Daripada memenangi Anugerah Bintang Cilik Terbaik dua edisi Pesta Perdana berturut-turut, pelakon remaja Freda Mel baru-baru ini menerima trofi Pesta Perdana ketiganya, kali ini untuk Pelakon Harapan Terbaik.

Freda merupakan calon termuda dalam kategori itu pada usia 15 tahun dan tidak menyangka dia berpeluang menang. Malah, Freda sebenarnya menyokong pelakon drama bersiri Korban, Rae Saleha, yang memenangi Anugerah TV New Zealand untuk menerima Anugerah Pelakon Harapan Terbaik.

“Untuk dicalonkan sahaja ialah satu pengiktirafan yang hebat. Saya amat bersyukur dan terkejut mendapat tahu tentang pencalonan ini daripada pengarah Hingga Ke Syurga, Oman Dhas yang memaklumkan kepada saya,” kata Freda.

Sebagai watak utama Hingga Ke Syurga, bintang Cilik yang memainkan watak Sofia itu sedang mengusahakan projek esei foto di sekolah apabila dia membongkar rahsia tentang bapanya, yang sekali gus menguji hubungan erat antara Sofia dengan ibunya.

Tetapi, Sofia juga mendapat tahu tentang pengorbanan yang terpaksa dilalui wanita dalam hidupnya.

“Freda memainkan watak matang yang berusia 18 tahun, walaupun pada masa itu Freda masih 14 tahun dan ia merupakan satu cabaran. Tetapi, Freda memang suka berdepan dengan cabaran sambil berlakon kerana ia lebih menyeronokkan. Seperti ada ‘kick’!’’

“Apabila saya membaca skrip watak tersebut, watak yang dimainkan itu sangat baru bagi saya. Seringkali saya memainkan watak seperti adik, tetapi dengan watak Sofia ini, saya lebih dewasa,” katanya.

Bagaimanapun, Freda menyatakan bahawa kemenangan itu tidak akan dapat dicapai tanpa sokongan keluarga, teman serta rakan-rakan industri lain dengan peluang yang telah diberikan kepadanya selama ini.

“Sokongan yang saya terima daripada semua orang yang membuatkan saya terus maju dan mencintai apa yang saya lakukan. Setiap kali saya menerima maklum balas mengenai watak yang saya mainkan, saya berasa terharu apabila mendapat tahu orang ramai menonton dan menghargai kerja saya.”

“Walaupun rakan-rakan saya sedar saya sibuk menjalani penggambaran, mereka akan sentiasa memberitahu perkara yang saya perlu tahu di sekolah dan memastikan saya masih fokus kepada pelajaran akademik saya,” luah Freda.

Freda yang bakal mencecah usia 16 tahun pada 2023, akan berehat seketika daripada berlakon demi menumpukan perhatiannya kepada persiapan peperiksaan nasional tahun ini.

“Saya harap melalui tahun-tahun mendatang dalam bidang lakonan, saya mampu menjadi seperti Farhana M. Noor. Saya sentiasa berasa kagum bagaimana Kak Farhana boleh membuat penyesuaian tanpa persediaan dengan pantas – yang merupakan sesuatu yang akan saya akan pelajari,” kata Freda yang menyatakan dia lebih gemar berlakon berbanding mengacara.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti
Laporan berkaitan
Bella Bintang Cilik Terbaik Jun 19, 2023 | 4:17 PM
Teruja dicalon buat kali pertamaJun 16, 2023 | 2:16 PM