Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:08
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Di ambang suku akhir GV8: Nikki bangkit semula; Aliff di kedudukan selesa; warganet puji Suki; Adibah salah langkah; Bandi tersingkir

Jan 03, 2022 | 02:23 AM



SETELAH jatuh ke tangga keenam dengan rendisi lagu klasik Gurindam Jiwa yang kurang memikat perhatian juri, Nikki Palikat kembali kukuh di tangga teratas Konsert Minggu Ketujuh Gegar Vaganza 8 (GV8) minggu ini dengan lagu popular Hetty Koes Endang, Rindu.



Nikki, 36 tahun, yang seakan-akan menghidupkan watak Cleopatra dengan ditemani seorang penari lelaki berpelitup dan latar Piramid Mesir di belakang, mendapat markah 72.3 peratus pada Ahad (2 Januari).



Awalnya, Nikki ditegur pengadil undangan Datuk M. Nasir yang menyatakan kemungkinan ada yang tak kena dan tak sesuai dengan penyampaian Nikki pada malam itu. 



"Saya rasa Hetty sebagai penyanyi asal pun tertanya-tanya mengapa lagu saya jadi macam ni?" ujar Nasir sambil memandang ke arah Hetty yang sedang sibuk membuat catatan markah.



Pada penghujung persembahan kesemua peserta, barulah Hetty tampil di pentas dengan menyatakan Nikki tidak perlu mendendangkan Rindu dengan nada rendah yang kurang asli lantas memendakkan suara semula jadinya yang sudah 'okay'.



Penyanyi asal Singapura, Aliff Aziz, 30 tahun, yang memberi kejutan dengan menampilkan isterinya Bella Astillah sebagai penari di penghujung persembahan, pula berada di kedudukan selesa di tangga kedua dengan markah 71.9 peratus.



Nasir yang mengulas persembahannya menyatakan beliau mengikuti perkembangan Aliff daripada album pertamanya yang dihasilkan pada usia remaja. Walaupun beliau tahu Aliff boleh menyanyi, penyampaian lagu Afgan, Pesan Cinta, pada malam itu dianggap ada kekurangan dengan Aliff, seperti setiap penyanyi lain, memerlukan faktor empati buat penonton terpaut pada persembahannya.



Suki Low, 32 tahun, yang menyerlah minggu lalu, menimbulkan rasa cuak penonton apabila mendendangkan lagu berat daripada runut bunyi filem Impak Maksima, Marabahaya. Lagu tersebut merupakan lagu dendangan asal kumpulan rok hip hop Pop Shuvit yang dianggotai lima jejaka.



Datuk Ramli MS sebagai ketua juri berkata Suki menampakkan usahanya mencuba satu kelainan tetapi dalam terkejar-kejarkan lagu dengan lirik yang dipantulkan cepat bak peluru berpandu, ada perkataan yang tertinggal atau tersasul lantas menyebabkan markah dipotong. Sungguhpun begitu, usahanya menyanyikan lagu rok hip hop itu adalah baik.



Kedua-dua Ramli dan Nasir menganggap lagu yang 'kasar' itu terlalu maskulin tetapi berjaya dilembutkan Suki sesuai dengan penampilannya sebagai penyanyi wanita. Nasir bertanyakan tentang mengapa penghadang muka itu digunakan dalam persembahan itu dan mungkinkah sebab penampilan feminin Suki memerlukan sesuatu unsur misteri pada gayanya di pentas. Sungguhpun begitu, Nasir juga memuji persembahan tersebut dengan menyatakan ia percubaan yang baik.



Juri tetap, Datuk Syafinaz, memberi kata-kata semangat kepada Suki dengan menyatakan beliau buat malu sesetengah penyanyi Melayu yang akan terkial-kial perlu menyanyikan bahagian rap lagu ini dengan jelas.



"Sebutan bahasa Melayu awak sangat jelas. Saya tahu bukan mudah nak sebut satu persatu perkataan dalam lagu ini dengan rentak lagu yang laju. Tapi saya tengok anda 'enjoy'. Itu yang penting, bayangkan seakan-akan kami pengadil semua tiada. Kerana lagu ini laju, bunyi dram itu harus membimbing anda," kata Syafinaz manakala Hetty Koes Endang pula menambah: "Saya lagi suka kalau Suki pakai penghadang muka sepanjang persembahan dan tidak membukanya kerana 'mood'-nya lebih dapat. Artikulasi (sebutan kata) itu penting ketika menyanyi dan saya dapati artikulasinya jelas, jelas dan jelas."



Dengan kesemua empat pengadil terdorong mengulas persembahan Suki yang disifatkan warganet sebagai berani dan menghiburkan, juara One In A Million sekitar 16 tahun lalu itu, berada di tangga ketiga dengan markah 69.7 peratus.



Sungguhpun begitu, ramai warganet di Twitter yang mempertikai mengapa Suki tewas dengan Nikki dan Aliff dan mengapa Aweera masih di tangga lebih bawah (tempat ketujuh) pada konsert minggu ketujuh dengan markah 57.5 peratus.



Komen-komen bingit mengisi ruang maya.



Dkchillin mengulas: "Ini bual serius. Bagaimana anda dahulukan Aliff daripada Suki? Tak sepatutnya dengan persembahan menakjubkan Suki bagi Marabahaya. Kerana itu, orang kata terdapat sikap pilih kasih dalam kalangan juri. Bingitnya."



Min pula menambah: "Bagi sajalah terus Aliff Aziz juara GV8 ni. Tak payah tunjukkan episod terakhir pun tak apa. Kes pilih kasih. Saya marah bahawa Aweera diletakkan di kedudukan bawah. Penyampaian Noktah Cintanya sangat bagus.



"Saya benar-benar ingin tahu bahagian mana persembahan Suki yang kekurangan berbanding persembahan Aliff Aziz. Suki tidak layak berada di tempat ketiga minggu ini."



Mat Malaypak menjelaskan: "Saya fikir tidak mungkin seorang penyanyi sahaja (berbanding lima penyanyi asal Pop Shuvit) boleh nyanyikan lagu Marabahaya secara 'live' tetapi Suki membuktikan beliau mampu melakukannya. Beliau berani mencabar dirinya sendiri dan saya harap beliau akan terus mencuba di luar zon selesanya tetapi bukan dengan mengorbankan peluangnya untuk menang."



Missblegh pula berkata: "Suki mungkin adalah satu-satunya peserta GV8 yang telah diberi lagu daripada semua genre. Program GV ni berat sebelah."



Azan Scan berada di tangga keempat (64.9 peratus) diikuti Ani Maiyuni di tangga kelima (63.3 peratus), Shidee di tangga keenam (59.4 peratus), Aweera di tangga ketujuh (57.5 peratus), Adibah Noor di tangga kelapan (56.7 peratus), Sa.Ya di tangga kesembilan (54 peratus) manakala Bandi Amuk di tangga ke-10 dengan 53.8 peratus.



Paling heboh di Twitter kini adalah langkah Adibah mengubah persembahan lagu ikonik Hetty, Berdiri Bulu Roma Ku, menjadi lagu dikir barat. Ramai yang kecewa kerana Adibah diramal antara peserta terbaik yang diharapkan dapat ke peringkat akhir.



Kata Hetty: "Saya hargai usaha Adibah menampilkan kelainan dengan memasukkan unsur-unsur budaya dan tradisional. Tapi, kalau sudah cukup kuat asas lagu asalnya, rasanya tidak perlu ditukar bentuk asal lagu ini. Tambahan ia tidak kena dengan suara Adibah."



IAmAifaa menulis di Twitter: "Saya tahu kadangkala menampilkan kelainan itu bagus. Tapi apa yang dibuat Adibah Noor?"



Soonogiyuu pula menambah: "Saya rasa hanya susunan lagu itu (Berdiri Bulu Roma Ku) yang tak kena. Ideanya okay tapi pelaksanaan idea itu lemah dan tak menjadi."



Dalam menuju ke peringkat suku akhir GV8 Ahad ini, Bandi dengan markah paling rendah tersingkir.



Bandi mengucapkan terima kasih kerana dipilih bagi GV8 dan mendoakan yang terbaik buat sahabat seperjuangannya yang masih bertanding.



Pada peringkat suku akhir, bahang pertandingan semakin menggigit dengan tema Ku Petik Bintang-Bintang yang meliputi lagu runut bunyi filem dan drama mahupun lagu loghat tertentu.



Nikki bakal menyanyikan lagu Cina oleh Na Ying, Zheng Fu. Aliff diberi lagu Rapuh oleh Nastia manakala Suki sekali lagi dicabar dengan lagu sukar, kali ini lagu Korea Gummy, You Are My Everything daripada siri televisyen Descendants of the Sun.



Azan Scan menyanyikan lagu Right Here Waiting dendangan asal Richard Marx manakala Ani Maiyuni mendendangkan lagu irama ethnik Noraniza Idris, Ngajat Tampi.



Shidee diberi lagu klasik S. Effendi, Di Ambang Sore sementara Aweera menyanyikan lagu Dia dendangan asal Qody.



Adibah akan tampil dengan lagu Hindustan, Dhoom Machale, nyanyian asal Sunidhi Chauhan, seorang penyanyi latar Bollywood. Lagu ini daripada filem 'hit' Dhoom.



Sa.Ya pula akan mendendangkan lagu daerah, Blus Terengganu, nyanyian asal kumpulan Iklim.



Nota: GV8 disiarkan di Astro Ria (Saluran 608 Singtel TV) setiap Ahad mulai 9 malam.



 



 



 



 



 



 



 



 



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >