Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

HOLLYWOOD

Dari bintang remaja canggung ke wira karisma

Pelakon Slumdog Millionaire, Dev Patel, lalui perubahan ketara demi bina personaliti hero The Green Knight
Sep 22, 2021 | 05:30 AM



Sebilangan bintang cilik atau remaja Hollywood mungkin berdepan dengan masalah kemerosotan kepopularan dan krisis peribadi yang mengheret mereka ke kancah penagihan atau jenayah apabila dewasa. Namun, dua bintang berikut yang menjayakan dua filem yang dinanti-nanti di pawagam membuktikan kerja keras dan semangat positif mampu meningkatkan semula nama mereka di mata dunia hiburan. BERITA HARIAN melaporkan.



SEKITAR 13 tahun lalu, ramai penonton dunia yang kagum dengan bakat lakonan dan penghayatan Dev Patel yang menghidupkan watak remaja Muslim, Jamal Malik, dalam filem Slumdog Millionaire.



Watak Jamal dibesarkan dalam sekitaran penduduk miskin di Bombay, India.



Meskipun berwajah sederhana sahaja malah nampak kurus berbanding pelakon Bollywood tampan lagi sasa yang menghadiri sesi uji bakat filem ini, Patel yang ketika itu berusia 18 tahun, tetap pilihan penerbit Danny Boyle bagi menggalas peranan utama.



Sebabnya, Boyle melihat personaliti anak muda itu yang lain daripada lain malah membuatkan anak remajanya yakin suatu hari budak itu akan jadi bintang besar.



Sebelum ini, Patel membawa watak Anwar dalam filem Skins tanpa sebarang pengalaman berlakon.



Pelakon kelahiran London itu juga tidak pernah menjangkakan dirinya akan pergi jauh sehingga dicalonkan bagi Anugerah Academy, Bafta dan Golden Globe menerusi Slumdog Millionaire, sebagaimana dikongsi dengan majalah Esquire.



Ternyata, usaha ibunya mendesaknya menghadiri satu sesi uji bakat bagi Skins berhasil dengan dirinya kini antara eksport terbesar United Kingdom.



Masa berlalu dengan pantas sejak Patel dibawa menjelajah beberapa kawasan setinggan di India bagi menjiwai peranan sebagai Jamal.



Beliau kini pelakon berpengalaman berusia 31 tahun yang bukan lagi remaja yang bergelut dengan kepopularan dan penerimaan penonton.



Kini, anak konsultan teknologi maklumat dan pekerja jagaan sosial itu adalah nama besar yang diberi peranan utama dalam banyak filem termasuk yang ditayangkan di Singapura minggu ini, The Green Knight.



Patel yang berjambang dan tampak lebih matang daripada dahulu malah menjadi kegilaan wanita yang gemarkan personaliti pelakon intelektual itu adalah Sir Gawain, anak saudara King Arthur yang degil dalam filem ini.



Misi Sir Gawain adalah menentang raksasa misteri yang dipanggil 'Green Knight' di Istana Camelot.



Perwira ini melalui satu proses kembara panjang penuh risiko bagi membuktikan keupayaannya di hadapan keluarga dan pentadbir istana.



"Tiada lagi paparan remaja kudut berwajah kebudak-budakan yang banyak berbual tetapi kadangkala payah mendapat kepercayaan penerbit yang mahukan pelakon lebih dewasa bagi menerajui peranan lebih berisi dalam filem serius yang memerlukan pemikiran dan emosi mendalam," dedah satu rencana laman Mirror mengenai transformasi Patel.



Secara peribadi, apabila penulis menyaksikan pratonton The Green Knight, keliatan Patel gigih membangun kemahiran lakonannya seiringan dengan penampilan peribadinya. Segalanya bermula sejak beliau menjayakan Lion, kisah inspirasi berdasarkan kisah sebenar penulis India, Saroo, yang terpisah daripada keluarga dan diambil sebagai anak angkat pasangan suami isteri di Australia.



Saroo menemui ibu sebenarnya dan kediaman asalnya dengan menggunakan Google Earth.



Patel mula gigih bersenam, berjambang dan mempamerkan wajah lebih serius tetapi masih mengekalkan kerendahan hatinya.



Beliau adalah pelakon yang gigih menjalankan kajian.



Antara yang dilakukannya sendiri bagi persiapan untuk Lion adalah mengembara ke India seorang diri dengan menaiki kereta api, berkunjung ke rumah anak yatim dan bertemu empat mata dengan keluarga asal (di India) dan keluarga angkat Saroo di Australia.



The Green Knight membawa anda melihat Patel bukan sebagai wira yang mudah disayangi.



Kedegilan dan sifat ego yang dipamerkan dalam filem ini kadangkala membuat anda rasa meluat dengan watak Sir Gawain.



Namun, ia adalah kisah fantasi aksi yang membawa minda anda terbang ke dalam dunia zaman raja-raja Inggeris dahulu yang penuh adat istiadat, kisah perjuangan dan keberanian.



Daripada wira yang nampak canggung, Patel berjaya menonjolkan dirinya sebagai yang lebih berkeyakinan diri dan mampu menyentuh jiwa ramai yang serta-merta merasakan semangat berkobar-kobar Sir Gawain dalam membuktikan jiwa kepahlawanannya kepada keluarga.



Ia bukti kuat mengapa kadangkala kedegilan dan keberanian melakukan sesuatu yang menentang norma itu perlu bagi menggoncangkan situasi yang mendak dan tidak pernah dapat berubah.



Kata pengarah The Green Knight, David Lowery kepada akhbar New York Times, beliau mencari pelakon yang mampu membuatkan penonton menggemarinya walaupun wataknya itu menjelikkan.



"Saya tahu ramai wanita sukakan rambut dan janggut lebat Dev Patel. Saya terbaca di media sosial mengenainya.



"Namun, saya memilihnya sebagai watak utama filem ini kerana saya melihat potensinya yang akan terus berkembang dalam filem-filem mendatang.



"The Green Knight hanya menampilkan secebis potensinya yang perlu digali lebih dalam lagi," kata Lowery.



Manakala Patel dalam satu rencana Firstpost pula berkata beliau masih rasa janggal dengan pujian yang diterimanya kini khususnya tentang penampilan matangnya.



"Suatu ketika dahulu, saya hanya budak yang dibuli di bilik sembang Internet. Ada tinjauan rambang dengan senarai nama watak kegemaran ramai di filem atau watak paling tampan. Saya selalu dipilih sebagai yang paling buruk atau kurang menawan.



"Saya rasa sedih pada waktu itu. Kerana dah biasa dengan kritikan, saya macam tak percaya dipuji walau selepas hampir 15 tahun berlakon," katanya.



Apa yang menarik tentang The Green Knight?



Kata Patel: "Pengalaman menunggang kuda yang tahu sama ada anda kurang tidur malam sebelumnya atau tidak!"




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >