Mereka berhempas-pulas berkarya menjana kerja seni yang bertali arus sepanjang tahun lalu. Bak kata anak muda zaman kini, mereka 'hustle demi hasil'. Siapakah antara bakat muda Singapura yang dijangka akan kian menyerlah pada 2022? Siapa pula antara 'orang lama' persada seni setempat yang dirasakan kekal 'bertaring' dalam pasaran muzik berkat lagu 'hit' menyegarkan? BERITA HARIAN memberi ramalannya dalam laporan berikut.
KALAU tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.
Peribahasa yang bermaksud sesuatu kejayaan itu tidak akan dicapai tanpa usaha digenggam erat lima bakat Singapura ini dalam mengusahakan kerjaya seni yang dicintai.
Sepanjang tahun lalu, mereka mencatat kemajuan dengan kerja seni yang bertali arus serta semangat yang tidak pudar walaupun terasa tamparan hebat pandemik Covid-19.
Siapakah lima anak seni yang penulis ramalkan akan terus menyinar pada 2022 berkat tenaga berkobar-kobar untuk bekerja keras yang dipanggil si anak muda sebagai 'hustle demi hasil'?
RAPPER QIS MARAJ
Nama sebenar: Nurbalqis Mohamed Muzamil
Usia: 21 tahun
Latar belakang: Bakal tamat pengajian Diploma Teknologi Audio Muzik daripada Politeknik Singapura (SP)
Anak muda ini datang daripada latar belakang keluarga yang rancak berniaga dan merendah hati.
Bapanya mengendalikan perniagaan makanan India/Muslim, Welcome Muslim Food, di 58 Upper Changi Road.
Sebelum ini, Qis banyak menghasilkan sendiri lagu berunsur luahan rasanya tentang kehidupan remaja seperti Pergi, Frenemy dan Tanda Tanya.
Pengalaman pahit dipergunakan orang yang tidak ikhlas membantu membuatkan Qis lebih selesa bergerak sendiri.
Namun, beliau mensyukuri pertemuan dengan legenda hip hop, Mawar Berduri dan 2KangKata, serta penerbit Sazery Suhady, yang sudah menjadi bak anggota keluarganya sendiri.
Sebab Qis bakal menyinar pada 2022: Penulisan lirik dan ideanya kian matang. Fatalis, BLAH dan KakakAdik yang membuka ruang buatnya bekerjasama bersama mentornya itu menampakkan kematangan idea dan pemerhatian sosial lebih mendalam.
Dengan pakej rupa, gaya, suara, kemahiran muzik dan kreativiti, Qis mampu pergi jauh dengan menghasilkan lebih banyak karya bermutu.
Apa yang anda mungkin tak tahu: Qis juga naib juara peraduan mencipta lagu Raya, Ilham: Menjelang Syawal, anjuran Wisma Geylang Serai (WGS), tahun lalu.
Beliau juga berminat mengetahui lebih lanjut tentang genre muzik lain dan kekal menghormati irama tradisional yang diperjuangkan rakan seninya.
Qis juga interaktif di media sosial bersama pengikutnya yang selesa mengajukan pertanyaan.
Hujung bulan ini, Qis diundang bagi menjayakan bengkel seni kata Me(r)du anjuran mahasiswa Universiti Nasional Singapura (NUS).
RAPPER YOUNG KHALIFA (YK)
Nama sebenar: Muhammad Iskandar Roswira
Usia: 26 tahun
Latar belakang: Susah senang mengemukakan kerja seninya untuk diperdengarkan ke khalayak ramai sudah dilalui.
YK mula menembusi pasaran muzik melalui lagu regeton Me Gusta/Aku Suka, di bawah label rakaman Malaysia, MAP Music.
Beliau diketengahkan oleh Olly Maguire dan Amyr Abadawn dari Voz Management ketika itu.
Kebanyakan lagunya memang sesuai dipasarkan di aplikasi TikTok untuk dijadikan latar berdansa atau berlakon dalam sketsa ringkas.
Sebab YK bakal menyinar pada 2022: Anak muda ini tangkas mengesan apa yang dilalui orang lain dan cita rasa pendengar tentang isu seharian.
Balut, Gerek, Gaji dan Bengkak cepat 'melekat' di hati pendengar khususnya Gaji yang sampai ke tangga pertama Carta Singa Maksima stesen radio 897.
Ada pengamatan sosial, ada kisah tentang orang yang tidak boleh lihat orang lain lebih senang daripadanya... semua ini boleh dikaitkan dalam kehidupan ramai.
Dengarnya, YK juga akan bergabung dengan pelakon Erwin Shah Dawson untuk rakam lagu secara berkumpulan menerusi band Young Kings tahun ini.
Moga YK terus peka tentang isu sosial sekelilingnya yang dapat dijadikan bahan lagu catchy yang menyedarkan selain menghiburkan.
PENYANYI ZALELO
Nama sebenar: Afrah Athasha Aman Shah
Usia: 23 tahun
Latar belakang: Anak penyanyi veteran Malaysia, Aman Shah dan anggota kumpulan duo Singapura, The Queens, Farah Diba Abdul Aziz, ini rajin berkarya.
Beliau rajin berkolaborasi dan memasuki program mengasah kerja seni seperti The Great Singapore Replay (TGSR) Musim Kedua.
Pempengaruh sosial ini turut menjadi salah seorang penyanyi bagi finalis peraduan mencipta lagu Suria, Projek Lagu, tahun lalu.
Sebab Zalelo bakal menyinar pada 2022: Dalam kesibukannya menjalani kehidupan sebagai mahasiswa Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), beliau menampakkan semangat anak seni yang tangkas membahagikan masa.
Menyanyi boleh, berlakon boleh, menjadi pempengaruh sosial yang interaktif boleh dan meniaga 'bubble tea' pun boleh!
Lebih menarik lagi, ada sahaja kolaborasi yang dilancarkannya bersama artis tempatan lain.
Zalelo juga artis yang mampu mencipta karya dwibahasa, menjadikan pasaran buatnya tembusi lebih besar lagi.
Ke mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi, bukan?
PENYANYI SYAZ SMOOTH
Nama sebenar: Syah Riszuan Huslan
Usia: 16 tahun
Latar belakang: Peminat Michael Jackson ini mula menyanyi sejak kecil dan mengagumkan ramai apabila muncul dalam peraduan realiti serantau, Asia's Got Talent.
Setiap lagu 'cover' yang dihasilkannya pasti menarik pujian warganet.
Syaz Smooth kemudian menjuarai peraduan Wisma Geylang Serai, Suara 2.0 dan mendapat tepukan gemuruh di konsert Orkestra Melayu Singapura (OMS), Langkah Gergasi.
Sebab Syaz Smooth bakal menyinar pada 2022: Remaja ini sudah pun menandatangani kontrak dengan label rakaman besar Universal Music yang turut mengendalikan Iman Fandi dan Fariz Jabba.
Selain masih remaja dengan banyak peluang keemasan menantinya, tak sabar ingin dengar lagu Melayu dan Inggeris Syaz Smooth yang diharap dapat menyentuh jiwa pendengar di pasaran serantau.
PENYANYI DANIAL BAHARIN
Nama: Danial Baharin
Usia: 33 tahun
Latar belakang: Danial bermula sebagai 'YouTuber' yang mengisi kandungan salurannya dengan video ringkas memasak.
Setelah memasuki Suara 2.0 dan muncul sebagai antara finalisnya, namanya mula dikenali dengan penghasilan lagu kerohanian, Demi RahmatMu disusuli dengan satu lagi lagu tentang kemurungan, Sendiri.
Sebab Danial bakal menyinar pada 2022: Mungkin beliau memulakan kerjaya seni lewat pada usia 30-an tahun dan tidak seawal rakan seni lain.
Namun, tekad bulatnya untuk menghasilkan karya dengan pesanan sosial serta kerajinannya menimba ilmu daripada yang tahu dapat dilihat di samping kepercayaan komposer Zulhilmi Ya'acob dan Nurariff Mohamed untuk memberi Danial peluang menyanyikan lagu mereka di peringkat akhir Projek Lagu.
Lagu yang didendangkan mendapat tempat kedua.
Menurut Zulhilmi, Danial memiliki suara besar seorang penyanyi lelaki yang jarang-jarang didengar kini.
Mudah-mudahan 2022 akan membuka pintu rezeki buat Danial yang juga bakal menamatkan zaman bujangnya pada pertengahan tahun ini.