Topic followed successfully
Go to BHkuAnugerah hidupkan budaya band corak trend
Anugerah hidupkan budaya band corak trend
Pengadil, penonton yakini potensi band juara berbilang bangsa O.M.A, band teatrikal Saát
Anugerah hidupkan budaya band corak trend
Selepas terlabuh tirai pertandingan Anugerah 2021 pada Jumaat lalu, pengamat muzik dan pengadil menjangkakan dinamisme band di Singapura tidak terhenti di gelanggang pertandingan sahaja.Kemenangan band O.M.A memberi harapan wujudnya band masyarakat majmuk yang menyajikan lagu Melayu seperti zaman silam. Kehadiran bakat solo yang berbekalkan identiti, vokal dan imej tersendiri diharapkan membakar semangat bagi terhasilnya kerencaman dalam persada seni Singapura. BERITA HARIAN melaporkan.
DUNIA band Melayu yang kaya dengan warna vokal dan dinamisme persembahan serta komited memberi nafas baru pada lagu nostalgia agar diminati pendengar muda dapat dijangkakan dengan terlabuhnya tirai Anugerah 2021, baru-baru ini.
Inilah pengamatan pengadil dan penonton rancangan adu bakat itu yang diadakan dalam norma baru tanpa penonton di studio dan dengan gabungan bakat solo dan kumpulan.
Kemenangan band O.M.A yang dianggotai vokalis Melayu, Abdul Thaqif Bani dan empat rakan pemuzik Cina dan India, Ho Zhi Ren, Anson Koh, Sures Ravindran dan Chia Chong Yu, malah memberi harapan akan ada band 'masyarakat majmuk' dalam pasaran Melayu seperti dahulu.
Maklumlah, sekitar tahun 1970-an dan 1980-an, band dengan anggota berbilang kaum yang menghasilkan lagu Melayu cukup menyerlah.
Black Dog Bone, The Flybaits, Gingerbread, Alleycats dan Kenny, Remy & Martin adalah antara nama-nama yang ketika itu bermain di bibir ramai.
Mengulas tentang perkara yang dinanti-nanti selepas ini dengan band O.M.A dan naib juara Saát menguasai gelanggang pertandingan, ketua juri Najip Ali berkata:
"Dari awal lagi, saya dapat rasakan budak-budak O.M.A memiliki satu kepala, satu hati, satu jiwa dan satu semangat untuk meneruskan perjuangan.
"Thaqif adalah penyanyi yang hebat. Apabila beliau menyanyikan lagu ikonik Sudirman, Salam Terakhir, kita dapat rasakan keikhlasan, kejujuran dan penghayatannya yang sangat mendalam.
"Beliau meninggalkan kenangan manis buat kita yang menonton. Diharapkan O.M.A sebagai band pelbagai kaum akan terus memberi yang terbaik dalam persada seni Singapura.
"Thaqif boleh sahaja berjaya dan terbang tinggi sebagai bakat solo tetapi saya rasa beliau sayangkan bandnya ini dan akan terus kekal sebagai sebahagian kumpulan O.M.A Semangat kekumpulan dan kesungguhan mereka saya tabik."
Najip juga merasakan empat anggota bukan Melayu dalam kumpulan itu dapat didedahkan kepada cara masyarakat Melayu berfikir dengan kepekaan terhadap budaya kerja dan penerbitan Melayu dipelihara serta difahami.
Mengenai band Saát yang dianggotai Aminurrashid Othman, Feroze McLeod, Muhammad Syahmi Samad, Fairuz Azhar dan Muhammad Hasif Jasman, Najip menganggap mereka sebagai komited dan bekerja keras bagi melahirkan kelainan.
"Inilah band yang kreatif, berfikir dan inovatif. Kumpulan ini juga fleksibel dan serba boleh.
"Kalau O.M.A berikan apa yang penonton nakkan serta peka dengan tuntutan mereka, band Saát pula ada identiti dan semangat 'keakuan' yang ketara. Mereka berani membawa pembaharuan.
"Kedua-dua band ini memberi gambaran nyata dalam mencorak visi band masa kini," ujar Najip.
Juri peraduan, Ann Hussein pula mengiktiraf betapa istimewanya O.M.A kerana memiliki penyanyi yang baik seperti Thaqif serta pemuzik yang juga tidak kurang hebatnya.
"Sewaktu Thaqif masih penyanyi cilik dan mempopularkan lagu Ariq, saya dengar dia nyanyi sahaja sudah cukup baik.
"Apabila beliau dewasa, suaranya lebih baik. O.M.A rela dan terbuka lakukan apa sahaja yang kita minta daripada mereka dalam setiap persembahan.
"Saya minta rentak 'funk' ditambah pada lagu Sheila Majid, Sinaran, mereka lakukan lebih baik lagi daripada apa yang kita bayangkan.
"Saya kagum dengan pemuzik O.M.A khususnya pemain dramnya, Anson. Beliau setaraf dengan pemain dram terhebat di Singapura," ujar Ann.
Beliau secara peribadi melihat kelebihan band dalam Anugerah (berbanding bakat solo) kali ini terletak pada daya persembahan mereka yang memukau dan kerjasama atau sinergi berpasukan yang ditampilkan.
"Saya akur ada banyak komen warganet mengenai juri. Kita tidak boleh memuaskan semua orang dan mereka bebas menulis apa jua komen.
"Mereka tidak amati apa yang kami lihat dalam setiap sudut terperinci. Kami fokus menilai dan dalam setiap penilaian itu, saya berharap komen saya dapat membantu peserta, jauh daripada menjatuhkan mereka.
"Apa yang kami cari adalah bakat yang boleh menyanyi 'live' dan boleh ditampilkan dalam rancangan Suria selanjutnya seperti Konsert Sinaran Hati atau Sinar Lebaran," jelasnya.
Blogger Pujangga Malam pula mengulas bahawa O.M.A sudah menampakkan ciri juara dari awal peraduan.
"Cabaran mereka selepas ini adalah membentuk identiti yang ketara dan tidak hanya dikenali sebagai band pengiring Thaqif. Saya harap mereka akan terus perkasa apa yang mereka tampilkan sehingga berjaya bergelar juara bagi menambah warna pada dunia band Singapura yang sedia ada," jelasnya.
Thaqif pula berharap O.M.A dapat meneruskan perjuangan sebagai band dengan anggota berbilang kaum yang mempersembahkan lagu Melayu.
"Sudah lama tiada band sebegini dalam persada seni Melayu. Sebenarnya, perjalanan O.M.A tidak semudah mana.
"Tercabar juga rasanya apabila masuk peraduan ini dengan anggota bukan Melayu. Setiap inti lagu perlu diterjemahkan kepada bahasa Inggeris.
"Saya dan Zhi Ren sudah sembilan tahun mengenali tetapi yang lain pula baru kali pertama bergabung dan bekerjasama. Masing-masing lalui pengorbanan besar untuk sampai ke peringkat akhir," katanya.
Band Saát yang dilihat sebagai pengorak trend baru pula menyerlah dengan konsep persembahan teatrikal (bercerita) setiap minggu dan kerencaman kostum persis band disko Amerika, Village People.
Feroze yang bertindak sebagai perancang kostum kumpulan menyatakan setiap anggota ada peranan menyerlahkan lagi daya persembahan.
"Kostum adalah elemen penting yang mendukung penceritaan sebuah lagu. Setiap anggota ada identiti tersendiri yang boleh diserlahkan dari kostum," katanya.

