SELEBRITI bujang yang mempunyai ramai peminat ini tentu akan mematahkan hati ramai anak gadis sekiranya hatinya diambil orang.
Dalam kesibukannya menghasilkan 'single' terbaru, Mula Pupus, dan merancang konsert Muzik Lagenda bulan depan bersama dua nama besar, Ella dan Zamani, penyanyi dan penggubah lagu Singapura, Awi Rafael, sempat berkongsi secara eksklusif dengan Berita Harian perkembangan terkininya yang sudah berteman.
Seperti orang bujang lain, Awi pastinya rimas ditanya bertalu-talu soalan cepu emas menjelang Hari Raya Haji esok, iaitu: "Bila nak dirikan rumah tangga?"
Kata Awi, yang sudah mencecah usia 36 tahun, kepada penulis:
"Itu memang sudah biasa ditanya. Kakak Awi pun dah tanya, bila nak tamatkan zaman bujang?"
Sebagai artis, sudah menjadi lumrah Awi sering digosipkan dengan beberapa artis sebelum ini, malah beliau pernah mengikat tali pertunangan dengan pelakon Singapura yang berpangkalan di Malaysia, Atikah Suhaime.
Sayangnya, hubungan mereka terputus pada saat-saat akhir, dengan majlis kahwin mereka yang sudah dirancang dibatalkan.
Tetapi kini dalam diam, Awi mendedahkan beliau sudah pun bertemu dan sedang merancang perkahwinannya tahun depan bersama gadis dari Kelantan, yang sudah dikenali lebih dua tahun lamanya.
"Kami dah berkawan lama, dan beliau adalah seseorang yang sangat matang dan sangat memahami Awi.
"Awi memang mencari seorang isteri dan mencari seorang isteri bukan senang, tetapi Allah buka jalan untuk Awi," ceritanya.
Tambahnya lagi, gadis ini adalah seorang model dan juga ahli perniagaan.
"Awi dah bersedia. Beliau seorang wanita yang baik dan bila masanya sampai nanti, Awi akan buat pengumuman," katanya.
Awi, yang bertahun lamanya membina kerjaya di Malaysia, kini sudah menetap di Singapura sejak tempoh pemutus rantaian jangkitan Covid-19 menyekat pergerakan antara kededua negara.
Antara sebab beliau memilih menetap di sini ialah untuk bersama ibunya yang tidak sihat dan sedang melalui rawatan melawan penyakit barah.
"Ini merupakan waktu paling panjang Awi berada di Singapura semenjak Awi duduk di luar negara selama 13 tahun. Tapi Awi ingin bersama keluarga Awi pada waktu ini," jelas anak bongsu tiga beradik itu.
Walaupun sibuk dengan perihal keluarganya, Awi yang terkenal dengan lagu Bila Aku Jatuh Cinta ini tidak betah duduk diam dan dalam masa singkatnya di sini, sempat mendirikan Timbre Music Academy bersama pelabur Danny Loong.
Awi memegang jawatan sebagai pengarah urusan bersama di akademi yang terletak di Orchard Central itu.
Selain mengadakan kursus nyanyian dan belajar bermain alat muzik, Timbre Music juga terlibat dalam inisiatif kemasyarakatan dan Awi sendiri mengajar gitar dan piano kepada anak-anak di rumah tumpangan Pertapis setiap Jumaat.
Yang terbaru, Awi telah pun merakam dan mengeluarkan singlenya, Mula Pupus, yang diterbitkan sepenuhnya di studio Timbre Music Academy dibawah label Newsantara Asia kepunyaan Awi sendiri.
Mengenai lagu terbarunya itu, Awi berkata kesemua aspek penerbitan lagu itu dibikinnya sendiri termasuk penulisan, sususan, nyanyian dan lain-lain aspek lagi.
"Inspirasi untuk lagu ini datang secara semula jadi. Awi seorang yang mencari cinta, dan pada Awi, cinta itu seperti kehidupan. Ia pun mampu pupus, mampu hilang, kalau kita tak berbuat apa-apa. Walaupun seseorang itu sudah berkahwin, cinta harus dicari selamanya," katanya.
Bagi yang sudah lama ingin melihat Awi beraksi di pentas, beliau akan muncul dalam konsert Muzik Lagenda di Panggung Victoria pada 27 Ogos ini.
Sebagai pengarah muzik konsert itu, Awi teruja dan punya rancangan membawa lebih ramai lagi artis dari seberang untuk bergabung dalam satu persembahan di sini.
"Awi memilih untuk membuat 'showcase' pertama ini di Panggung Victoria kerana itu memang sudah menjadi impian Awi untuk membuat konsert berskala besar di situ.
"Ella dan Zamani akan mempersembahkan lagu-lagu popular mereka dan akan bertemu peminat Singapura."
"Kami dah berkawan lama, dan dia adalah seseorang yang sangat matang dan sangat memahami Awi.
Awi memang mencari seorang isteri dan mencari seorang isteri bukan senang, tetapi Allah buka jalan untuk Awi."
- Awi Rafael.
- Nota: Tiket konsert berharga $75, $95, $120 dan $160 boleh didapati di laman https://qrco.de/muziklagenda