Walau langgar aturan iklan, 'Kinship' lebihi jangkaan

Filem ringkas 6 minit tular di media sosial; raih anugerah di Festival Filem Pendek Canberra

APABILA dihampiri dengan konsep yang berlainan serta melanggar semua 'peraturan' iklan yang sedia ada, ramai yang menjangkakan seorang pengarah untuk tidak bersetuju.

Namun pengarah filem, Encik Roslee Yusof, memutuskan untuk menyahut cabaran tersebut kerana yakin idea 'berani' itu akan membuahkan hasil yang boleh dibanggakan.

"Memang idea iklan seperti itu di luar kebiasaan, dan lebih mudah untuk menghasilkan iklan dengan 'mood' yang gembira.

"Tapi bila saya lihat konsep itu, saya tak teragak-agak untuk katakan 'Let's do it!'.

"Semasa Hari Raya juga biasanya kurang iklan yang berkaitan dengan perayaan itu, jadi saya pun teruja untuk hasilkan sesuatu untuk masyarakat," ujar pengarah daripada Freeflow Production itu.

Salah satu 'peraturan' yang tidak dipatuhi iklan tersebut adalah bahawa ia harus kurang dari seminit untuk berjaya disebabkan perhatian penonton yang biasanya tidak begitu panjang.

Namun, kepercayaan yang diletakkan terhadap keupayaan idea dan konsep, hasil kerja keras pasukan daripada agensi kreatif Tribal Worlwide Asia & Singapore, terbukti apabila filem enam minit agensi air negara PUB Kinship meletup di media sosial semasa dilancarkan semasa musim Hari Raya sekitar Mei tahun ini.

Filem berdasarkan pepatah air dicincang tidak akan putus itu mengisahkan tentang ikatan keluarga melalui kisah pasangan adik beradik Din dan Zul, yang tinggal di sebuah rumah tumpangan anak yatim pada zaman 1960-an.

Mereka terpisah apabila Din diambil keluarga baru dan Zul pula tetap tinggal di rumah tumpangan itu.

Setelah dewasa, Din kembali bersama anak lelakinya ke kolam air simpanan di mana beliau pernah bermain dengan Zul.

Din menemui pesanan memohon ampun daripada adiknya itu, yang diukir di dinding pondok kayu di sisi air.

Baru-baru ini filem tersebut ditayangkan di Festival Media Singapura di mana orang ramai berpeluang berinteraksi dan memberikan maklum balas kepada pasukan di sebalik pembikinan filem tersebut.

Menurut Presiden Tribal Wordwide Asia & Singapore, Encik Jeff Cheong, sesi tersebut 'full house' dan mereka juga telah menerima maklum balas baik.

Tambahnya, walaupun sedar semasa proses awal pencernaan idea bagi filem tersebut bahawa ia mampu menyentuh hati ramai, beliau tidak menjangkakan tahap interaksi penonton dengan filem tersebut dan agak terkejut apabila melihat ramai yang begitu mendalami filem itu.

"Saya jangka orang akan tonton, kongsi dan beri komen, itu saja.

"Tapi mereka yang menyaksikan Kinship begitu tersentuh sehinggakan mereka memulakan hashtag #findZul dan meminta kami untuk menghasilkan bahagian kedua untuk menyambung kisah kededua adik beradik itu," katanya.

Pada Julai lalu, sambungan yang dihasilkan dalam bentuk podcast berjudul Dear Din, From Zul telah dilancarkan, hasil kerjasama agensi kreatif tersebut dengan tiga penonton yang terpilih untuk menentukan kesudahan kisah tersebut.

Pengarah kreatif agensi tersebut, Encik Benson Toh berkata format audio merupakan cara yang segar dan berlainan untuk menyambung kisah tersebut.

"Dear Din, From Zul menampilkan perspektif yang lebih bersifat peribadi, yang membantu pendengar untuk mendalami lagi kisah tersebut dan membina hubungan antara penonton dan filem itu yang sudah pun dicapai melalui bahagian pertama filem ini," ujarnya.

Filem itu juga mempunyai kesan rentas sempadan apabila berjaya menawan hati pengadil di Festival Filem Pendek Canberra ke-24 September lalu dan merangkul anugerah dalam kategori antarabangsa.

Ia merupakan satu-satunya filem Singapura yang berjaya meraih anugerah tersebut sejauh ini.

Selain menyentuh hati ramai, tujuan utama filem tersebut adalah untuk menyampaikan mesej PUB untuk meningkatkan kesedaran tentang pentingnya penjimatan air, dan semuanya dilakukan dalam bentuk 'subliminal' atau tidak secara terang-terangan.

Kakitangan PUB yang juga terlibat dalam pembikinan filem tersebut, Cik Nora Farhain, berkata filem tersebut berjaya mencapai apa yang mereka mahukan, iaitu untuk menyampaikan mesej dalam bentuk yang tidak 'mendesak'.

"Banyak contoh penjimatan air yang diselitkan dalam filem itu, contohnya apabila kededua beradik itu sedang menggosok gigi tanpa menggunakan air yang banyak.

"Melalui jalan cerita yang mampu menyentuh hati penonton, mesej seperti ini dapat diterima dan memulakan perbincangan tentang air melalui perbualan mereka yang telah menonton.

"Ini diharapkan dapat 'diterjemahkan' kepada perbuatan," katanya.


"Memang idea iklan seperti itu di luar kebiasaan, dan lebih mudah untuk menghasilkan iklan dengan 'mood' yang gembira.
Tapi bila saya lihat konsep itu, saya tak teragak-agak untuk katakan 'Let's do it!'.
Semasa Hari Raya juga biasanya kurang iklan yang berkaitan dengan perayaan itu, jadi saya pun teruja untuk hasilkan sesuatu untuk masyarakat."

- Encik Roslee Yusof, pengarah filem Kinship.