Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Bukan masa terkejar saingi bakat muda

Siti Nurhaliza lebih tumpu perhatian bina konsistensi seni, sumbang kembali kepada masyarakat
Sep 26, 2022 | 05:30 AM



MENGHARUNGI kehidupan selama 27 tahun sebagai selebriti terkenal yang diberi jolokan 'penyanyi tersohor Malaysia' tidak seindah yang dibayangkan tetapi tidak seburuk yang dijangkakan.



Datuk Seri Siti Nurhaliza, 43 tahun, akur dengan setiap gerak langkah, tutur kata dan hantaran media sosial yang dimuatnaiknya menjadi tumpuan ramai, beliau adalah manusia biasa yang tidak lepas daripada kesilapan.



Pada peringkat usia sebegini, beliau masih lagi memerlukan nasihat dan tunjuk ajar agar kesilapan yang pernah dibuat tidak diulangi.



Fokus Siti, ibu dua anak, Siti Aafiyah Khalid, empat tahun, dan Muhammad Afwa, setahun ini, sudah jauh berbeza daripada ketika beliau mula-mula mencipta nama dalam persada muzik Nusantara setelah menjuarai Bintang HMI pada 1995.



PENGALAMAN MENDEWASAKAN



Sebagaimana kongsi Siti yang ditemui Berita Harian di kafe Tash Tish Tosh di Marine Cove baru-baru ini:



"Menjadi selebriti yang orang kenal, pastinya apa yang kita buat akan dilihat orang sekeliling.



"Nak katakan, menjadi seorang Siti Nurhaliza ini tidak seindah yang saya bayangkan dan tidak seburuk yang saya jangkakan.



"Saya bukan manusia serba sempurna. Saya tetap ada kesilapan. Kadang tersalah cakap atau tindak-tanduk.



"Nasihat orang dan pengalaman lebih dua dekad menjadi selebriti mengajar saya agar tidak berulang kesilapan.



"Setelah agak lama dalam industri, tumpuan saya kini bukanlah nak cari publisiti. Saya tiada niat berkejar-kejar untuk berlawan dengan generasi penyanyi muda.



"Matlamat saya nak jadi penyanyi yang konsisten dan setiap kali ada peluang menghibur dalam konsert, saya fikirkan cara nak buat konsert yang terbaik.



"Selebihnya, saya ingin memberi semula kepada masyarakat yang sudah banyak membantu saya sepanjang saya membina nama dalam industri. Seikhlasnya, saya ingin tumpukan pada usaha memberi manfaat buat orang lain. Ia bukan lagi berpusat pada soal diri saya semata-mata."



Siti hadir di kafe Tash Tish Tosh yang merupakan antara tempat kegemarannya apabila berada di Singapura.



Beliau dijamu sajian sarapan dan 'brunch' bersama pengurusnya, Rozi Sang Dewi, dan pengacara Roslan Shah sebelum melakukan beberapa rakaman promosi.



Ini merupakan kunjungan pertama Siti ke Singapura sejak pandemik Covid-19 melanda lebih dua tahun lalu.



ATASI TEMPOH SUKAR DENGAN BERSYUKUR



Menurutnya, beliau tidak pernah menyesali atau merungut dengan setiap yang dilalui sebagai anak seni yang bergiat daripada usia 16 tahun hingga 43 tahun kini.



"Saya bersyukur Allah beri saya rezeki yang melimpah-ruah tetapi ada ketika saya turut diuji dengan tempoh sukar.



"Ada masanya saya pun 'down'. Tapi Allah Maha Hebat. Dia memberi kita semua yang terbaik. Dengan setiap kesukaran yang dihadapi, ia menguji kita untuk menjadi orang yang lebih bersabar.



"Tak perlu nak merungut atau bising-bising. Kalau kita ada kekurangan, kita perbaiki diri kita," jelasnya.



BERSIAP SEDIA SEBELUM GANTUNG MIKROFON



Siti yang dibesarkan dalam keluarga tujuh beradik, yang sebilangannya boleh menyanyi, berkata beliau sudah pun memikirkan perkara atau projek niaga yang boleh beliau bangunkan jika suatu ketika terasa ingin menggantung mikrofon.



"Kita hidup di dunia ini sementara sahaja. Saya pun tak 'kan nak nyanyi selamanya. Kalau ditakdirkan tidak menyanyi lagi, saya sudah membuat persediaan dari segi perniagaan.



"Inilah yang saya harus fikirkan dari sekarang dan bagaimana perniagaan saya dapat berkekalan sehinggalah sampai masa ia dapat diwarisi Aafiyah pula. Saya dan suami memang sudah buat persediaan dan perancangan untuk Aafiyah kembangkan perniagaan ini.



"Selagi masa mengizinkan, lebih baik jika kita menggembirakan atau memberi manfaat kepada orang lain.



"Kalau kita positif, apa sahaja yang kita buat, tindak-tanduk dan kata-kata kita akan jadi positif.



"Jangan mudah putus asa. Sentiasa bersangka baik pada Allah. Kalau kita jatuh atau gagal, kita bangun dan bangkitkan diri. Kita fokus buat baik sahaja. Kebaikan yang kita beri akan kita dapat balik kelak. Dalam kita buat kebaikan, ia akan menggembirakan orang lain," tambahnya.



BANYAK HIKMAH PANDEMIK COVID-19



Mengimbas semula tempoh pandemik yang mencabar, Siti berasakan banyak hikmah yang diraih atau apa yang disifatkan persis pelangi yang dinikmati selepas hujan.



"Banyak perkara baik yang berlaku dalam tempoh pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) khususnya.



"Tidak sangka pula dari segi perniagaan, perancangan dan pemasaran bisnes BeauSiti yang segalanya dibuat dalam talian membawa pulangan lebih banyak daripada tempoh PKP.



"Produk kosmetik, jagaan kulit, minuman kecantikan yang sudah lebih lima tahun saya dan pasukan usahakan bersama telah mendapat tempat di hati ramai. Semua ini kerana saya mempunyai kakitangan yang sama-sama nak susah senang dengan saya."



Siti bahkan telah membangun komuniti usahawan Sitizen by BeauSiti yang disertai lebih 500 individu yang dibantu menjana pendapatan dan bangunkan diri untuk mencapai matlamat hidup lebih besar.



"Saya begitu terinspirasi apabila menemui ramai individu yang bersemangat menjadi usahawan. Ada seorang guru di Kelantan gigih berniaga sampai dapat komisyen RM10,000 ($3,113) sebulan. Komitmennya dan semangatnya saya tabik.



"Matlamat saya ingin bantu lebih ramai lagi individu khususnya yang kurang berkemampuan dan ingin mencari rezeki buat tambah pendapatan keluarga," katanya yang juga melibatkan diri dalam acara Malaysia Fest 2022 di Singapore Expo untuk mempromosikan barangan Malaysia, anjuran MegaXpress International Pte Ltd.



INGATAN PADA SI CILIK DI GAZA



Satu lagi hikmah yang Siti perolehi sewaktu pandemik adalah apabila beliau dan suaminya, Datuk Khalid Mohamad Jiwa, berpeluang membina sekolah hafal Al-Quran, Afwa & Aafiyah di Gaza, Palestin.



"Ia adalah untuk saham akhirat kami. Kebetulan, seorang kenalan suami, seorang penduduk Gaza yang merupakan pensyarah di Malaysia ingin mendapatkan buah fikiran apa yang perlu dilakukan sewaktu pandemik.



"Suami saya mengusulkan beliau pulang ke Gaza dan bangunkan sekolah ini. Kami akan membiayanya menerusi Yayasan Nurjiwa yang kami usahakan untuk membantu golongan kurang bernasib baik.



"Kami usahakan sekolah pada skala kecil dan mengharapkan ia dapat dimanfaatkan anak-anak generasi mendatang di Gaza," ujarnya yang turut mengadakan persembahan amal Music of the Soul: An Evening With Datuk Seri Siti Nurhaliza pada 5 dan 6 November ini di Dewan Plenary, KLCC, yang turut dijayakan Datuk Awie.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >