Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Muzik buka pintu rezeki dua anak muda

Bakat SG Zafar gali identiti dengan pelbagai genre lagu

Dec 20, 2021 | 05:30 AM



Bakat muda dalam bidang nyanyian mengharapkan sokongan dan sentiasa mencari ruang bagi mengetengahkan kemahiran vokal mereka. BERITA HARIAN melaporkan kisah dua pemuda yang teruja membawa minat muzik mereka ke tahap selanjutnya menerusi peraduan ‘Suara 3.0’ anjuran Wisma Geylang Serai (WGS).




JIWA Muhammad Zafar Zulkefli lebih tertarik pada irama tradisional Melayu yang mendekatkannya dengan warisan dan identiti bangsanya.



Kerana ibunya berketurunan Arab, Zafar, 23 tahun, yang menggunakan nama pentas Raenaz turut menggemari lagu Arab khususnya dendangan penyanyi Lubnan, Nancy Nabil Ajram.



Malahan, cita rasa lulusan Diploma Aeronautikal dan Aeroangkasa daripada Politeknik Nanyang (NYP) ini rencam dan meliputi lagu Thailand juga.



Zafar yang masih menjalani Perkhidmatan Negara (NS) sebelum ini hanya menyanyi di acara sekolah tetapi tidak berani menjelajah di luar zon persekolahan untuk menebarkan bakatnya.



Namun tahun ini, beliau memberanikan diri menghadiri uji bakat pertamanya bagi peraduan Suara 3.0 anjuran Wisma Geylang Serai (WGS).



Terbukti suaranya memikat hati barisan pengadil dengan Zafar melangkahkan kaki ke peringkat akhir pada 23 Januari depan.



"Saya mula menyanyi karaoke sejak kecil bersama bapa saya. Lagu Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Ziana Zain menjadi pilihan.



"Saya memang peminat setia Tok Ti (panggilan buat Siti Nurhaliza) kerana terpaut pada tingkah lakunya yang sopan, merendah hati dan baik budi.



"Secara tidak langsung, saya juga tertarik pada irama tradisional kerana Tok Ti banyak merakam lagu tradisional Melayu yang sedap didengar dan tinggi nilai kemelayuannya," kongsi Zafar dalam wawancara Zoom bersama Berita Harian baru-baru ini.



Kerana beliau juga pernah terlibat dalam kegiatan tarian Melayu sewaktu di sekolah rendah, Zafar terdedah pada irama tradisional Melayu yang baginya cukup menenangkan sebagai santapan halwa telinga.



"Saya bersyukur terpilih ke peringkat akhir Suara 3.0 pada percubaan sulung saya memasuki peraduan nyanyian.



"Sebelum ini, saya memang malu nak buat persembahan di khalayak ramai. Apa yang membuatkan saya beranikan diri memasuki peraduan Suara 3.0 adalah kerana saya ingin tahu dan kumpul ilmu tentang persada muzik di Singapura.



"Perancangan saya adalah menjadikan muzik satu kerjaya pada masa akan datang. Saya juga ingin cari rezeki menerusi bidang ini. Impian saya adalah membuat persembahan di pusat seni Esplanade," katanya lagi.



Dalam sesi saringan disusuli dengan beberapa pusingan pemilihan peserta terbaik, Zafar menyanyikan lagu Saat Terakhir (dendangan asal ST12), Suci Dalam Debu (Iklim) dan Suatu Masa (Datuk M. Nasir).



"Lagu Saat Terakhir adalah yang sesuai didengarkan kalau kita ingin rasakan mood 'jiwa-jiwa'.



"Suci Dalam Debu pula antara lagu yang saya selalu nyanyikan bersama bapa saya ketika kami karaoke.



"Saya pula tertarik pada kehalusan di sebalik lagu Suatu Masa yang menyentuh kalbu ketika mendengar seorang penyanyi mendendangkannya di Esplanade," ceritanya.



Walaupun dirinya enggan meletakkan cita rasanya pada satu genre muzik sahaja, kebanyakan lagu yang beliau dendangkan biasanya yang terasa dekat kerana menyampaikan pengajaran.



"Saya tidak mengira bahasa sesebuah lagu. Kerana itu saya akan dengar lagu Arab dan Thailand tanpa memahami maksudnya. Bagi saya, muzik adalah bahasa tersendiri.



"Tak faham tak mengapa. Kadangkala dengan mendengar iramanya sahaja, anda boleh menghadam apa yang cuba disampaikan sang penyanyi," katanya lagi.



Menurutnya, Biarlah Rahsia (dendangan Siti Nurhaliza), Pelangi Petang (Sudirman) dan Listen (Beyonce) adalah antara lagu yang membawa impak buatnya kerana pesanan yang disisipkan.



"Biarlah Rahsia memberi gambaran tentang perkara yang kita payah nak beritahu kepada orang lain sebab mereka mungkin tak dapat memahami atau menerimanya.



"Pelangi Petang oleh Sudirman pula menyentuh kalbu. Kehidupan ini sememangnya bukan setakat sarat dengan pelangi dan kupu-kupu yang cantik dipandang mata. Kita juga harus menelan yang pahit.



"Listen pula gambaran suara hati seseorang yang ingin luahan rasanya didengari setelah sekian lama orang sekeliling memekakkan telinga dan enggan bersimpati," jelasnya lagi.



Pada masa lapang, Zafar merupakan pencinta kucing yang menjaga 10 ekor kucing, sebahagiannya ditemui di jalanan.



"Saya mewarisi rasa sayang ibu saya pada kucing," tambahnya, yang memilih lagu ikonik Sinaran, nyanyian asal Datuk Sheila Majid, bagi peringkat akhir.




"Saya tidak mengira bahasa sesebuah lagu. Kerana itu saya akan dengar lagu Arab dan Thailand tanpa memahami maksudnya. Bagi saya, muzik adalah bahasa tersendiri. Tak faham tak mengapa. Kadangkala dengan mendengar iramanya sahaja, anda boleh menghadam apa yang cuba disampaikan sang penyanyi."



- Muhammad Zafar Zulkefli.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >