SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Cabaran joget #HariRayaSelamat WGS-TikTok tarik 4 juta tontonan

Cabaran joget #HariRayaSelamat WGS-TikTok tarik 4 juta tontonan

May 18, 2021 | 5:30 AM

Cabaran joget #HariRayaSelamat WGS-TikTok tarik 4 juta tontonan

TARI CERIA: Penyanyi remaja (dari kiri) Sarah Syazlina dan Syah Riszuan serta deejay Ria 897, Azura Goh sahut cabaran joget #HariRaya Selamat yang diberi Wisma Geylang Serai menerusi wadah TikTok. - Foto WISMA GEYLANG SERAI
TARI CERIA: Penyanyi remaja (dari kiri) Sarah Syazlina dan Syah Riszuan serta deejay Ria 897, Azura Goh sahut cabaran joget #HariRaya Selamat yang diberi Wisma Geylang Serai menerusi wadah TikTok. - Foto WISMA GEYLANG SERAI -

DALAM masa tiga hari kempen Lebaran yang meliputi Cabaran Tari #HariRayaSelamat di TikTok dikendalikan Wisma Geylang Serai (WGS) dari 13 hingga 15 Mei, hampir empat juta tontonan diraih di platform tersebut.

Apa yang orang ramai perlu lakukan adalah berjoget tangkas tetapi penuh gemalai mengikut irama lagu Raya, Kenangan Di Hari Raya, yang asalnya didendangkan Taufik Batisah dan Hady Mirza.

Cabaran ini masih boleh dilakukan warga TikTok yang ingin meriahkan Lebaran di rumah.

Ia merupakan kali kedua cabaran 'hashtag' atau tanda pagar diadakan WGS menyusuli kejayaan cabaran #TepukSepuluh yang dilancarkan pada musim perayaan tahun lalu.

Cabaran #TepukSepuluh dengan iringan lagu asal Noraniza Idris, Dikir Puteri, meraih sekitar 5.1 juta tontonan dengan 1,300 video dijana.

Sebelum itu, kerjasama TikTok dan WGS terjalin sejak 2019 bermula dengan usaha meraikan muzik, seni dan makanan setempat menerusi #SoulEats2019.

Ketika dihubungi, jurucakap WGS, Cik Diana Halil, berkata memandangkan WGS adalah pusat sivik seni dan budaya, ia selalu memastikan unsur kebudayaan dapat disisipkan dalam setiap acara yang dilakukan.

"Percubaan tahun lalu bersama TikTok tular dengan unsur-unsur dikir barat.

"Lantaran itu, tahun ini, kami mengenalkan satu lagi unsur kebudayaan iaitu tarian Melayu. Terasnya adalah Hari Raya dapat diraikan dengan selamat.

"Kami bekerjasama dengan Sri Warisan bagi mengenalkan dua ragam tari, inang dan joget bukan sahaja kepada warga TikTok setempat bahkan di peringkat sejagat juga," ujar Cik Diana.

Menurutnya, WGS mula meneroka TikTok sewaktu tempoh pemutus rantaian jangkitan Covid-19 tahun lalu di mana terasa keperluan memperluas usaha mendekati masyarakat dari pelbagai lapisan usia.

WGS malah terbuka meneroka wadah yang lebih dekat dengan golongan muda yang tidak begitu mesra Facebook, Instagram atau YouTube.

Dengan kejayaan cabaran kempen tahun lalu, tahun ini, kerjasama WGS dan TikTok diperluas dengan penstriman program utama Ramadan dan Hari Raya seperti E-Buka dan peraduan mencipta lagu Hari Raya, Ilham.

Kandungan eksklusif buat TikTok, Suara STAR Wisma Geylang Special, yang mengetengahkan bakat peraduan Suara WGS dan Suara 2.0, Sarah Syazlina, Syah Riszuan, Nur Athirah dan Arshad Sunday yang mempunyai lagu mereka sendiri, juga disajikan antara 24 dengan 27 Mei ini pada 8 malam.

"Kami berasakan ia adalah situasi WGS dan TikTok sama-sama meraih kemenangan di mana kami di WGS dapat menukik pasaran mereka dan bakat kami juga dapat menebar bakat mereka.

"TikTok pula akan menjadi lebih relevan dengan kandungan menarik yang eksklusif disajikan, sesuatu yang tidak boleh diperolehi di mana-mana lagi," jelas Cik Diana lagi.

Tahun lalu, WGS bahkan dipilih sebagai kajian kes etnik TikTok yang dipapar bagi pasaran global.

"Justeru, tahun ini, selain mengharapkan tambahan bilangan warga TikTok yang mampu didekati serta peningkatan penyertaan, kami berharap dapat menjadikan laman TikTok WGS sebagai destinasi wajib yang boleh dilungsuri ramai yang ingin tahu apa sahaja tentang budaya Melayu di Singapura," katanya.

Pengurus Operasi Pengguna dan Kandungan TikTok, Cik Doreen Tan, pula menambah TikTok kian menjadi wadah pengguna Singapura menyebar keceriaan sewaktu musim perayaan seperti Ramadan.

"Dengan kerjasama bersama WGS, kami berharap dapat terus mendekati dan meraikan bersama masyarakat Melayu/Islam serta terus timbulkan rasa teruja kumpulan pengguna setempat yang rencam dan berbilang budaya di sini dengan siri penstriman langsung (bit.ly/wgsraya21) serta cabaran #HariRayaSelamat," ujar Cik Tan.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg