Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Dramatis veteran, aktivis masyarakat dan usahawan Anwar Datt meninggal dunia

Nov 30, 2021 | 11:01 PM



JIWA masyarakat dan naluri ayah penyayang yang ada pada penggiat seni, pelakon veteran dan usahawan, Anwar Datt Abdul Rahim, adalah perkara yang terpahat di ingatan anak-anaknya mahupun rakan seperjuangannya yang merasakan kehilangannya kini.



Anwar yang pernah menerajui kepimpinan di badan seni mapan Sriwana sebagai Presiden dan turut menggalas amanah sebagai Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Tampines West selama hampir dua dekad bermula 1998, meninggal dunia sekitar 5 pagi Selasa (30 November) di rumahnya.



Ini setelah sekitar 3 pagi, Allahyarham terjaga dari tidur, rasa tidak selesa dan mula berjalan ke sana sini. Beliau memberitahu isterinya, Cik Kamisah Mohd Shariff, 73 tahun, beliau rasa payah bernafas dan kemudian ingin berehat di kerusi sebentar.



Namun, Anwar terus tidak sedarkan diri apabila dikejutkan. Pihak ambulan kemudian mengesahkan beliau sudah meninggal dunia dek masalah jantung.



Memaklumkan perkara ini ketika dihubungi Berita Harian pada lewat petang Selasa, anak kedua Allahyarham, Cik Anmilia Datt, 42 tahun, dengan nada sebak, berkata:



"Saya macam tak sangka secepat ini beliau pergi. Namun, saya sekeluarga reda mungkin ini sudah menjadi aturan Yang Maha Kuasa. Hayat bapa saya sampai di sini sahaja pada usia 74 tahun. 



"Setelah lima enam tahun melalui bedah pintas jantung, minggu lalu beliau menjalani imbasan x-ray bagi memeriksa pembuluh darah di jantungnya. Doktor mengusulkan bapa saya makan ubat sahaja dan dibenarkan pulang.



"Beliau ada juga mengadu sakit dada dan ada juga cakap mungkin hidupnya tak lama...dah sampai masa. Kami ingat ia setakat kata-kata biasa dan luahan rasanya yang sakit. Kami pesan kepadanya tak perlu cakap seperti itu. Tapi mungkin beliau sendiri sudah dapat rasa lantas perbualannya sebegitu."



Cik Anmilia menjelaskan bapanya sudah memperlahankan kegiatan seninya dan perniagaan kad jemputan kahwinnya yang dihentikan tahun lalu sebulan dua sebelum pandemik Covid-19 melanda.



"Beliau rajin bekerja dan menyumbang pada masyarakat. Walau sudah lama tidak berlakon, beliau tetap menyalur idea pada pelaksanaan program teater di MAEC Tampines West.



"Dari segi perniagaan pula, apabila usianya semakin senja dan kesihatannya mula terjejas, kami menasihatinya agar tidak perlu teruskan perniagaan berkenaan. Kalau tidak, memang kami adik-beradik membantunya. Ia bisnes keluarga yang amat kami hargai.



"Bapa saya adalah ayah yang sangat baik, prihatin dan selalu memberi galakan buat kami semua. Kehilangannya memang amat dirasai. Walau sesibuk mana dengan seni dan perniagaan, keluargalah keutamaannya.



"Cucu-cucunya dapat rasa air tangannya sebab datuk mereka suka memasak buat mereka dan rajin layan cucu. Beliau masih aktif pada usia senja...untuk pergi kedai dan beli barangan sendiri memang tiada masalah," tambah Cik Anmilia lagi yang berterima kasih di atas doa dan kunjungan ramai sahabat seni bapanya.



Allahyarham Anwar berkecimpung dalam bidang lakonan pentas bersama Sriwana sekitar tahun 1970-an dan 1980-an sebelum beralih ke sandiwara dan drama televisyen dengan kerencaman watak yang dijayakan, baik protagonis atau antagonis.



Penggiat seni dan budaya serta peneraju MAEC Tampines West kini, Encik Afi Hanafi, memberitahu Berita Harian:



"Allahyarham Anwar tegas tapi penyayang. Sebagai pengerusi yang menggantikan beliau dulu, saya sangat terkesan dengan tunjuk ajarnya. Sifat beliau yang menghormati dan mengasihi aktivis muda sangat saya rasakan.



"Beliau merupakan salah seorang 'bapa' saya di MAEC Tampines West selain ayahanda Nadiputra dan almarhum Cikgu Naim Daipi. Mereka kesemuanya adalah pengerusi dan naib pengerusi MAEC kami.



"Satu perkara tentang Allahyarham Anwar, beliau tidak suka menunjukkan sumbangan dan kebaikannya. Apabila sakit pun, tak suka dikhabarkan."



Allahyarham Anwar meninggalkan seorang balu, tiga anak dan lima cucu antara usia lima hingga 15 tahun.



Jenazahnya dikebumikan di Pusara Abadi sekitar 11.30 pagi Selasa.



Salam takziah buat keluarganya. Semoga beliau ditempatkan dalam kalangan orang yang dirahmati.



 





 



 



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >