Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Balada cinta U.K’s resap ke jiwa

Band rok M’sia bawa penonton konsert selami pelbagai dimensi kasih
Nov 10, 2023 | 05:30 AM



Kelihatan seorang wanita berusia 30-an tahun duduk di tengah-tengah Dewan Konsert Esplanade tanpa teman tetapi kelihatannya seronok dibuai lagu-lagu balada cinta kumpulan Malaysia, U.K’s.

Setiap lagu yang didendangkan vokalis kumpulan itu, Mohd Azmir Muhammad Yusof (Amir), bagaikan dihafal dalam hati. Mudah sahaja wanita ini bangkit dari tempat duduknya sambil menyanyi penuh emosi. Apabila lagu rancak berkumandang, beliau lebih bersemangat untuk menari mengikut irama tanpa hiraukan orang sekeliling.

Begitulah keadaannya apabila U.K’s yang turut dianggotai Rozdenil Toni (Denil), Amiruddin Shariff (Amirul), Mustafa Kamal Ahmad (Mus) dan Mohamad Saleh Mohd Alias (Olley), turun padang di Kota Singa untuk menyajikan santapan halwa telinga dalam bentuk Konsert ‘Live’ U.K’s Kau Satu-Satunya pada Rabu malam.


Walaupun bukan hujung minggu dan keesokan harinya ramai perlu bekerja, konsert anjuran Jive Entertainment tetap meriah dengan tiga suku dewan konsert itu terisi dengan penonton, dari tingkat bawah hingga empat.

Ada yang datang dengan teman sekolah yang sama-sama ikut terbuai dengan lagu cinta seperti Sebak, Siapa Rampas Cintamu dan Kau Satu Satunya. Beberapa pasangan suami isteri juga kelihatan dalam ruang konsert bak mengenang semula pengalaman menyulam cinta pada zaman remaja.


Kelihatan Amir mempunyai karismanya sendiri walaupun beberapa kali mengulangi keadaan sudah jauh berbeza seperti dari segi saiz badan (dahulu kurus, kini berisi), dahulu berambut lebat, sekarang botak, dahulu bujang tetapi sekarang sudah beranak-pinak.

Beliau pandai bercerita dan membuka selingkar kisah evolusi band yang dibangunkan komposer Saari Amri seawal 1989, lantas tidak membosankan hadirin yang datang bukan sahaja bagi mendengar lagu malar segar U.K’s tetapi juga untuk mendengar cerita-cerita menarik.

Meskipun ramai sedia maklum suaranya kadangkala tidak sampai pada nota tinggi (meskipun tidak sampai terkeluar ‘ring’ dan masih boleh dinikmati), penonton memberi respons positif dengan sama-sama menyanyi.

Digerakkan fungsi lampu picit telefon untuk menyinari malam bagi beberapa lagu romantis perlahan.

Kalau anda bukan peminat tegar U.K’s seperti saya, anda masih boleh menikmati dan mula mengenali beberapa lagu yang mungkin jarang benar didengar seperti Rhythm Si Jantung, Muka Seposen, Balada Ani dan Nafas Orang Kota. Judulnya sahaja menarik perhatian.


Tenaga penonton yang sentiasa ceria dan ternanti-nanti lagu selanjutnya dialunkan tentunya ‘berjangkit’ kepada Amir dan rakan-rakan pemuzik serta penyanyi latar sehinggakan seluruh dewan bergema dengan laungan suara dan tepukan ghairah penuh semangat.

U.K’s tentunya dapat mengubat rindu dengan peminat di Singapura setelah hampir 30 tahun tidak datang ke sini. Amir menyatakan kali terakhir beliau singgah ke negara ini untuk konsert berskala besar adalah di Fire Disco.

Momentum konsert menjadi lebih mantap apabila lagu yang dekat di hati seperti Seksa ataupun Di Sana Menanti Di Sini Menunggu dan Bila Diri Disayangi kedengaran.


Semua ini lagu ikonik yang pastinya pernah ‘singgah’ ke pendengaran kita jika sering mendengar radio pada tempoh gemilang lagu ini berada dalam carta muzik Nusantara.

Masih ramai yang tidak boleh lupa bagaimana lagu Di Sana Menanti Di Sini Menunggu ini begitu besar impaknya sehingga ada (khususnya wanita) yang terasa menyampah mengamati bait-bait lirik lagu ini. Sebabnya, ia mengisahkan tentang lelaki yang tersepit dalam dilema menjalin hubungan cinta dengan dua wanita serta payah membuat pilihan.


Mengimbas balik tamparan besar lagu itu, Amir sempat berkata: “Memang tak lengkap kalau kami tak nyanyikan lagu ini. Tapi hati-hati sebab kalau baca liriknya, boleh jadi satu doa. Harap-harap, taklah macam tu ya.”

Sepanjang konsert, sanjungan berulang kali diberi U.K’s kepada Saari yang membangun kumpulan ini dan menciptakan beberapa mahakarya yang menjadi hit dan dikenang hingga ke hari ini.

Walaupun pelbagai berita dilaporkan mengenai kemelut dan kontroversi yang melanda kumpulan ini kerana isu royalti dan pelanggaran undang-undang membabitkan anggotanya serta pembentukan kumpulan Utama oleh anggota U.K’s yang bergabung tenaga dengan Rahmat Mega pada 1997, pastinya situasinya lebih damai dek persahabatan lima sekawan itu kini.

Lumrahnya, apabila usia semakin matang, semangat ukhuwah itu lebih diutamakan sebagaimana yang dilihat ada pada U.K’s hari ini.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >