KEKECEWAAN peminat Fuad Rahman yang tidak dapat melihat bintang kesayangan mereka berada di pentas akhir Gegar Vaganza 9 (GV9) Ahad ini, dapat dirasakan.
Malahan, ada yang menyatakan sudah hilang semangat untuk menyaksikan peraduan tersebut hingga ke kemuncaknya sebab Fuad, 43 tahun, tidak lagi bertanding.
Nyanyian Fuad bagi lagu Fotograf, Di Alam Fana Cinta, pada peringkat separuh akhir kelmarin dianggap kurang memuaskan oleh juri Datuk Ramli MS dan Hetty Koes Endang.
"Cara nyanyian kamu berbeza. Selalu kamu suara rok. Tapi malam ini kamu nyanyi cara balada. Kamu selalu ingat apa kata saya. Cuma kali ini, ada sumbang pada bahagian kord.
"Dengar semula selepas ini. Suara harus jaga. Ini peraduan. Tiada alasan," tambah Hetty dalam ulasannya.
Fuad yang turut berpadu suara dengan Dina Nadzir dalam lagu Ernie Zakri, Boneka, mendapat markah paling rendah dalam kalangan lapan peserta iaitu 58.3 peratus.
Sewaktu mengulas penglibatannya dalam GV9 dalam segmen Vazz Vaganza susuli peringkat separuh akhir, Fuad berkata beliau berterima kasih atas pendedahan yang diberi.
Langkah selanjutnya adalah membina kerjaya di Malaysia pula dengan harapan ada tugasan menantinya dan lagu baru untuk dirakam.
"Saya akan terus berkarya malah menebar sayap di Malaysia. Alhamdulillah, tugasan nampaknya ada termasuk di Singapura," jelasnya yang idamkan peluang berduet dengan Jaclyn Victor yang dianggapnya bintang lasak yang boleh membawa lagu rok.
Sementara itu, apabila ditanya mengapa markah VE yang dianggap kecundang dalam pusingan solo jauh lebih banyak (sekitar 15 peratus) daripada Dina dan Fuad, Ramli berkata:
"Memang pusingan solo VE kecundang. Tapi tengoklah pusingan duet bersama Hazrul. VE dan Hazrul sama-sama dapat markah lebih tinggi di situ sebab nyanyian duet mereka menghiburkan dan jauh lebih baik."
VE mendapat markah 74.3 peratus setelah mendendangkan lagu Datuk Jamal Abdillah, Azura, dan lagu duet (bersama Hazrul), Kau Pun Sama, yang merupakan dendangan asal Syamel.
Ketika diminta mengulas persembahan Fuad, Ramli berkata:
"Saya sebenarnya ingin kededua Fuad dan Hazrul keluar daripada zon selesa mereka. Yang satu lagu rok, yang satu lagu balada perlahan.
"Sebab ini peraduan yang menuntut kreativiti mereka untuk pelbagaikan genre muzik mereka.
"Kalau tidak, setiap minggu sama sahaja."