Subuh
5:39
Syuruk
7:03
Zuhur
1:10
Asar
4:35
Maghrib
7:15
Isyak
8:30

Bakat baru Haziq ingin cipta lagu rindu buat arwah ibu

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Gaya Hidup
31
0

‘Ku terus nyanyi kerana Mama’

Bakat baru Haziq ingin cipta lagu rindu buat arwah ibu

Ibu yang memberi galakan agar mereka terus menyanyi adalah segalanya buat dua bakat Singapura ini. Apabila ibu mereka
menyahut panggilan Ilahi, kehilangannya begitu terasa tetapi mereka terus ingati pesanan ibu mereka untuk teruskan nyala
rasa dalam bidang seni. BERITA HARIAN melaporkan.
Jan 03, 2022 | 05:30 AM

DARAH seni mengalir dalam diri bakat nyanyian setempat, Muhammad Haziq Mohamadan.

Ibu bapanya pernah aktif dalam band majlis kahwin, malah menjadi sumber inspirasinya untuk meneruskan minat dalam bidang ini.

Haziq, 23 tahun, yang bertugas sepenuh masa sebagai jurutera bersekutu, sampai ke peringkat separuh akhir Anugerah tahun lalu.

Pada 23 Januari ini pula, beliau antara 10 finalis yang akan bertanding di gelanggang pertandingan peraduan adu bakat Wisma Geylang Serai (WGS), Suara 3.0.

Namun di ambang peraduan tersebut, anak keempat dalam lima beradik ini terasa sebak kerana teringatkan arwah ibunya yang meninggal kerana komplikasi penyakit pada Ogos tahun lalu.

"Saya terus gigih mencari pengalaman dalam bidang nyanyian dengan memasuki pelbagai peraduan atas dorongan arwah ibu saya.

"Pemergiannya membawa impak besar dalam hidup saya kerana selama ini, ibu yang banyak memberi saya idea dan semangat untuk menyanyi walaupun perjalanan saya di Anugerah terkandas sampai ke peringkat separuh akhir.

"Apabila saya berjaya sampai ke peringkat akhir Suara 3.0, saya merasakan itulah pencapaian terbaik yang dapat saya dedikasikan buat ibu.

"Kalau beliau masih ada, pasti hatinya gembira," kongsinya dalam wawancara Zoom bersama Berita Harian, dengan nada sebak.

Menurut Haziq, ibunya lumpuh dari paras pinggang ke bawah sekitar sedekad lalu.

Sejak itu, sistem imunnya menjadi lemah. Tahun lalu, ia kian lemah apabila ibunya tiada selera makan.

Kini, Haziq dan ayahnya, juga bekas vokalis band, sedang menyiapkan lagu khusus mengenai pemergian ibu yang dicintai.

Ia dijangka merentap tangkai hati sesiapa yang pernah alami kehilangan orang tersayang.

Menurut Haziq, bapanya juga adalah jurulatih vokalnya yang akan memberinya tunjuk ajar mengenai teknik lontaran suara.

"Bagi mempersiapkan diri saya untuk peraduan Suara 3.0, ayah saya yang akan beritahu saya apa yang kurang dalam nyanyian dan persembahan saya.

"Saya masih ada rasa gementar ketika membuat persembahan. Tapi rasa gementar dan pecutan adrenalin itulah yang sekali gus membuat saya teruja setiap kali ingin naik pentas," katanya, yang meminati suara Datuk Jamal Abdillah.

Sepanjang membangun kerjaya seninya ini, Haziq banyak menonton klip video adu bakat di Nusantara untuk meninjau lagu apa yang sering dibawa bagi sesebuah peraduan.

Daripada pengamatan itu, beliau memilih lagu yang sesuai untuk diketengahkan seperti Malam Semakin Dingin, Ku Tak Akan Bersuara dan Merisik Khabar.

Bagi peringkat akhir kelak, beliau akan mempertaruhkan lagu idolanya Hael Husaini, Jampi.

"Saya selalu dapatkan inspirasi daripada melihat peserta adu bakat di luar negara. Kadangkala terasa seronoknya kalau dapat nyanyi seperti mereka.

"Selebihnya, saya juga mengikuti perkembangan lagu K-Pop yang cukup 'menggila' dan lagu Hindustan kerana meminati filem-filem Shah Rukh Khan," tambahnya.

Di dalam perjalanan seninya yang masih baru, Haziq bersyukur diberi peluang oleh penghibur dan juara SG Mania 2, Nana Karia, untuk merakam lagu Sirna, baru-baru ini.

Lagu ciptaan Jaybon dan hasil tulisan Nana itu dipasarkan di bawah Kraton Music.

"Di kala saya kecewa dan berduka tersingkir daripada Anugerah pada peringkat separuh akhir, Kak Nana bawa berita gembira.

"Beliau mencari vokalis bagi lagu yang sudah tercipta iaitu Sirna. Ia memberi saya harapan baru masih ada yang menghargai bakat saya.

"Pengalaman merakam lagu ini memang menyeronokkan. Ia satu pendedahan baru buat saya. Saya juga menghargai segala tunjuk ajar Kak Nana dari saya di Anugerah lagi. Kepercayaan yang beliau beri pada saya takkan saya sia-siakan," katanya.

Nana yang dihubungi Berita Harian pula berkata beliau dan Jaybon memilih Haziq kerana bakat baru ini mempunyai suara yang sesuai bagi lagu tersebut.

"Dari segi penghadaman maksud dan merakamnya dengan lancar, Haziq memang tiada masalah. Suaranya dah sedia ada sesuai buat Sirna, sesuatu yang kami cari-cari," kata Nana.

Haziq akur dalam kehidupannya, banyak impian yang dibina kadangkala menemui kegagalan.

Beliau pernah mewakili Singapura dalam pasukan bola sepak nasional di bawah 20 tahun selama setahun tetapi terpaksa mengundurkan diri kerana kecederaan.

"Saya masih mengejar impian saya dan berharap dapat kembali bermain bola lagi, sesuatu yang saya sukai sejak dahulu.

"Dalam hidup, memang ada pasang surutnya. Bagi saya, kalau kita minati sesuatu, kita harus berani mencuba dan jangan biarkan fikiran kita bersarang dengan bermacam tanda tanya.

"Kalau kita masih rasa takut, ia tidak sihat dan akan menjejas keyakinan diri kita kelak. Jadi terus mencuba," tambahnya.


"Pemergiannya membawa impak besar dalam hidup saya kerana selama ini, ibu yang banyak memberi saya idea dan semangat untuk menyanyi walaupun perjalanan saya di Anugerah terkandas sampai ke peringkat separuh akhir."
- Muhammad Haziq Mohamadan.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3