FESTIVAL Muara, sebuah pesta seni tari Melayu serantau - yang masuk ke tahun-12 penganjurannya, melebarkan pentas persembahan daripada Esplanade Teater di Pesisiran, kini melangkah hingga ke Wisma Geylang Serai (WGS).
Pesta selama sebulan bermula 4 November ini bahkan akan mengembalikan penyertaan kumpulan kesenian serantau secara fizikal, dari Malaysia, Indonesia dan Brunei, selepas dua tahun penyertaan luar Singapura terbatas di layar maya kerana kekangan kawalan Covid-19.
Lebih 500 penari daripada pelbagai peringkat - kumpulan profesional, persatuan kesenian, pusat pengajian tinggi dan sekolah-sekolah akan mengambil bahagian dalam festival yang diterbitkan oleh Era Dance Theatre (EDT) itu.
Festival akan dibuka di Teater Terbuka Esplanade pada 4 November diikuti dengan pelbagai persembahan tarian dan muzik sehingga 6 November sementara acara penutup selama dua hari akan berlangsung di Persada Budaya WGS pada 25 dan 26 November, dengan acara utama, simposium seni tari, menjadi pengisian utama.
Pengarah Artistik EDT, Encik Osman Hamid berkata, festival kali ini turut dibawa ke WGS untuk lebih mendekatkan acara kesenian itu ke kawasan mesra masyarakat Melayu.
Selaras dengan konsep Festival Muara yang menekankan aspek latihan secara bersama dan perkongsian ilmu dan pengalaman antara kumpulan-kumpulan yang mengambil bahagian, pesta tahun ini juga mengekalkan pendekatan serupa dengan tumpuan diberi kepada kumpulan penari muda khususnya sekolah-sekolah menengah di sini.
Pasukan yang terlibat dalam perkongsian sesi ini adalah pelajar dari Sekolah Menengah Ang Mo Kio, Sekolah Menengah Sembawang dan Sekolah Menengah Beatty.
Peserta akan melalui 12 sesi latihan secara intensif untuk menghasilkan persembahan secara bersama bagi festival tersebut.
"Kami harap menerusi latihan intensif secara bersama ini akan dapat memupuk minat mereka untuk menambah ilmu mengenai seni tari, mengasah kemahiran mereka dan seterusnya memperjuangkan seni tarian Melayu di rantau ini di peringkat yang lebih tinggi," kata Encik Osman yang juga pengarah festival.
Dalam festival lalu, seni latihan bersama ini dibuka kepada kumpulan tarian mapan Singapura dan mereka berlatih di samping para para peserta luar negeri.
Peserta luar negeri termasuklah pasukan penari dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universitas Jambi, Indonesia dan PesTAB dari Brunei.
Mereka juga akan membuat persembahan penutup bersama kumpulan mapan Singapura yang mempunyai perwakilan dalam Jawatankuasa Tarian Melayu Singapura, seperti Azpirasi, Artiste Seni Budaya, Kirana Seni, Perkumpulan Seni, Sriwana dan Era Dance Theatre.
Profesor Bersekutu UPSI, Dr Muhammad Fazli Taib Saearani, yang akan menyertai Simposium Tari Melayu pada 25 November di WGS berkata acara perbincangan yang memperkatakan tentang seni tari Melayu dalam konteks sekarang dan masa depan itu merupakan aspek yang sangat diperlukan bagi mengukuhkan kedudukan kesenian itu di rantau ini.
"Simposium ini adalah satu tambahan yang sangat diperlukan dalam Festival Muara kerana ada penyertaan serantau," kata Dr Fazli, Dekan bagi Fakulti Muzik dan Seni Pementasan UPSI.
Simposium itu akan diikuti dengan sesi merangkai hubungan dan ia akan dihadiri tetamu terhormat, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Acara penutup festival pula akan dihadiri Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman.
Maklumat lanjut untuk penyertaan bagi bengkel-bengkel seni tari dan kelas induk tari sepanjang festival ini boleh didapatkan di laman www.muarafestival.com, atau di Facebook (era dance theatre) Instagram (muara_festival) dan TikTok (@eradancetheatre).
Era Dance Theatre merupakan penerima dana Skim Syarikat Utama di bawah Majlis Seni Kebangsaan (NAC).
ANTARA ACARA FESTIVAL MUARA KE-12
ESPLANADE TEATER DI PESISIRAN (4-6 November)
Persembahan Kesenian Malam di Teater Terbuka:
7.30 malam - 8.30 malam dan 8.50 malam - 9.50 malam
Upper Concourse: "Rampaian Tari Warisan" oleh NUS Ilsa Tari
7 malam - 7.30 malam dan 8 malam - 8.30 malam
Pentas Belia Festival Muara 2022 di Teater Terbuka Esplanade
3 petang - 5 petang (5 November)
3 petang - 5 petang (6 November)
BENGKEL TARI
Annex Studio: Bengkel tari EDT oleh Zairin Abdul Latiff, dibantu Muhd Taufik Ishak. Bertemakan Tari Filem, "Junjung Duli Tuanku"
11.30 pagi - 1 petang (5 November)
Bengkel Tari EDT oleh Mohd Arif Mustafar, dibantu Nurul Nursyamin dan Nuriqqah Abdul Majid, berdasarkan Tarian Terompah/Tengkelek
11.30 pagi - 1 petang (6 November)
ACARA DALAM TALIAN "LIVE" @EDT Studio:
Kelas senam tari 1: Diketuai Zairin Abdul Latiff dan Dinie Dasuki Osman
10 pagi - 11 pagi (12 November)
Kelas senam tari 2: Diketuai Osman Hamid dan Azmi Juhari
10 pagi - 11 pagi (19 November)
Dance Masterclass 1: "Dari pengalaman ke Pengamal " oleh Osman Hamid
12 tengah hari - 2 petang (13 November)
Dance Masterclass 2: "Ronggeng Melayu" oleh Albert Sigan Anak Saliman
11.30 pagi - 1.30 petang (19 November )
Dance Masterclass 3: "Dana" oleh Dony Osmond
11 pagi - 1 petang (20 November)
Sila ke laman Era Dance Theatre untuk pendaftaran.