Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19

Tubuh lemah kerana pembedahan kembali sihat, segar lepas amal pelbagai senaman

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Tubuh lemah kerana pembedahan kembali sihat, segar lepas amal pelbagai senaman

Feb 17, 2019 | 05:30 AM



KECEDERAAN tulang belakang yang dialami Cik Zoriah Yousof pada masa lalu menjadi peringatan kepadanya sehingga ke hari ini.



Bagi memastikan ia tidak berulang, ibu tiga anak itu memastikan beliau terus bersenam bagi mengekalkan tahap kesihatannya - biar pun usia sudah menjangkau 65 tahun.



Cara senamannya: Melakukan gerakan yang diberi nama Masala Bhangra, dan senaman akuatik.



"Keadaan kesihatan masa lalu menjejas pergerakan saya selama hampir setahun lamanya.



"Pada ketika itu, saya rasa rimas sebab tidak dapat bergerak," jelas nenek tiga cucu itu lagi.



Sekitar 10 tahun lalu, Cik Zoriah pernah menghidap masalah slip disc (cakera teranjak pada tulang belakang) sehingga beliau terpaksa menjalani pembedahan pada tulang belakangnya.



Beliau berkata masalah tersebut kemungkinan berpunca akibat beliau terjatuh beberapa kali semasa mengemas rumah.



"Semasa muda memang saya aktif sekali. Saya tidak boleh duduk diam, ada saja yang hendak dilakukan.



"Semasa berkemas itulah, beberapa kali saya terjatuh.



"Pada masa itu saya tidak begitu terjejas, tapi lama-kelamaan, sedang usia meningkat rasa sakit itu bertambah.



"Atas sebab itulah saya terpaksa menjalani pembedahan yang menjejas pergerakan saya selepas itu," kata suri rumah itu lagi.



Pada awalnya, beliau hanya melakukan pergerakannya sendiri selama beberapa tahun selepas pembedahan itu.



Atas nasihat doktor, Cik Zoriah berenang dan berjalan pantas selepas beliau pulih sepenuhnya.



Beliau juga salah seorang anggota kumpulan senaman qigong yang diikutinya di kawasan dekat rumahnya.



Hanya tahun lalu, beliau sertai sesi gerakan Masala Bhangra yang berlangsung di kolong bloknya setiap Sabtu malam, sejak pertengahan tahun lalu.



Kerana berasakan sesi seaman selama satu jam setiap minggu itu tidak mencukupi, beliau turut mengikuti senaman akuatik yang berlangsung seminggu sekali selama sejam setiap pagi Jumaat.



Kededuanya dilakukan secara berkumpulan.



"Alhamdulilah, kini saya lebih berdikari sejak saya mula aktif.



"Saya juga dapat jaga cucu dan ibu saya dengan selesa, dan seronok sungguh dapat bergaul dengan rakan-rakan sebaya lain," kata Cik Zoriah yang masih menjaga ibunya yang berusia 87 tahun selain tiga cucunya.



Cik Zoriah merupakan salah seorang peserta di bawah Program Penuaan Aktif (AAP) yang menggalak warga emas untuk kekal aktif, sihat dan terus bersosial.



Warga emas boleh menyertai program sedemikian di kejiranan mereka.



Antara kegiatan yang dijalankan di bawah AAP termasuk Zumba Gold, kecergasan Kpop, senaman menggunakan band regangan dan aerobik berimpak rendah.



Senaman sedemikian membantu menguatkan sendi dan otot warga emas, memperbaiki kesihatan jantung dan pengaliran darah, selain menyihatkan minda dan tubuh.



Kegiatan sosial lain yang boleh disertai termasuk bengkel kesihatan warga emas yang mengajar tentang makanan dan pemakanan sihat, penuaan sihat selain mendapatkan tip mengenai pilihan gaya hidup lebih sihat dengan mengekalkan kesihatan fizikal, mental dan fungsi.



Warga emas juga boleh menyertai kelas memasak sajian sihat, atau menyertai kegiatan sosial seperti berkaraoke.



Untuk mendapatkan maklumat lanjut, sila lungsuri laman www.bit.ly/ageactively atau hubungi talian Singapore Silver Line di 1800-650-6060, Isnin hingga Jumaat antara 8.30 pagi dengan 8.30 malam, atau Sabtu 8.30 pagi dengan 4 petang (cuti umum dikecualikan).



Siri ini merupakan satu inisiatif di bawah Pelan Tindakan bagi Penuaan Berjaya




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >