Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

REVIU GEGAR VAGANZA 8

Antara duet serasi dengan 'syok sendiri'

Pusingan paduan suara perlukan kerja keras peserta dengan penyanyi undangan
Dec 28, 2021 | 05:30 AM



APAKAH keistimewaan pasangan duet veteran Hail Amir dengan Uji Rashid, Broery Marantika dengan Dewi Yull ataupun P. Ramlee dengan Saloma sehinggakan lagu mereka kekal malar segar hingga hari ini?



Mengapa pula padu suara bintang masa kini, Hafiz Suip dengan Adira, Syamel dengan Ernie Zakri serta Afgan dengan Raisa dinanti-nantikan peminat mereka?



Pertama, wujud keserasian vokal dan penampilan antara kedua-duanya ketika mendendangkan lagu cinta meskipun tidak semua merupakan pasangan suami isteri.



Kedua, keseimbangan vokal dan tenaga benar-benar dijaga agar yang seorang tidak mengatasi yang seorang lagi.



Inilah antara ukur tara menilai pasangan duet di pentas pertandingan seperti Gegar Vaganza 8 (GV8) yang masuk minggu keenam kelmarin.



Agak mencabar juga apabila lagu yang diterima sesetengah peserta bukan sediakala merupakan lagu duet seperti Gurindam Jiwa (nyanyian asal R. Ismail dengan Rafeah Buang) atau Sembunyi (Misha Omar dengan Andy Flop Poppy).



Bayangkan apabila lagu sarat makna mendalam seperti Tanya Sama Itu Hud Hud (Datuk M. Nasir) serta lagu 'jiwang' Setahun Sudah Berlalu (Alleycats) diubah suai menjadi lagu gandingan dua suara.



Beberapa kali, ketua juri, Datuk Ramli MS, menegur peserta seperti Shidee yang dibantu Haqiem Rusli dan Azan Scan yang disokong Tajul agar tidak salahtakrifkan 'medley' sebagai duet.



Duet, jelasnya ada keserasian, kesinambungan dan keharmonian, tetapi 'medley' hanyalah dua penyanyi saling sambung menyambung lagu dendangan satu sama lain serta berfungsi sendiri di atas pentas seakan-akan tiada kaitan persembahan.



Sebenarnya, apabila melihat senarai lagu buat peserta dendangkan pada minggu keenam kelmarin, saya agak kecewa kerana tidak banyak lagu 'power duet' yang diketengahkan sedangkan ada banyak lagu duet Nusantara yang dihasilkan dalam pasaran.



Nak juga dengar lagu seperti Dua Insan, Percayalah, Kharisma Cinta, Rela Menanti, Dengarkanlah, Dirgahayu atau Selamanya Cinta. Sedap sedikit telinga ini mendengar di samping mengamati lirik lagu duet yang begitu teliti dihasilkan serta indah susunan liriknya.



Sebaliknya, yang diketengahkan ialah lagu 'Budak Baru Nak Up' (BBNU) seperti Chikadun, Tiga Malam Tanpa Bintang dan Malam Semakin Dingin.



Lagu-lagu ini belum lagi 'mesra' di telinga ini dan belum ada 'hook' (faktor pemancing) agar terus kekal dalam minda sebagai lagu malar segar bagi tempoh 10 atau 20 tahun mendatang.



Justeru, diharapkan bagi musim-musim mendatang pusingan duet dapat diisi dengan lagu duet 'killer' yang benar-benar memukau daripada kedengaran menjenuhkan.



Walau bagaimanapun, sebilangan bintang GV8 tidak mengecewakan dari segi daya hibur mereka meskipun ada yang tampak janggal bertanding sambil diiringi penyanyi tamu.



Berikut adalah penilaian amatur saya bukan sebagai pakar muzik tetapi sebagai pengamat setia program GV yang memang gemarkan lagu duet sebagai santapan halwa telinga.



DUET PALING 'NGAM'...



Juara One In A Million, Suki Low, 32 tahun, dan Raja Smule, Khai Bahar, 27 tahun, memang bukan sahaja serasi di pentas malah menampakkan persiapan rapi dan kerja keras untuk bertanding dalam Konsert Minggu Keenam.



Disebabkan itu, Suki meninggalkan jauh peserta lain dan berada di tangga pertama dengan markah 83.7 peratus.



Mereka bukan main-main atau setakat melepaskan batuk di tangga dalam persembahan mereka.



Ada keikhlasan dalam penyampaian mereka, sikap saling menghormati untuk bekerjasama, bukan mahu membuktikan suara siapa lebih 'power'.



Sebagaimana kata juri tetap, Datuk Syafinaz Selamat:



"Saya sangat suka dengan gandingan duet ini sebab wujud keharmonian dari segi keseimbangan vokal, penyelarasan suara, tenaga, usaha, pakaian pun warna sama serta emosi yang sama... Usaha yang baik buat Suki dan Khai!"



Juri yang diterbangkan dari Indonesia, Hetty Koes Endang, juga kagum, berdiri memberi tepukan sanjungan sambil menambah:



"Cuba dicari kecacatan persembahan tetapi tak nampak dari awal, korus hingga penghujungnya."



Datuk Ramli pula berkata Suki dan Khai sama-sama bekerja keras untuk menyanyikan lagu Fiq Mentor, Tiga Malam Tanpa Bintang.



Mengulas pengalaman bekerjasama dengan Suki, Khai menjelaskan:



"Sepanjang mengenali Suki, beliau seorang yang sangat ambil berat, macam kakak jaga adik. Semua benda dia nak tolong buat. Sangat rendah hati dan paling penting, beliau sangat bekerja keras."



DUET PALING MENGHIBURKAN...



Paling selamba di pentas dan tidak nampak kekok serta 'enjoy' sepanjang masa ialah Adibah Noor, 51 tahun, dan Ali Sariah (kumpulan Masdo), 29 tahun.



Mereka mengubah lagu Datuk M. Nasir, Tanya Sama Itu Hud Hud, menjadi begitu menyegarkan dengan irama a go-go walaupun ada peminat tegar lagu tersebut tidak setuju kerana ia seakan-akan meremehkan maksud lagu tersebut yang menyentuh tentang mencari jalan yang satu.



DUET PALING SINEMATIK...



Melihat Aliff Aziz, 30 tahun, dan Iman Troye, 19 tahun, menyanyikan lagu Datuk Jamal Abdillah dengan Wany Hasrita, Belenggu Rindu, terasa ibarat diri ini dibawa terbang ke dunia putera raja yang disihir dan pilihan hatinya iaitu seorang gadis kampung dalam Beauty and the Beast.



Ia bak klip video dalam satu adegan filem, ditambah dengan wajah dan gerak-geri Iman dan Aliff yang persis berlakon sambil menyanyi dalam sebuah muzikal.



Warna pakaian mereka pun persis watak Belle dan Beast.



DUET 'PENYELAMAT' KEROSAKAN...



Penyanyi 'powerhouse', Ernie Zakri, dipuji Ramli kerana kekal tenang dan melontarkan suara merdunya seperti biasa bagi lagu Hampir Ke Situ (runut bunyi Duyung oleh Mendua), meskipun di kanan dan kirinya suara duo Sa.Ya (Saiful Apek dan Yassin) dianggap 'ke laut'.



Begitulah bagusnya kalau ada gandingan mantap seperti Ernie yang sarat mengandung tetapi masih dapat memberi persembahan terbaik. Beliau penyelamat persembahan.



DUET JANGGAL...



Mungkin terdapat beberapa gandingan yang tak 'menjadi' seperti persembahan Upiak Isil dengan Usop, Shidee dengan Haqiem Rusli serta Azan Scan dengan Tajul.



Sama ada dek faktor jarak usia, kurang latihan, kurang keserasian, nyanyi 'syok sendiri' ataupun kebimbangan enggan suara masing-masing mengatasi satu sama lain, maka persembahan tiga pasangan ini menjadi kurang 'ooomph' dan bagaikan kekurangan rencah.




GV8 disiarkan setiap Ahad mulai 9 malam di Astro Ria (Saluran 608, Singtel TV).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >