Subuh
5:46
Syuruk
7:05
Zuhur
1:11
Asar
4:29
Maghrib
7:14
Isyak
8:25

Walau diuji, wanita gagahi misi bantu ibu tunggal

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Gaya Hidup
31
0

Walau diuji, wanita gagahi misi bantu ibu tunggal

ibu
Dec 10, 2017 | 05:30 AM

Dalam mengharungi kehidupan penuh ujian - baik didera bekas suami, dihimpit masalah kewangan atau keperluan menjaga anak istimewa - sekumpulan wanita menggagahi segalanya demi memperkasa wanita lain. Berbekalkan tekad ingin membangkit semangat kaum Hawa agar tidak mudah hilang kawalan emosi dek masalah yang dihadapi, sekumpulan wanita, sebilangannya pernah atau kini bergelar ibu tunggal, membangun kumpulan sokongan dengan program terperinci. HARYANI ISMAIL (haryani@sph.com.sg) melaporkan kisah beberapa penggerak Wondrously Woman GEM (Good Enough Me) Limited.

MENGGALAS amanah sebagai pengasas dan penggerak kumpulan sokongan ibu tunggal yang tidak mengaup keuntungan, Wondrously Woman GEM (Good Enough Me), adalah tugas besar buat Cik Anggun Aidahwati Akram.

Beliau mengusahakan pertubuhan yang berdaftar di bawah Penguasa Pengawalan Korporat dan Perakaunan (ACRA) itu sejajar dengan ulang tahun kemerdekaan Singapura ke-50 pada Ogos 2015.

Misi utama kumpulan ini ialah membina silaturahim dan jambatan persaudaraan dalam kalangan ibu tunggal di samping melengkapi diri mereka dengan kemahiran berdikari menerusi program keusahawanan sosial.

Kesemua kegiatan dibiaya sendiri oleh penggerak Wondrously Woman GEM.

Mereka turut bekerjasama dengan pusat khidmat keluarga (FSC), badan bukan pemerintah (NGO) dan badan tidak mengaup keuntungan lain.

Tiada bayaran dikenakan buat ibu tunggal, ibu berpendapatan rendah dan wanita yang memerlukan mengikut penilaian kes demi kes.

Namun, Cik Anggun Aidahwati, 38 tahun, yang pernah meniti keperitan hidup sebagai ibu tunggal lima anak yang menetap di flat tumpangan sementara bersama keluarga lain, nyaris-nyaris berputus asa dalam meneruskan perjuangan kumpulan ini.

Apabila melahirkan anak istimewa, Nur Aiqisha Sakinah Mohamad Ridzuan, hasil perkongsian hidup dengan suaminya kini pada Julai tahun lalu, beliau begitu pilu dan payah menerima keadaan itu.

Sebagaimana kongsi Cik Anggun Aidahwati yang ditemui Gah!Berita Minggu di kondominium Parc Rosewood:

"Sewaktu diimbas kandungan saya sewaktu tempoh kehamilan, memang tiada apa-apa yang dikesan pada bayi saya. Alangkah terkejutnya saya apabila suami menghubungi saya untuk memberitahu anak kami mempunyai empat jari pada tangan kanannya.

"Kaki kanannya juga lebih pendek enam sentimeter daripada kaki kirinya. Kami suami isteri begitu sebak kerana risaukan masa depan si anak serta penerimaan orang terhadap dirinya kelak.

"Kami begitu melindungi dirinya dan membalut rapi si kecil ke mana-mana kami pergi... takut kalau-kalau ada yang nampak keadaannya dan mempersenda."

TERTEKAN

Kerana tertekan dengan keadaan anak ketujuhnya (dua daripada perkahwinan keduanya dengan Encik Mohamad Ridzuan Abidin), Cik Anggun Aidahwati ingin menutup sahaja pergerakan Wondrously Woman GEM.

Ini ditambah dengan pelbagai masalah lain seperti anggota yang tidak komited atau memperguna pertubuhan bagi kepentingan sendiri mahupun keengganan mereka menyertai kegiatan yang dianjurkan atas pelbagai alasan.

"Rasa putus asa itu timbul kerana ada sahaja perkara yang tak kena. Saya lihat sebilangan ibu tunggal ini hanya ingin dibantu soal kewangan, tetapi mereka berat nak bantu diri sendiri dengan menghadiri bengkel kemahiran dan perkasa kewangan.

"Namun, apabila difikirkan semula, membantu ibu tunggal sudah menjadi kerja kebajikan yang ingin saya lakukan sebagai sumbangan kepada masyarakat yang membantu saya tatkala bergelar ibu tunggal dahulu.

UJIAN BESAR

"Lama-kelamaan, saya mula sedar bahawa amanah menggerakkan Wondrously Woman GEM ini besar, maka ujiannya juga bukan calang-calang.

"Saya harus reda dengan keadaan anak saya, malah saya dan suami telah mengusahakan perniagaan produk penggosok tubuh sebagai cabang niaga yang boleh anak istimewa saya ceburi kelak.

"Di sebalik keadaannya, semangat mencubanya begitu ketara. Mindanya bijak. Dia akan menjinjitkan kaki kanannya yang pendek sedikit bagi memastikan dia tetap boleh berjalan. Pembedahan pindah tulang bagi setarakan kakinya mungkin kami lakukan apabila dia dewasa kelak," tambah Cik Anggun Aidahwati.

Beliau juga bersyukur dipertemukan dengan pengamal rawatan alternatif minyak pati pokok bagi pemulihan menyeluruh, Cik Noraisha Mohammad Anwar, 41 tahun.

Setelah menjalani rawatan alternatif yang disisipkan dengan unsur kerohanian, Cik Anggun Aidahwati mendapat jawapan kepada beberapa hambatan dalam hidupnya.

"Saya ingat selepas melalui pengalaman traumatik sebagai ibu tunggal dahulu dan melalui banyak ujian dalam menggerakkan Wondrously Woman GEM, tiada lagi isu apa-apa yang saya simpan.

"Selepas menjalani pemulihan menyeluruh yang 'menggali' masalah jauh dalam benak, barulah saya menyedari rupanya ada beberapa isu yang masih mengganggu saya secara tidak sedar. Huraian segera diperlukan," tambahnya.

Cik Noraisha, 41 tahun, pemilik syarikat Avicenna & Hayyan Wellness/Holistics, yang juga pengarah Wondrously Woman GEM, berkata:

"Walaupun saya bukan ibu tunggal, saya faham tentang kesempitan wang yang dihadapi keluarga ibu tunggal.

"Pada tahun akhir pengajian universiti saya, ibu, yang menghidap kencing manis disahkan berpenyakit ginjal. Banyak biaya perubatan diperlukan sedang saya pula masih bersekolah.

"Saya perlu bekerja keras, memberi tuisyen kepada 10 pelajar sekali gus. Memang memenatkan tetapi saya perlu melakukannya demi pengajian saya."

Beliau berharap dengan kaedah pemulihan alternatif ini beliau dapat merawat ibu tunggal melepaskan segala permasalahan yang membelenggu jiwa mereka.

Kemahiran mengurut juga ingin diajar kepada ibu-ibu ini sebagai sumber rezeki.

Di samping itu, khidmat tuisyen percuma buat anak-anak daripada keluarga ibu tunggal juga ingin diusahakan.

Wondrously Woman GEM menggerakkan program 3F (Keep fit, flawless and fabulous) mencakupi senaman kecergasan kardio dan di gimnasium, urutan badan dan muka serta kelas dandanan dan sesi perkongsian sambil minum petang.

E-mel wwgem@outlook.com atau telefon 8203-7321 untuk mendapatkan keterangan lanjut mengenai program yang diadakan.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3