Topic followed successfully
Go to BHkuJamal: Walau letih, anak amanah tebus dosa silam
Jamal: Walau letih, anak amanah tebus dosa silam
Jamal: Walau letih, anak amanah tebus dosa silam
Dalam menyusuri perjalanan penuh berliku, mereka berdepan dengan ujian dan akur melakukan kesilapan. Tahun 2021, justeru itu, dilihat sebagai peluang kembali ke jalanan yang lebih baik demi keluarga dan kerjaya tercinta. Ikuti laporan mengenai dua artis seberang, penyanyi Datuk Jamal Abdillah dan pelakon Amar Asyraf.
TANGGUNGJAWAB menjaga dua anak kecil yang jarak usianya tidak jauh beza adalah amanah berat dan terasa memenatkan buat penyanyi Datuk Jamal Abdillah pada usianya 62 tahun kini.
Jamal, yang nama sebenarnya, Jamal Ubaidillah Mohd Ali, juga melihat isterinya Datin Zai Izzati Khiruddin, 27 tahun, begitu letih menguruskan dua anak mereka itu.
Bagaimanapun, di sebalik segalanya, Datuk Jamal memberitahu laman mStar Online, dua anak itu adalah anugerah Allah yang dikurniakan bagi menebus segala kesalahannya di masa lampau.
"Anak pertama berusia setahun dua bulan dan bayi kedua pula sudah dua bulan... agak meletihkan juga. Saya tengok orang rumah saya pun nampak letih sangat.
"Saya pun ada juga membantu dia dalam menguruskan anak-anak. Saya bersyukur pada usia sekarang ini masih dikurniakan anugerah cahaya mata dan ia pasti datang dengan tanggungjawab yang besar bagi saya membesarkan mereka.
"Mungkin ini sesuatu yang Allah kurniakan (anak-anak) bagi saya menebus segala kesalahan masa lalu. Tapi tanggungjawab ini memang berat tapi saya tetap bersyukur," jelasnya lagi.
Penyanyi lagu Kekasih Awal Dan Akhir itu ditemui ketika sesi ramah mesra bersama finalis Anugerah Juara Lagu ke-35 di Sri Pentas Plaza Alam Sentral, Shah Alam, baru-baru ini.
Pada 11 November lalu, Jamal berkongsi berita gembira kelahiran cahaya mata lelaki (anak kedua bersama Zai Izzati) secara pembedahan.
Anak itu diberi nama El Issac Yamani dan dilahirkan di sebuah pusat perubatan di Ipoh, Perak.
Selain El Issac Yamani, Jamal yang bernikah dengan Zai Izzati pada April 2017 juga mempunyai anak perempuan, Nur Azura Yamani, yang lahir pada 10 Oktober 2019.
Daripada perkahwinan terdahulu, Jamal juga mempunyai dua anak lelaki, Osama Yamani, 20 tahun, dan Ahmad Zaki Yamani, 15 tahun.
Dalam pada itu, menyentuh tentang kerjasamanya dengan penyanyi muda Wany Hasrita, Jamal tidak menganggap ia satu isu Wany menumpang kepopularannya atau beliau menumpang nama Wany yang kian meningkat.
Baginya, baik penyanyi mapan sepertinya atau yang masih muda seperti Wany tidak boleh menyimpan sikap sombong diri.
"Apabila saya berada di arus perdana, saya harus bergabung dengan artis dari pelbagai genre bagi memastikan saya kekal dalam industri. Saya harus cuba genre berbeza... barulah saya akan dapat formula yang menjadi.
"Menumpang kepopularan bukan satu isu. Yang penting, kita jangan bangga diri sebagai legenda atau orang lama dalam industri. Kita sebagai penyanyi kena sampaikan sesebuah lagu dengan sebaik mungkin.
"Kalau anggap diri legenda dan tak mahu bekerjasama dengan orang baru, itu satu sikap yang tak baik dan tak bagus.
"Sikap sombong sebegini tak sepatutnya ada dalam diri seseorang," tambah Jamal.
Menurut Jamal kepada akhbar The New Straits Times pula, beliau dan isteri serta dua anak remajanya bekerjasama bagi menjaga Azura dan Issac.
"Mereka adalah sebab saya ingin terus cergaskan diri dan bersemangat. Saya mahu beri peminat saya yang terbaik dalam setiap lagu yang saya lantunkan juga," ujarnya.
"Anak pertama berusia setahun dua bulan dan bayi kedua pula sudah dua bulan... agak meletihkan juga. Saya tengok orang rumah saya pun nampak letih sangat. Saya pun ada juga membantu dia dalam menguruskan anak-anak. Saya bersyukur pada usia sekarang ini masih dikurniakan anugerah cahaya mata dan ia pasti datang dengan tanggungjawab yang besar bagi saya membesarkan mereka. Mungkin ini sesuatu yang Allah kurniakan (anak-anak) bagi saya menebus segala kesalahan masa lalu. Tapi tanggungjawab ini memang berat tapi saya tetap bersyukur." - Penyanyi, Jamal Abdillah.

