Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

TUKAR ANGIN demi pengalaman

Bintang Vasantham, Vicky, terjerat dalam dilema 'Kecoh Kahwin' Suria

Peluang bagi pelakon saluran Suria menjayakan drama Tamil dan pelakon saluran Vasantham mewarnai drama Melayu kian terbuka kini. Dengan syarikat penerbitan setempat gigih menghasilkan karya dengan suasana kesingapuraan yang menyerlah faktor berbilang kaumnya, dua pelakon berikut mampu 'menyeberangi' saluran lain dan menambah pengalaman baru. BERITA HARIAN melaporkan.
Mar 28, 2022 | 05:30 AM



PERTUTURAN bahasa Melayu pelakon Vasantham, Vikneswary SE, yang disaksikan dalam drama Suria, Kecoh Kahwin, 'cair' macam air.



Ramai yang menyangka beliau warga Malaysia atau memang fasih berbahasa Melayu.



Namun, dalam satu wawancara Zoom yang dikendalikan Berita Harian (BH) bersamanya, Vikneswary, 32 tahun, yang mesra dengan panggilan Vicky tertawa sambil menjelaskan ia hanya satu lakonan.



Beliau baru sahaja belajar bahasa itu menerusi pendengaran sebutan rakan yang berlakon dengannya memandangkan ini kali pertama dirinya berlakon dalam drama Melayu.



Pengalaman menjayakan drama terbitan Millenia Motion Pictures itu malahan dirasakan satu amanah besar buatnya meskipun sudah banyak kejayaan yang diciptanya termasuk Anugerah Pradhana Vizha (persis Pesta Perdana) sejak menyertai peraduan ratu cantik berbakat, Miss Vasantham, pada 2011.



"Saya adalah tutor selama 12 tahun. Ia adalah tugas utama saya. Namun, sejak menyertai peraduan Miss Vasantham, saya mula menerima tugas berlakon dan mengacara.



"Kerana itu, dilibatkan dalam Kecoh Kahwin memberi sekilas senyuman di bibir saya. Ia adalah titik tolak bersejarah buat saya. Saya akan sentiasa ingatkan pengalaman pertama berlakon dalam drama Melayu. Saya bersyukur sebab sebelum ini tidak pernah berbual Melayu dalam drama meskipun suami saya seorang Melayu dan saya mempunyai jiran atau sahabat Melayu," jelasnya.



Menurut Vicky, tiada masalah mempelajari bahasa baru seperti bahasa Melayu.



Sebelum ini pun, beliau yang berbahasa Inggeris dengan ibunya (penutur bahasa Hindi) di rumah mahirkan diri dalam bahasa Tamil melalui latihan tanpa henti di set lakonan dan ketika mengacara.



"Di set Kecoh Kahwin, saya akan dengar cara pelakon lain menyebut perkataan Melayu. Hanya dari segi sebutan, saya harus pastikan ia tidak disebut secara baku dan kedengaran seperti penutur bahasa Melayu yang lain," kongsinya.



Ditanya mengenai wataknya sebagai gadis India, Charanya, dalam drama ini, Vicky menganggapnya sebagai wanita yang sangat penyayang dan praktikal tetapi sering diawasi neneknya yang terlalu menyayanginya.



Teman lelakinya Arif yang dilakonkan Zhin (Muhammad Hafidzhin Sadali) juga mengawal ketat pergerakannya kerana terlalu mencintai Charanya. Mereka juga sering bertengkar kerana sikap Arif ini.



Hubungan mereka yang berlainan kaum juga ditentang ibu Arif dan nenek Charanya.



"Mujurlah, Dzin adalah rakan gandingan saya dalam drama ini. Beliau lebih muda daripada saya tetapi matang dan banyak membantu saya.



"Sekejap-sekejap, Dzin akan tanya saya sama ada saya selesa di set Melayu dan dialog yang perlu dihafal 'okay' atau tidak.



"Kami selalu berbincang tentang kehidupan, keluarga dan perancangan masa depan. Keserasian kami memang dapat dirasakan serta-merta.



"Beliau rakan gandingan terbaik, ramah dan jujur. Tapi semua pelakon di set ini memang merendah hati. Nurul Aini dan Fauzie Laily misalnya tak sombong, kecoh dan melayan saya dengan baik walaupun saya baru lagi dalam set lakonan drama Suria ini.



"Tiada keangkuhan pun dalam diri mereka walaupun nama besar dalam industri lakonan Melayu di Singapura. Pengarah Yahssir M pun prihatin tentang saya," jelasnya.



Sebagai seorang wanita yang romantis, kasih sayang yang ditunjukkan Arif pada Charanya membuatkan Vicky merasakan Arif contoh jejaka idaman ramai gadis yang dambakan perhatian.



"Saya tanya Zhin apakah semua jejaka Melayu macam tu? Kata Zhin, 'tidaklah!' Nasib baik saya dah kahwin. Nak juga jejaka penyayang yang memberi segala perhatian macam Arif!" jelas Vicky.



Hubungan kekasih berlainan kaum, tambahnya, adalah perkara yang biasa berlaku dalam masyarakat majmuk di Singapura.



Suami Vicky juga merupakan seorang lelaki kacukan Melayu-India.



"Bagi saya, apa yang membuatkan tekanan berlaku dalam sesuatu hubungan bukan soal perbezaan kaum dan agama.



"Semuanya bergantung pada hubungan sesama individu dan berteraskan hati masing-masing. Keluarga suami berbual dalam bahasa Melayu sesama mereka. Saya berbual Inggeris dengan mereka.



"Rasa hormat pada kaum lain menyatukan kami. Justeru, apabila dapat tahu saya berlakon dalam drama Melayu pertama, suami dan ibu bapanya cukup teruja. Suami lebih pada rasa lega kerana drama Melayu tak akan ada babak mesra sentuh menyentuh yang keterlaluan. Selamat!



"Ibu dan bapa mentua sangat menggalakkan dalam kerjaya saya sebagai pelakon, sama macam keluarga saya sendiri.



"Keluarga saya ingat saya cuma wanita India di latar sesebuah adegan atau setakat melintas lalu dalam sesuatu babak. Mereka terkejut apabila saya kata saya antara watak penting dengan banyak dialog dalam drama ini," ujarnya.



Bidang lakonan adalah penggerak nadi Vicky selama lebih sedekad. Beliau bahkan bahagia diberi peranan sebagai pejuang wanita pada zaman pendudukan Jepun dalam drama Tamil empat episod, tahun lalu.



"Saya ni pembersih dan teratur orangnya. Apabila diminta jangan berdandan, saya 'okay' dan lagi suka. Tapi bayangkan apabila watak ini perlu merangkak dalam lumpur, pegang senapang dan berlari tangkas...peranan ini benar-benar memerah tenaga fizikal dan emosi saya. Tapi ia adalah kemuncak dalam kerjaya lakonan saya," jelasnya.



Ditanya apakah muridnya teruja dapat tutor selebriti, Vicky yang dianggap Ratu Air Mata Vasantham tertawa seraya berkata:



"Mereka memang selalu tanya adakah saya ada tugasan berlakon dan perlu menangis setiap kali nampak saya didandan rapi.



"Ibu mereka pula lagi suka kisah gosip pelakon dan tanya betulkah pelakon A keluar dengan pelakon B? Saya kata saya tak jaga tepi kain orang. Tapi seronok apabila ibu bapa pelajar Vietnam saya meminta pautan video lakonan saya untuk anak mereka tonton!"




"Kerana itu, dilibatkan dalam 'Kecoh Kahwin' memberi sekilas senyuman di bibir saya. Ia adalah titik tolak bersejarah buat saya. Saya akan sentiasa ingatkan pengalaman pertama berlakon dalam drama Melayu.
Saya bersyukur sebab sebelum ini tidak pernah berbual Melayu dalam drama meskipun suami saya seorang Melayu dan saya mempunyai jiran atau sahabat Melayu."
- Pelakon Vasantham, Vikneswary SE.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >