Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

ARTIS NUSANTARA

Dari nyanyi ke niaga kerepek kentang telur asin

Penyanyi Aiman Tino buka bisnes dengan cef selebriti S'pura Haikal Ismail
Mar 11, 2020 | 05:30 AM



EMPAT tahun lalu, nama bakat remaja Aiman Tino yang ketika itu baru mencecah usia 18 tahun menjadi sebutan di Singapura dan Malaysia.



Lagu 'hit' Ku Rela Dibenci menjadi lagu yang amat diminati dan menjadi igauan ramai yang dahagakan lagu jiwa-jiwa berkumandang dalam industri muzik Nusantara.



Fenomena yang dicipta anak muda kecil molek berwajah comel kelahiran Kuala Kubu Bharu, Selangor itu, begitu terasa apabila klip video YouTube-nya ditonton sehingga 21 juta orang dalam tempoh setahun.



Pejam celik, sejak empat tahun ia dimuatnaikkan, bilangan yang menonton semakin meningkat dengan klip video Ku Rela Dibenci sudah disaksikan lebih 55.5 juta kali oleh warganet.



Pengalaman bergelar bintang remaja semalaman memang menggembirakan buat Aiman, kini 22 tahun. Namun, di sebalik kesyukurannya, anak keempat dalam 10 beradik itu juga perlu berdepan dengan kejutan demi kejutan serta kontroversi demi kontroversi bergelar artis.



Dari kisah beliau kononnya menumpang kepopularan nama bintang veteran Herman Tino hinggalah kisah pihak pengurusannya menuntut bayaran tinggi bagi persembahan.



Ada juga kisah beliau dikaitkan dengan video panas yang tular, sesuatu yang beliau nafikan langsung lebih berhati-hati dalam pergaulannya dengan orang sekeliling.



Dalam pertemuan di pejabat Berita Harian baru-baru ini, Aiman yang baru sahaja mengeluarkan album mini dengan sembilan lagu (dua daripadanya lagu baru) tahun lalu, menjelaskan pengalaman empat tahun sebagai artis sudah cukup mendewasakannya.



Maka setelah empat tahun menghasilkan lagu dan bergerak sebagai penyanyi, tahun 2020 kini ingin dimanfaatkan bagi menggarap kematangan dalam bidang perniagaan.



Kerana beliau dewasa membantu ibu bapanya mengendalikan gerai asam pedas dan char kuetiau di Dataran Kuala Kubu Bahru, Selangor, Aiman selesa meneruskan bisnes makanan bersama sahabat baiknya dari Singapura, Cef Haikal Ismail, 27 tahun.



Sejak lewat tahun lalu, mereka memajukan perniagaan kerepek kentang telur asin buat peminat di Singapura dan Malaysia.



Malahan, mulai lusa hingga Ahad ini, Aiman dan Haikal akan berada di Dewan 6A, Singapore Expo antara 10 pagi dengan 10 malam bagi menjual kerepek kentang telur asin itu di reruai jenama selebriti.



Menurut Aiman, tumpuannya kini adalah pada bisnes tersebut dengan pembikinan kerepek diusahakan sendiri bersama Haikal, baik di Singapura atau Malaysia.



Katanya, yang juga berniaga stokin dengan rekaan comel buat lelaki dan wanita:



"Aiman nak fokus pada bisnes. Projek lakonan masih lagi diterima tetapi nyanyian mungkin rehat dahulu selepas penerbitan lagu baru Dendam Simpati, Januari lalu.



"Selepas rasa kerepek kentang Haikal, memang tak boleh berhenti makan! Saya yakin produk ini boleh pergi jauh. Kami malah memikirkan tentang cara memasarkannya ke pasar raya di stesen minyak Malaysia."



Menurutnya lagi, bergelar artis selama empat tahun banyak membuatnya sedar agar lebih berhati-hati dalam pergaulan dan walau apa pun, rujuk kepada ibu bapa dalam membuat keputusan.



Di kala beliau tertekan berdepan dengan kontroversi demi kontroversi, ibu bapanya banyak memberinya kata-kata nasihat dan cara menangani segalanya tanpa mudah melatah.



"Saya juga bertuah dapat bertemu Haikal yang ketika itu membantu memperkenalkan saya di Singapura dalam satu acara.



"Orangnya jujur, tak lokek, baik hati dan tulus. Apa yang Aiman buat tidak wajar, Haikal pasti menegur. Kami dah macam adik-beradik.



"Saya memang payah nak teruskan hubungan persahabatan dengan orang jauh tetapi Haikal memudahkan segalanya. Banyak idea bisnes yang boleh kami kongsi bersama," katanya.



Haikal yang sebelum ini menghasilkan kek perkahwinan dan hari lahir buat selebriti di Singapura dan Malaysia pula menambah:



"Saya seronok melihat Aiman semakin matang mempelajari selok-belok menyiapkan kerepek kentang telur asin ini. Ia tidak semudah memakannya. Banyak proses yang perlu dilakukan dari menggoreng, membakar, mengadun dengan daun kari dan cili padi.



"Aiman perlu banyak bersabar. Kita perlu pastikan kentang tak lemau. Suhu ketuhar pun dipastikan yang sedang-sedang sahaja dan sesuai.



"Dalam persahabatan kami, saya syukuri wujud sinergi dengan kesediaan Aiman mendengar nasihat dan pandangan saya. Beliau memang anak yang baik dan menghormati orang tua. Saya hanya doakan rezekinya bertambah."




"Saya juga bertuah dapat bertemu Haikal yang ketika itu membantu memperkenalkan saya di Singapura dalam satu acara. Orangnya jujur, tak lokek, baik hati dan tulus. Apa yang Aiman buat tidak wajar, Haikal pasti menegur. Kami dah macam adik-beradik. Saya memang payah nak teruskan hubungan persahabatan dengan orang jauh tetapi Haikal memudahkan segalanya. Banyak idea bisnes yang boleh kami kongsi bersama.''
- Penyanyi Aiman Tino mengenai sahabat dan rakan kongsi bisnesnya, Haikal Ismail.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >