Subuh
5:37
Syuruk
6:53
Zuhur
12:58
Asar
4:01
Maghrib
7:00
Isyak
8:09
Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Gaya Hidup
31
0

BELASUNGKAWA

Bob Tutupoly tinggalkan 'Widuri' sebagai kenangan

Legenda pernah jayakan beberapa filem, jadi duta budaya bawa seni Indonesia ke rantau Asia, antarabangsa
Jul 07, 2022 | 06:37 AM

SETIAP kali ke majlis kahwin atau acara jamuan malam korporat, akan berkumandang lagu Indonesia terkenal Widuri, yang dipopularkan bintang legenda Bob Tutupoly, yang nama sebenarnya Bobby William Tutupoly.

Ia juga lagu 'wajib' dalam sesi karaoke atau keramaian melibatkan orang lama, termasuk bukan Melayu, yang senang dengan sentuhan melodi dan lirik lagu ini.

Kelmarin, Bob, yang sudah lama sakit, termasuk dilanda strok, meninggal dunia pada usia 82 tahun sekitar 12.30 malam di Rumah Sakit Mayapada di Jakarta.

Balunya, Rosmayasuti Nasution, seorang bekas penari dan ratu cantik, mengesahkan pemergian suaminya, manakala anak tunggalnya, Sasha Karina Tutupoly, berkata:

"Papa saya, sejak Disember lalu, keluar masuk hospital Kali terakhir dimasukkan ke unit jagaan rapi hospital (ICU) adalah sekitar Mei. Papa dirawat selama sebulan."

Bob, yang dilahirkan di Surabaya pada 13 November 1939, mula menyanyi secara profesional pada 1965 dalam kumpulan Pattie Bersaudara.

Antara lagu terkenalnya adalah Lidah Tak Bertulang, Kerinduan, Tiada Maaf Bagimu, Tinggi Gunung Seribu Janji dan lain-lain.

Beliau juga pernah bergabung dengan Bill Saragih menerusi band The Jazz Riders pada 1960.

Pada 1969, Bob berkunjung ke Amerika Syarikat untuk memimpin pengurusan sebuah restoran, Restoran Ramayana, milik syarikat minyak dan gas Indonesia, Pertamina, di kota New York.

Setelah kembali ke Indonesia pada 1977, Bob lebih dikenali setelah membawakan lagu Widuri ciptaan Slamet Adriyadi.

Ia merupakan lagu pencetus fenomena yang berhasil terjual sebanyak 650,000 salinan. Kini, ia sudah distrim sebanyak 508,843 kali di Spotify.

Apa yang menarik, jelas laman Antara News, Bob yang ketika itu sedang menyiapkan 11 lagu untuk albumnya didatangi Slamet yang masih remaja dan penuh harapan Widuri dapat beliau dendangkan.

Teman-teman Bob melarangnya merakam lagu Slamet yang dikatakan tidak sedap didengar. Namun, Bob memarahi teman-temannya yang menghina Slamet.

Setelah mendengarnya, Bob membantu mengubahsuai lagu asal Widuri sehingga ia berjaya diterima ramai di merata dunia.

Bob juga mengacara program kuiz Pesona 13 di TVRI.

Beliau anak kedua dalam keluarga lima adik-beradik. Ibu bapanya, Adolf Laurens Tutupoly dan Elisabeth Wilhemmina Henket-Sahusilawane, perantau dari Negeri Ouw di Maluku.

Ayahnya askar angkatan laut sejak zaman penjajahan Belanda di Indonesia.

Bob mewarisi bakat muzik bapanya, seorang pemain seruling, dan ibunya, seorang penyanyi gereja.

Di sebalik kesibukannya berseni, Bob tidak melupakan pendidikannya dan mempunyai ijazah ekonomi daripada Universitas Airlangga. Pengajiannya di Universitas Padjajaran, Bandung, bagaimanapun, tergendala setengah jalan.

Bob pernah menjayakan beberapa filem, Gli Innamorati Della Becak (Kisah Cinta si Tukang Becak) (1958), Penasaran (1977), dan Sebelah Mata (2008).

Bob juga adalah duta budaya yang membawa seni Indonesia ke rantau Asia dan peringkat antarabangsa.

Beberapa kota Belanda dijelajahinya dengan rombongan seni Maluki, Siwa Lima antara 1985 dengan 1988.

Ramai yang mengenali Bob sebagai insan yang suka bersukan, bermain golf, bola tampar, bola keranjang dan badminton.

Dalam satu wawancara bersama Berita Harian pada 2013, Bob menyifatkan Widuri nadinya sebagaimana My Way adalah nadi buat Frank Sinatra. Walau diminta mendendangkannya berjuta kali, beliau tidak mudah bosan dengan lagu itu.

"Widuri terus-terusan beri saya kehidupan. Ke mana-mana saya pergi, orang akan minta saya menyanyikan lagu ini.

"Cuma kerana sudah sering mendendangkannya, saya kadangkala mengambil mudah tentang liriknya. Bila saya terlupa, saya sendiri terfikir... inilah manusia... selalu pandang ringan segala," kata Bob yang menerima Anugerah Pencapaian Seri Temasek dalam majlis Malam Gala Seri Temasek II di Singapura.

Penyanyi Yuni Shara adalah antara yang terakhir mengunjungi Bob, Mei lalu. Beliau kagum idolanya itu masih mempunyai daya ingatan yang kuat dan boleh menyanyi.

Walaupun Bob sudah berpulang dan dijadualkan dimakamkan di TPU Tanah Kusir Jakarta hari ini, yang tinggal sebagai kenangan adalah lirik lagu Widuri yang puitis dan berbunyi:

"Di suatu senja, di musim yang lalu... Ketika itu hujan rintik... Terpukau aku menatap wajahmu.... Di remang cahaya sinar pelangi.... Lalu engkau tersenyum, ku menyesali diri... Tak tahu apakah arti senyummu

"Widuri, elok bagai rembulan, oh, sayang... Widuri, indah bagai lukisan, oh, manis...Widuri, bukalah pintu hati untukku...Widuri, ku akan menyayangi..."

"Di suatu senja, di musim yang lalu...
Ketika itu hujan rintik... Terpukau aku menatap wajahmu....
Di remang cahaya sinar pelangi....
Lalu engkau tersenyum, ku menyesali diri...
Tak tahu apakah arti senyummu.
Widuri, elok bagai rembulan, oh, sayang...
Widuri, indah bagai lukisan, oh, manis...
Widuri, bukalah pintu hati untukku...Widuri, ku akan menyayangi..."

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3