya hargai.



"Namun, belum sampai masanya bagi mereka menjadi duta produk atau terlibat dalam sebarang projek seni atau iklan. Biarlah mereka menikmati zaman kanak-kanak.



"Walau saya orang seni, saya tetap pentingkan agama sebagai tiang kehidupan anak. Apa jua cabaran masa kini seperti tamparan media sosial, bekalan ilmu agama akan meneguhkan iman dan asas hidup," ujarnya, yang bersyukur mempunyai isteri Rahayu Abas, yang amat memahami kerjanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >