Subuh
5:28
Syuruk
6:51
Zuhur
12:53
Asar
4:16
Maghrib
6:54
Isyak
8:07
Halal Food Map
Turn on your location  and discover halal restaurants near you.
Gaya Hidup0

ASH Wartawan, pengacara, ejen

Pernah muncul di EPL, La Liga, Serie A, Euro 2016, Piala Dunia
Sep 20, 2020 | 05:30 AM

SERING kita mendengar dan membaca tentang pemain bola sepak wanita di Singapura kerana memang terdapat ramai pemain wanita yang berbakat di sini.

Namun, jarang sekali kita mendengar wanita yang bukan sahaja memiliki pengalaman, bahkan pengetahuan yang mendalam tentang sukan yang dikuasai oleh kaum lelaki.

Lebih mengagumkan lagi, seorang wanita yang benar-benar meminati bola sepak hingga sanggup mencabar dirinya melakukan sesuatu untuk memecahkan stereotaip dan membuktikan bahawa wanita juga mampu memainkan peranan dan memberi pengaruh dalam arena sukan bola sepak.

Dengan iltizam itu, Ashikin Hashim kini bukan sahaja dikenali di rantau ini, malah telah mengembangkan namanya di persada antarabangsa.

Ashikin, atau lebih gemar dikenali sebagai Ash, mula melakar kerjaya dalam bidang ini sebagai seorang wartawan pelatih dengan akhbar The New Paper lebih sedekad lalu sewaktu masih pelajar di Republik Politeknik (RP).

"Banyak yang telah saya pelajari sebagai seorang wartawan seperti bagaimana melakukan wawancara dengan baik.

"Saya masih ingat dengan jelas, saya sangat gembira apabila diberi peluang membuat liputan perlawanan bola sepak pertama saya, iaitu perlawanan pasukan bola sepak Singapura...dan selepas itu saya berpeluang mewawancara penjaga gawang, Lionel Lewis.

"Sejak itu, sedikit demi sedikit saya memperolehi pengalaman yang diperlukan untuk menjadi seorang wartawan sukan yang lebih baik," kongsinya yang kini berusia 31 tahun.

Ashikin akur bahawa pada mulanya beliau meragui kebolehannya dan hanya mampu bermimpi.

Beliau berkata: "Saya yakin percaya pada diri sendiri dan sama sekali tidak membayangkan yang saya benar-benar dapat melakukan sesuatu yang sebelum ini saya hanya boleh impikan.

"Dahulu, saya mempunyai impian menjadi seperti Sara Carbonero (wartawan sukan Sepanyol)...berada di tepi padang sambil melakukan wawancara dengan para pemain."

Perjalanan dalam kerjaya ini bukanlah semudah seperti yang dijangkakan. Menurut Ashikin, apabila beliau mula berkecimpung dalam industri bola sepak, wanita masih belum dapat diterima sepenuhnya.

"Ia menjadi satu cabaran bagi diri saya, lebih-lebih lagi apabila perlu mewawancara pemain atau jurulatih. Oleh itu saya perlu membuktikan saya mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang bola sepak.

"Saya juga bernasib kerana mempunyai mentor dan penyunting di TNP yang sering memberi saya dorongan.

"Ini membuat saya lebih bersemangat lagi untuk menceburi bidang ini dan memulakan blog saya sendiri iaitu Futbolita," jelasnya yang juga mula menceburi bidang penyampaian dan pengacaraan sukan.

Futbolita menawarkan perspektif wanita untuk sukan paling popular di dunia itu dan kini ia menjadi antara jenama yang dikenali dalam dunia bola sepak.

Futbolita juga terkenal dengan liputan media sosialnya yang mengetengahkan wawancara eksklusif dengan personaliti dan legenda bola sepak dunia.

Mereka juga bekerjasama dengan kelab dan persatuan bola sepak di Eropah seperti Paris Saint-Germain (PSG), Bundesliga dan La Liga untuk menyediakan kandungan untuk peminat di Asia.

Tidak berpuas dengan kerjaya kewartawanannya, Ashikin kemudian mengambil keputusan menjadi ejen pemain setelah mengambil peperiksaan Fifa pada 2013 - sesuatu yang tidak pernah terlintas dalam fikirannya sebelum itu.

"Saya memutuskan untuk mendapatkan lesen ini kerana saya mahu melakukan lebih banyak lagi dalam arena bola sepak. Ini juga merupakan cara untuk saya lebih terlibat dalam sukan ini.

"Saya hanya merasakan bahawa ini merupakan perkembangan semula jadi untuk menjadi ejen pemain kerana saya banyak berhubung dengan ramai pemain. Saya sentiasa mencari peluang untuk membantu dan mewakili pemain dari pelbagai peringkat yang mempunyai bakat dan potensi.

"Keutamaan saya adalah untuk membantu pemain tempatan kami untuk mendapat peluang bermain di luar negara," katanya yang merupakan segelintir ejen pemain dari Singapura dan satu-satunya wanita dalam kalangan mereka.

Antara pemain tempatan yang pernah beliau wakili sebagai ejen mereka adalah Baihakki Khaizan, Saifullah Akbar dan Izwan Mahbud yang baru-baru ini menandatangani kontrak bersama kelab liga utama Thailand, Samut Prakan City.

Kerjaya beliau bukan sahaja di rantau ini, malah ia telah membawanya menyaksikan perlawanan bola sepak di pelbagai benua.

Sebagai seorang pengacara, Ashikin pernah menyampaikan perlawanan Liga Perdana England (EPL), La Liga, Serie A, Euro 2016, Piala Dunia untuk beberapa rangkaian televisyen sukan seperti Eleven Sports Network dan Singtel TV.

Dalam pada itu, beliau juga telah diundang menjadi moderator sewaktu Persidangan Sukan Antarabangsa di Dubai pada awal tahun ini - sesuatu pencapaian terbesar bagi dirinya menurutnya.

"Jika sebagai wartawan dan pengacara saya berpeluang bertemu pemain-pemain hebat seperti Cristiano Ronaldo, Neymar, dan beberapa pemain terkenal lain, di persidangan itu saya dapat bertemu individu-individu terkenal lain seperti bekas pengadil Perluigi Collina, jurulatih pasukan Perancis yang memenangi Piala Dunia, Didier Deschamps dan juga ejen pemain terkemuka Jorge Mendes.

"Ia satu detik yang membanggakan dan sangat istimewa," katanya lagi.

Mengongsi tentang rancangan masa depannya, Ashikin kini sedang dalam usaha menguruskan perniagaan baru, Shoutout Studio, sebuah platform di mana peminat boleh menempah pesanan video pesanan peribadi dari personaliti serta selebriti antarabangsa termasuk dari Singapura dan Malaysia.

Meskipun masanya kini banyak terluang dengan perniagaan barunya, pengacaraan dan mengendalikan pemain bola sepak sebagai ejen mereka, Ashikin masih meletakkan keutamaannya terhadap mengembang jenama Futbolita.

"Saya cuba menjadikan bola sepak sebagai sebuah gaya hidup yang inklusif, untuk kedua-dua kaum lelaki dan wanita, lebih daripada sekadar sukan di padang.

"Walau apapun, berada di tepi padang tetap menjadi perkara yang saya gemari," ujarnya.


CABARAN, HARAPAN DAN IMPIAN ASH

MAHU BANTU PEMAIN TEMPATAN

Saya sentiasa mencari peluang untuk membantu dan mewakili pemain dari pelbagai peringkat yang mempunyai bakat dan potensi.
Keutamaan saya adalah untuk membantu pemain tempatan kami untuk mendapat peluang bermain di luar negara.

WANITA BELUM DAPAT DITERIMA SEPENUHNYA

Ia (peranan wanita dalam bola sepak) menjadi satu cabaran bagi diri saya, lebih-lebih lagi apabila perlu mewawancara pemain atau jurulatih. Oleh itu saya perlu membuktikan saya mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang bola sepak.

Video Baru

Podcast Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian