Subuh
5:43
Syuruk
7:06
Zuhur
1:12
Asar
4:36
Maghrib
7:17
Isyak
8:31
Gaya Hidup

LIMA SOALAN...

Dayang rebut peluang saji lagu klasik

Mar 17, 2020 | 05:30 AM

RATU runut bunyi filem dan drama Melayu, Dayang Nurfaizah Awang Dowty, bertanya jika saya dan jurufoto menanti lama di lobi Hotel Citadines Balestier.

Walhal, kami baru sahaja lima minit sampai di situ. Katanya, beliau mencuri masa sekejap bagi mengisi perutnya yang berkeroncong selepas satu sesi rakaman video langsung di Facebook.

"Maaflah kalau mulut bau sambal belacan! Dayang cuma makan dua suap nasi tadi dan asam pedas...dah lapar sangat," ujarnya penuh kerendahan hati dan keramahan.

Begitulah Dayang, 38 tahun, yang saya kenali.

Sentiasa tersenyum dan memberikan yang terbaik buat media dan peminat.

Berikut lima soalan buatnya yang mengadakan Konsert Dayang Dua Dekad di Teater Mediacorp baru-baru ini.

Konsert tersebut anjuran Shiraz Projects.

APA KEISTIMEWAAN MENYANYIKAN LAGU LAMA SEPERTI GURINDAM JIWA?

Setiap kali Dayang dengar ada yang suka atau terkesima dengan lagu-lagu lama yang Dayang dendangkan, gembiranya hati saya!

Saya memang suka lagu-lagu klasik. Kerana itu, saya nyanyikan lagu-lagu biduanita legenda dari Singapura seperti Rahimah Rahim, Nona Asiah dan Anita Sarawak pada konsert saya.

Mana-mana boleh selitkan lagu klasik, saya cuba. Susah nak bawa ke konsert atau persembahan korporat kerana orang biasanya meminta lagu-lagu kontemporari atau lagu 'hit' Dayang.

Bagus untuk saya ketengahkan lagu lama sebab sayang kalau generasi muda terlepas peluang mendengarnya dan menghargainya.

PERNAHKAH WARGANET KIRIM PESANAN MENYATAKAN MEREKA TERKESAN DENGAN LAGU DAYANG?

Ada termasuk bagi lagu terkini Dayang, 'Sebentar'. Kata peminat ni, lagu ini seronok didengar bagi memberinya semangat baru tatkala bingit dengan pekerjaan. Lagu 'Di Pintu Syurga' pula membuatkan ada yang teringatkan arwah ibunya. Saya tersentuh. Tiada niat saya menyedihkan sesiapa.

'Lelaki Teragung' misalnya pula membuatkan sesetengah orang teringat suami atau ayah mereka. Alhamdulillah, apabila peminat merasakan maksud lagu-lagu Dayang, saya bersyukur amanah sebagai penyanyi dapat digalas dengan baik.

APAKAH TEMPOH PALING MENCABAR ATAU BERMAKNA SEPANJANG DUA DEKAD INI?

Semasa Dayang mencuba pelajari selok-belok menerbitkan album selangkah demi selangkah setelah keluar daripada syarikat rakaman lama boleh disifatkan sebagai tempoh mencabar dan bermakna.

Ada album menjadi, ada yang tidak sehingga buat saya 'frust'. Tapi saya tidak menganggapnya sebagai pengalaman pahit kerana setiap yang pahit mengajar kita. Ia mendewasakan Dayang.

APA YANG DAYANG PELAJARI DARIPADA GOLONGAN BUDAK BARU NAK UP (BBNU)?

Saya tidak segan belajar daripada BBNU. Mereka beruntung kerana memiliki bakat mencipta lagu sekelip mata. Mereka siapkan lirik dan klip video sekaligus. Tak perlu syarikat rakaman...semuanya buat sendiri di media sosial.

Saya pelajari nak muatnaikkan gambar apa atau buat apa bagi memasarkan lagu. Tapi mereka juga harus akur kejayaan yang senang dapat, senang juga lenyap. Kita perlu pandai susun strategi.

Kadangkala cemburu juga dengan mereka ni yang dah tahu arah mana mereka ingin mencorak muzik mereka. Zaman Dayang sebaya dengan mereka dahulu, kita ambil sahaja lagu yang orang beri.

APAKAH PESAN DAYANG KEPADA BBNU?

Mereka mesti ikhlas dengan peminat dan yakini bakat yang mereka miliki. Bakat jauh lebih penting daripada paras rupa sebab ia bertahan lama dan tidak akan dimamah usia.

Rupa boleh dibentuk. Kita harus akur tidak semua orang dianugerahkan dengan wajah yang cantik. Ada kemudahan canggih kini bagi mereka manfaatkan sebaiknya demi majukan bakat dan karya mereka. - HARYANI ISMAIL

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian