Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

4 pelakon teruja keluar dari zon selesa

Jan 06, 2022 | 05:30 AM



SEBAGAI karyawan seni yang dambakan cabaran dalam peranan yang digalas, empat individu ini merasakan kelainannya apabila dilamar syarikat penerbitan Papahan Films bagi drama saspens tentang si penyamar dan pencuri identiti.



Identiti, yang kini bersiaran di saluran Suria dan aplikasi meWATCH, memberi kepuasan dan membuka minda serta jiwa Norman Ishak, Lim Yu-Beng, Rahimah Yusof dan Siti Hajar Gani.



Secara umum, drama dengan banyak ulitan plot yang mengejutkan dan tidak diduga ini membawa anda meninjau kisah Adam Salihin yang diculik ketika kecil.



Sekitar dua dekad selepas itu, dia kembali ke pangkuan keluarganya dan menjadi tumpuan media.



Seorang mantan pegawai polis pula menghubungi keluarga Salihin-Chan untuk memberitahu bahawa anak mereka yang baru pulang itu bukan Adam, tetapi seorang penyamar yang telah mencuri identiti Adam.



Soalan (S): Ceritakan tentang peranan anda dalam 'Identiti'. Apakah pengajaran utama yang diraih?



Norman: Saya membawa watak sebagai Danial Asmuri, si pencuri identiti dan penyamar. Ada dalam lima watak berbeza yang perlu saya bawakan.



Kehidupan yang suram membuatkan Danial kepingin menjadi orang lain. Pada akhirnya, dia menyamar menjadi Adam Salihin yang kononnya kembali ke pangkuan keluarga Salihin selepas diculik sekitar 20 tahun lalu.



Ketika berlakon dalam drama ini, anda melihat evolusi saya daripada Norman dengan rambut panjang sampai rambut pendek, serta daripada bertubuh gempal sampai merosot berat badannya.



Saya kira menjalani diet ketika menjalani penggambaran adalah satu kesilapan! Kerana Papahan Films selalu tempah makanan lazat ke set, ditambah Kak Rahimah yang rajin bawa kudapan sedap ke set, saya jadi mudah murung dan marah!



Selebihnya, saya kasihankan watak Danial sebab pengalaman membesar sewaktu kecil mencoraknya menjadi orang yang tidak sukakan dirinya sendiri dan ingin menjadi orang lain.



Yu-Beng: Saya adalah Salihin dalam drama ini. Beliau adalah seorang ayah yang sayangkan keluarganya dan mempunyai isteri dan dua anak tetapi bergelut dengan bermacam emosi dan isu komunikasi, mempunyai kelemahan terhadap wanita.



Saya perlu gigih menghafal dan menghadam dialog yang panjang itu bagi memastikan saya dapat menyampaikannya dengan baik dan memahami setiap butir perkataan. Saya mengambil bahasa Melayu di sekolah dahulu tetapi kerana tidak menggunakannya sebagai bahasa lisan seharian, pastinya payah sampai kadangkala tersilap makna pula apabila ingin bersembang seperti biasa.



Setelah menjayakan Identiti, saya berasakan ada harapan buat persada televisyen kita yang kecil ini. Saya sangat suka bekerja dengan karyawan seni seperti Raihan.



Orang macam beliau ada keberanian untuk menebar imaginasi dan mencuba suatu kelainan. Mindanya dilenturkan untuk sentiasa teruja menyajikan sesuatu yang berbeza buat penonton.



Tak kiralah, beliau minta kami berlakon dalam hujan atau bergelumang dalam apa jua bencana alam dalam adegan tertentu, kami bersedia melakukannya.



Pada akhirnya, kami tahu Raihan ikhlas, berwibawa dan mahukan yang terbaik buat kami sebagai pelakonnya.



Rahimah: Saya memegang watak sebagai Nadiah, si ibu dua anak. Apabila Raihan menawarkan saya peranan ini, saya tertanya-tanya ibu jenis macam mana yang beliau ingin saya bawakan? Saya dah biasa jadi ibu yang suka menangis.



Kali ini, saya teruja sebab saya masuk hutan dan pegang pistol! Nadiah adalah ibu yang mempunyai minda yang kuat walaupun tidak banyak berbicara.



Namun, bab tak boleh cakap banyak itulah yang paling sukar sebab saya suka berbual termasuk ketika makan. Saya tak boleh diam. Jadi untuk bawakan watak ibu yang serius dan jarang tersenyum ni agak berat buat saya.



Ibu mentua saya sampaikan berseloroh dengan suami saya agar jaga baik-baik selepas menonton babak saya memegang pistol! Katanya, jangan biarkan pistol ada dalam tangan saya. Berbahaya dibuatnya.



Namun, pengajaran paling utama yang saya pelajari adalah kita mampu melahirkan sesuatu dengan tidak perlu banyak berbicara. Dalam hidup ini, kita perlu lebih banyak mendengar daripada berbicara tanpa henti.



Saya harus berterima kasih kepada Raihan kerana berikan saya watak ibu sebegini yang melahirkan luahan hatinya daripada mimik muka. Itu pun bukan mudah buat semua pelakon.



Ia memberi satu dimensi berbeza bagi mereka yang sudah biasa bawa watak ibu seperti saya.



Nadiah adalah ibu yang sanggup buat apa sahaja termasuk menamatkan nyawa anaknya dalam suasana tekanan yang menyelubungi.



Siti Hajar: Saya tertanya-tanya pada usia 47 tahun, mengapalah saya diberi watak yang memerlukan saya tangkas bergaduh dengan lelaki? Mengapalah semasa saya muda dahulu tiada peranan sebegini? Banyak stamina dan emosi tidak menentu yang diperlukan untuk saya laburkan dalam Identiti.



Semasa saya berusia 45 tahun, saya diberi watak teater muzikal yang mencabar dan memerlukan saya menari dan menyanyi sekali gus.



Ingatkan selepas itu dah tak ada apa-apa lagi. Sekali tu, saya diberi watak bekas pegawai polis yang melalui keresahan dan gangguan emosi kerana tekanan.



Hari pertama sahaja dah suruh bergaduh dengan Norman. Rasanya peranan bergasak watak saya lebih daripada Norman. Sampaikan sakit tangan dan pinggang. Nasiblah Raihan selalu prihatin dan ingatkan jangan terjatuh sebelah sini sebab nanti terasa sakit.



Azian Ali, watak yang saya bawa ini penuh kemurungan sebab rasa dirinya diduakan suaminya yang meninggalkannya. Walau dia melalui rawatan bagi kemurungan, emosinya masih belum stabil.



Saya dapat kaitkan aspek keresahan yang dirasakan Azian ini kerana hingga ke hari ini, saya kadangkala mudah merasakan perasaan cemas dan resah yang dimaksudkan kalau diselubungi tekanan.



  • 'Identiti' disiarkan di saluran Suria setiap Khamis, 10.30 malam dan menerusi aplikasi meWATCH.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >