Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:23
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

GEGAR VAGANZA 9

Duet serasi tiup semangat bintang 'Gegar Vaganza'

Fuad Rahman kerja keras untuk pertingkat prestasi, raih aliran tenaga positif Naqiu
Oct 18, 2022 | 05:30 AM



BAGAIKAN mendapat aliran tenaga daripada seorang juara yang telah melalui jerih payah untuk menjulang piala johan Gegar Vaganza 6 (GV6) tiga tahun lalu.



Begitulah yang dapat dirasakan peserta GV9 dari Singapura, Fuad Rahman, 43 tahun, ketika melantunkan lagu rok epik Gemuruh oleh Search dan Wings bersama Naqiu, 35 tahun, di dewan auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kelmarin.



Menurut Fuad di sidang akhbar selepas konsert minggu kelima itu yang menampilkan duet, beliau bekerja keras untuk persembahan itu dan berkorban masa tidak pulang ke Singapura seperti kebiasaannya.



"Saya ingin pastikan saya beri yang terbaik untuk persembahan bersama Naqiu. Jadi sejak Isnin lalu, saya duduk di Kuala Lumpur sahaja untuk berlatih dengannya dan tak pulang ke Singapura.



"Alhamdulillah, saya dapat berikan persembahan yang lebih baik minggu ini," katanya.



Menerusi persembahan yang dianggap juri Datuk Syafinaz Selamat sebagai 'lain macam' dek adanya rakan padu suara yang memberi 'vibe' yang baik, Fuad naik lima tangga ke atas di tempat ketiga, selepas Jaclyn Victor dan Shila Amzah.



Beliau bahkan menunjukkan prestasi lebih cemarlang dan membanggakan dengan peningkatan markah 16.7 peratus - naik daripada 65 peratus minggu lalu ke 81.7 peratus kelmarin.



Fuad yang sering diusik pengacara Elly Mazlein atau Kak Lina Pom Pom pula berkata beliau tidak janggal kerana ia dilakukan atas dasar profesionalisme dan hiburan semata.



Di Twitter pula dibanjiri komen peminat Fuad yang mula melihatnya mengeluarkan 'taring' selepas lima minggu bertanding.



"Fuad Rahman dah kembali balik...Inilah persembahan terbaiknya dibantu aliran tenaga positif Naqiu," jelas warganet Mamahani Yasin.



Nira Noel Blackhouse pula menambah:



"Aku dah cakap...malam ni, air mata buaya propa kasi engkau orang air mata naga!"



'Air mata buaya propa' adalah frasa yang digunakan juri Hetty Koes Endang dan Datuk Ramli MS apabila Fuad menangis ketika menyanyikan lagu Alleycats, Layang-Layang Terputus Talinya, minggu lalu.



Komen tersebut menimbulkan perdebatan dalam kalangan warganet yang menganggap Hetty dan Ramli kurang peka dengan perasaan Fuad yang sebak mengenang kehidupannya dahulu yang terasa menyusahkan ibunya.



Dalam pada itu, Berita Harian memberi gelaran berikut pada beberapa gandingan duet kelmarin.



Jika Fuad dan Naqiu merupakan gandingan serasi, siapa pula paduan 'kelas dunia'?



DUET 'KELAS DUNIA'



Ia jatuh pada Jaclyn Victor, 43 tahun, dan Aina Abdul, 28 tahun.



Dengan lagu popular Marsha Milan, Cinta, Jaclyn dan Aina membuat semua juri kagum.



Jaclyn bahkan mendapat markah tertinggi yang pernah diberi kepada peserta GV9 sejauh ini iaitu 92.4 peratus.



Beliau meninggalkan jauh Shila, 32 tahun, di tempat kedua. Shila mendapat 82.2 peratus.



"Dendangan Jaclyn dan Aina ini dapat dijadikan rujukan buat penyanyi zaman sekarang dan mungkin 20 atau 30 tahun mendatang. Aina boleh jadi rujukan buat penyanyi masa kini. Sangat baik dendangannya. Mereka berdua membawa nafas dan tenaga dengan baik," kata Ramli.



Hetty yang memberi tepukan sanjungan juga anggap Jaclyn beruntung kerana mendapat Aina selaku rakan duet yang sehati dan sehaluan manakala Syafinaz bangga ada artis Malaysia seperti Jaclyn dan Aina.



Aina pula menjelaskan bahawa beliau teruja dan gementar sebenarnya ketika diminta menyanyi dengan Jaclyn.



"Saya ingat pada 2015 di mana saya hadiri Rumah Terbuka Perdana Menteri dan nampak Kak Jac buat persembahan. Saya terpaku dan kagum. Masanya kini tepat dan saya tak sangka diundang untuk menyanyi dengan beliau," jelasnya.



Jaclyn pula berkata beliau memberi yang terbaik bagi setiap persembahan tanpa memikirkan kemenangan.



"Orang mungkin dengar suara Aina lebih kuat dan menyerlah tetapi bagi saya sendiri, ia kedengaran seimbang," jelasnya.



DUET PALING KREATIF



Dengan Mawarku, lagu asal penyanyi Indonesia, Ribut Rawit dan M.Yusuf, diberi sentuhan persis lagu tema ejen risikan James Bond, persembahan Tomok, 38 tahun, dan Suki Low, 31 tahun, ada suntikan kreativiti.



Bukan sahaja kededuanya merupakan juara peraduan realiti One In A Million pada musim berbeza.



Mereka juga nampak santai ketika mendendangkan lagu yang kemudian memiliki versi tersendiri Pacha Sitara, Eddie Ahmad dan Hamidah Ahmad serta Datuk Seri Siti Nurhaliza dan 2 By 2.



Kata Suki, mereka berdua ibarat berlakon sebagai James Bond dan Bond Girl dengan busana yang sesuai.



Tomok pula banyak cedok dan belajar daripada kreativiti Suki yang sentiasa mengusahakan kelainan dalam pertandingan musim kelapan di mana beliau berada di tangga ketiga peraduan di belakang Aliff Aziz dan Nikki Palikat.



DUET NAMPAK PENINGKATAN



Selain Fuad dan Naqiu, turut mengejutkan ramai adalah Tom atau nama sebenarnya, Raja Farah Afzal Raja Ikram, 39 tahun, yang berpadu suara dengan Muss, 54 tahun, dalam lagu Senja Nan Merah (dendangan asal Awie dan Ziana Zain).



"Walaupun awak di tiga tangga terbawah minggu lalu, saya tabik usaha anda Tom. Awak memang kuat dan memerlukan kekuatan yang tinggi. Saya nampak kemajuan yang baik," kata Tom.



Hetty pula menambah: "Teman duet kamu, Muss, banyak membantu memberikan tenaga kepada anda."



Markah Tom meningkat sebanyak 17.9 peratus - daripada 58.5 peratus minggu lalu kepada 76.4 peratus. Kedudukannya juga naik empat tangga ke atas, dari tempat ke-10 kepada keenam kelmarin.




► Ikuti ulasan GV9 setiap minggu di podcast Berita Harian, #NoTapis: Gegaran GV di Spotify. GV9 boleh ditonton di saluran Astro Ria (Saluran 608, Singtel TV) setiap Ahad, 9 malam.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >