Subuh
5:57
Syuruk
7:14
Zuhur
1:18
Asar
4:29
Maghrib
7:20
Isyak
8:29
Dapatkan laporan terkini berkaitan Covid-19. Ikuti kami di Telegram
Gaya Hidup0

Bakat remaja Syah Riszuan juara Suara 2.0

Jan 25, 2021 | 01:20 AM

PERJALANAN bakat remaja Singapura, Syah Riszuan Huslan, dalam peraduan Asia's Got Talent 2 empat tahun lalu, mungkin terhenti di peringkat separuh akhir sahaja.

Namun, pada malam Ahad (24 Januari), sejarah tercipta buat Syah, 15 tahun, apabila beliau dinobatkan sebagai juara Suara 2.0 anjuran Wisma Geylang Serai (WGS).

Beliau yang mendendangkan lagu hit penyanyi Singapura, Hazrul Nizam, Kaulah Segalanya, di peringkat akhir peraduan yang diadakan sempena sambutan ulang tahun kedua WGS menewaskan sembilan finalis lain.

Pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat 'O'-nya akhir tahun ini menitiskan air mata gembira dan sebak ketika diumumkan pengacara Farhana M. Noor dan Fadli Kamsani sebagai juara pertandingan.

Syah memenangi hadiah bernilai lebih $5,000 yang meliputi televisyen bijak 70 inci Philips dan wang tunai $2,601.

Berita Popular

Tempat kedua dengan kemenangan hadiah bernilai $3,000 diraih Shai Othman, 24 tahun, lulusan Maktab Seni Lasalle. Shai yang membawa pulang komputer Apple IMAC dan wang tunai $1,101 merupakan juara iSing Singapore 2018 yang mewakili negara ke Perancis bagi iSing World.

Tempat ketiga pula jatuh kepada Muhammad Fairus Adam, 37 tahun, seorang pendidik prasekolah, yang pernah meraih gelaran  juara Kejohanan Karaoke Sedunia (KWC) 2015, Beliau membawa pulang kamera DSLR Nikon bernilai $1,199.

Mereka menerima hadiah masing-masing daripada Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim.

Penaja peraduan adalah Harvey Norman dan Beyer Dynamic manakala juri tetap adalah Ann Hussein dan Didicazli. Dua juri undangan peringkat akhir terdiri daripada pendidik dan penggiat seni, Asnida Daud dan penggubah lagu Mayuni Omar.

Ketika dihubungi menerusi aplikasi Zoom sejurus dinobatkan sebagai juara, Syah menjelaskan:

"Saya hanya mahu memberikan yang terbaik dalam peraduan yang disertai ketika saya berada di tahun terakhir di sekolah menengah tahun ini.

"Saya lihat saingan begitu sengit dengan abang-abang dan kakak-kakak cukup berpengalaman. Saya banyak belajar daripada mereka tentang teknik lontaran suara dan seni persembahan.

"Selepas peraduan ini tamat, saya akan rindui detik emas bersama mereka."

Shai pula berkata beliau mengambil Suara 2.0 sebagai landasan buatnya memperkasa nyanyian dalam bahasa Melayu kerana sebelum ini, sering menyertai peraduan nyanyian dalam bahasa Inggeris.

"Saya lihat Syah begitu rajin dan selalu datang tepat pada masanya sewaktu latihan walaupun beliau ada penggambaran bagi lakonan televisyen dan bersekolah. Kemenangannya adalah berkat usahanya. Saya tidak nafikan potensinya sebagai juara," tambah Shai yang menyifatkan semua peserta Suara 2.0 ibarat sebuah keluarga besar dan bukan pesaing.

Fairus pula menambah:

"Memang menyertai pertandingan ini membawa saya pada satu perjalanan yang membuka mata di sebalik penat lelahnya kena datang berlatih selepas bekerja. Saya hargai semangat kekeluargaan dalam Suara 2.0, baik dalam kalangan peserta, penganjur WGS dan kru penerbitan. Ia lebih daripada persahabatan.

"Saya kenali Syah dari kecil sebagai peserta peraduan yang saya adili. Beliau kini memiliki suara lebih matang dan rajin berlatih. Itulah kunci jaya buatnya."

Turut diiktiraf sebagai pemenang kategori pilihan penonton ialah Sarah Adriana, 20 tahun, yang meraih Beyer Dynamic People's Choice Award berdasarkan undian penonton.

Dengan lagu Indah Ruhaila, Percayalah, Sarah menyentuh jiwa ramai kerana mendedikasikan lagu itu buat ibunya, Cik Junainah Mat Nasir.

Ibunya terpisah daripadanya buat masa ini kerana menjenguk neneknya di seberang Tambak dan tidak dapat pulang kerana sekatan kembara Covid-19 ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

 

 

 

Video Baru

Podcast Baru

Try the new Halal Food Map