Subuh
5:57
Syuruk
7:14
Zuhur
1:18
Asar
4:29
Maghrib
7:20
Isyak
8:29
Dapatkan laporan terkini berkaitan Covid-19. Ikuti kami di Telegram
Gaya Hidup0

Dominasi lagu DWIBAHASA

'Kisah Kita', projek pandemik dua bakat SG Ashidy-Syakirah, 'menjadi'
Jan 25, 2021 | 05:30 AM

Dengan munculnya 2021, kian ramai bakat tempatan yang tampil menghasilkan bunyian baru yang menepati cita rasa anak muda, di samping menerapkan lirik dwibahasa Melayu dan Inggeris dalam lagu yang dijana. Apakah yang mencetus trend ini? Bagaimana bakat tempatan merancakkan usaha bekerjasama dalam projek kolaborasi? BERITA HARIAN melaporkan.

SEBELUM ini dua bakat Singapura yang berpotensi besar, Ashidy Ridwan dan Syakirah Noble, mempunyai lagu solo masing-masing yang menduduki Carta Singa Maksima di stesen Ria 897.

Namun, selepas Fasa Kedua pembukaan semula ekonomi Singapura dalam tempoh pandemik Covid-19, mereka berpeluang merakam lagu duet dwibahasa Melayu-Inggeris, Kisah Kita, yang cukup romantis.

Lagu R&B ini dilancarkan sebagai pembuka tirai 2021 dengan menjanjikan irama segar dan pendekatan baru yang mampu menjadi santapan halwa telinga mereka yang dahagakan satu perbezaan.

Ikuti wawancara bersama Ashidy, 29 tahun, yang disifatkan sebagai mentor muzik buat beberapa bakat tempatan, dan Syakirah, 21 tahun, naib juara Anugerah 2017.

Berita Popular

SOALAN (S): Bagaimana kerjasama antara Ashidy dengan Syakirah tercetus?

Ashidy (A): Saya sudah lama ingin bekerjasama dengan artis wanita yang mampu menyanyikan genre R&B dalam bahasa Melayu.

Secara kebetulan, Syakirah memenuhi kriteria yang saya cari-cari. Sebelum ini, saya pernah bekerjasama dengan artis wanita tetapi bagi lagu Inggeris.

Kisah Kita pula adalah lagu yang saya gubah sekitar lapan bulan sebelum bertemu Syakirah. Itulah tempoh berkurung sewaktu wabak Covid-19.

Selepas Fasa Dua dilancarkan, saya terus memainkan demo lagu ini buat Syakirah. Beliau bersetuju bekerjasama.

S: Bilakah Ashidy mengenali Syakirah? Apakah ulasan anda mengenai potensinya?

A: Kali pertama saya mengenalinya adalah sekitar empat tahun lalu ketika beliau bertanding dalam Anugerah 2017.

Saya berada di sana menyokong seorang teman. Kami kemudian berbual menerusi media sosial dan menyelongkar tentang konsep lagu dan trend masa kini.

Selaku penerbit dan penggubah lagu, saya dapati Syakirah memiliki mutu vokal yang amat unik serta ada kelas tersendiri.

Beliau masih muda. Justeru, jika potensinya terus digilap, Syakirah mampu kekal dalam persada seni yang amat luas. Vokalnya mempunyai harapan.

Ramai juga tidak tahu beliau pandai menggubah melodi dan menulis lirik yang hebat. Itulah yang membezakannya dengan artis lain.

S: Bagaimana kerjasama bersama Ashidy? Apa yang anda senangi tentang kolaborasi ini?

Syakirah (SY): Peluang bekerjasama dengan Ashidy tidak mampu saya lepaskan sebab beliau penerbit dan pemuzik yang hebat serta kreatif.

Ashidy juga gigih berusaha di studio di samping terbuka dengan maklum balas dan pendapat semua bakat yang bekerja dengannya.

S: Apakah pandangan Syakirah tentang lagu 'Kisah Kita' ciptaan Ashidy?

SY: Lagu ini benar-benar menggambarkan gaya nyanyian yang saya senangi iaitu genre R&B tahun 2000-an.

Setiap kali mendengar korus lagu ini, anda terasa ingin mendengarnya berulang kali. Kisah Kita mengingatkan saya pada era emas kepopularan lagu-lagu Alicia Keys.

S: Dari mana datangnya ilham bagi lagu ini?

A: Saya bersedih sewaktu tempoh berkurung atau pemutus rantaian jangkitan Covid-19.

Saya mempunyai teman dari Malaysia yang bertugas di Singapura. Beliau begitu merindui isterinya di seberang Tambak apabila tidak dapat pulang ke sana.

Kisahnya menjadi sumber ilham Kisah Kita. Saya pencipta, penerbit dan penyusun muzik lagu ini. Lirik dihasilkan saya bersama Syakirah.

S: Apakah yang membuatkan anda menghasilkan lagu dwibahasa dengan lirik Inggeris disisipkan dalam lagu Melayu? Apakah ia satu eksperimen?

A: Unik meletakkan lirik Inggeris dalam lagu Melayu. Pendengar kita biasanya mendambakan sesuatu yang baru dan segar dalam lagu.

Memandangkan saya dan Syakirah juga fasih dan selesa menyanyikan lagu Inggeris, maka saya sengaja terapkan lirik Inggeris dalam lagu ini sebagai satu usaha mengetengahkan konsep dwibahasa dalam muzik.

Pendengar kami pula memberi maklum balas mereka seronok mendengar Kisah Kita.

Lagu ini bahkan dinobatkan sebagai salah satu pemenang peraduan buat bakat serantau mengetengahkan kerja seni mereka.

Peraduan anjuran label rakaman Universal Music Group dan SPINNUP ASIA ini diberi nama SPINNUP NEXT.

S: Apakah pandangan Syakirah tentang trend menghasilkan lagu dwibahasa?

SY: Saya rasa ia satu trend yang menarik dan banyak membantu industri muzik. Kalau pemuzik Korea mampu melakukannya dan menguasai dunia dengan lagu dwibahasa, mengapa kita sebagai pemuzik Melayu tidak mampu melakukannya?

Ia satu trend yang mencetus semangat baru buat penulis lirik muda seperti saya. Segala tekanan dapat dileraikan kerana saya kini bebas menulis lirik dalam pelbagai bahasa yang diselang-selikan dalam lagu.

S: Namakan tiga lagu duet yang berkesan di hati Ashidy.

A: Overdose oleh Chris Brown dan Agnes Monica; Get Lucky oleh Pharell Williams dan Daft Punk serta Promiscuous oleh Timbaland dan Nelly Furtado.

Kesemua lagu ini memberi kesan besar dalam perjalanan saya sebagai artis, penerbit dan komposer.

Lagu-lagu ini mencipta trend dalam waktu dan seni bunyian. Melaluinya, saya banyak pelajari cara memperbaiki hasil ciptaan dan penulisan karya saya.

S: Bagaimana pandemik ini menjejas anda sebagai anak seni dan mahasiswa Royal Northern College of Music di Manchester, England?

SY: Pastinya pandemik ini perit buat pemuzik dan mahasiswa seperti saya yang masih belajar.

Kuliah dikendalikan 100 peratus dalam talian. Saya pulang ke Singapura sejak wabak Covid-19 melanda. Ada perbezaan waktu lapan jam apabila saya menghadiri kuliah.

Saya harus belajar menjadi jurutera rakaman saya sendiri. Saya tidak dapat memanfaatkan kemudahan rakaman di universiti saya sebab berjauhan.

Namun, saya bersyukur dapat pulang ke pangkuan keluarga dalam tempoh pandemik ini. Yang penting, keselamatan harus dijaga.

Kalau saya tak pulang ke Singapura, takkan mungkin saya dapat kendalikan perniagaan dari rumah menjual gulungan kayu manis di bawah jenama Kiki's Cinnarolls atau bekerjasama menghasilkan lagu bersama Ashidy. Ada hikmahnya.

Video Baru

Podcast Baru

Try the new Halal Food Map