Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

BUAL ANAK DAGANG

'Gegar Vaganza' tiup semula minat seni Hetty Sarlene

Feb 24, 2020 | 05:30 AM



JAUH sebelum bakat Singapura, Hannah Delisha dan Nadiyah Shahab, mencipta nama dalam dunia seni di seberang Tambak, Hetty Sarlene Abdul Hamid sudah merasakan tempoh kepopularan di rantauan.



Jerih payahnya diharungi dengan tabah, apa lagi usianya masih muda remaja dan rindunya kepada keluarga dan teman-teman di Singapura amat menebal.



Hetty, kini 35 tahun, yang pernah mewakili Singapura ke Pesta Lagu Asia pada 1999, dikenali kerana siri drama yang bertahan selama lima musim, Sembilu serta drama Si Capik yang bersiaran selama tiga musim.



Kerjaya seni Hetty bermula secara profesional pada 2000 sebagai penyanyi label rakaman New Southern Records (NSR) pada usia 16 tahun dengan 'single' yang meletup Rindu Aku Rindu.



Awal sebelum itu, beliau adalah dalam kumpulan kanak-kanak terakhir siri program popular Mat Yoyo yang dilatih dalam sesi Bengkel TV Kanak-Kanak di Mediacorp.



Roda-roda dunia hiburan menjadi sebahagian asam garam kehidupannya sehinggalah Hetty mula menyepi selepas filem terakhirnya, Jalan Kembali: Bohsia 2 ditayangkan pada 2012.



Kemudian muncul pula fasa baru dalam kehidupannya apabila beliau menamatkan zaman bujangnya bersama jejaka Inggeris, Daniel Oakes atau nama Islamnya, Dani Aaqil pada 23 Julai 2016.



Namun kesepian itu tidak lama sebelum pihak Astro melamarnya bagi Gegar Vaganza 5 (GV5) pada 2018 yang mengembalikan nama Hetty Sarlene semula ke persada seni Nusantara.



Dalam temu bual 20 minit di bilik dandanan Kampus Mediacorp baru-baru ini, Hetty berkongsi perjalanan seninya yang banyak memberinya iktibar tentang kehidupan di samping perancangannya bagi masa depan.



Beliau adalah antara artis yang menjayakan rancangan ulang tahun Suria ke-20, Suria Elektra baru-baru ini.



Katanya yang ditemani ibunya, Cik Sariah Omar, pada hari itu:



"Alhamdulillah, selepas orang dah lama tak dengar berita tentang Hetty, GV5 mengembalikan Hetty ke persada seni.



"Dapat juga tawaran menyanyi bagi acara makan malam atau keramaian korporat di Malaysia. Undangan di Singapura pun Hetty tak tolak jika bersesuaian dengan masa.



"Kalau pengadil Gegar Vaganza, Bonda Hetty Koes Endang kata, "Tembak terus!" Rezekinya amat saya syukuri. Perhatian warganet pula kelihatan lebih-lebih lagi apabila tarian 'dangdut troli' saya di pentas GV menular di media sosial."



Beliau terasa bagaikan dilahirkan semula dengan ramai penonton Malaysia tidak menyedari Hetty yang lebih dikenali sebagai pelakon sebenarnya lebih dahulu adalah penyanyi.



"Mula-mula, saya teragak-agak untuk kembali dalam dunia seni menerusi GV5 yang bawa saya sampai ke separuh akhir.



"Zaman berlakon sudah lama saya tinggalkan dengan filem pertama saya adalah Iskandar pada 2003 bersama bintang rok Awie.



"Tapi suami yang tidak faham lagu-lagu Melayu yang saya nyanyikan adalah pendorong terkuat. Beliau kata, cuba sahaja kalau nyanyian boleh membuatkan saya gembira dan bersemangat positif.



"Suami adalah sahabat karib yang tidak pernah mengecewakan kerana kaya dengan motivasi dan kasih sayang. Maka berkat restunya, saya kini mula memikirkan arah tuju saya selanjutnya dalam dunia seni," jelas Hetty.



Pentas GV5, ujar Hetty, mengajarnya erti menyahut apa jua cabaran kerana perlu menyanyikan lagu-lagu di luar zon selesanya seperti rok dan dangdut.



"Saya penyanyi balada. Jadi, pasukan yang merancang persembahan



saya adalah yang tidak putus-putus memberi saya idea mencorak persembahan saya. Keluarga amat memahami.



"Tuhan sahaja tahu betapa gementarnya saya ketika itu walau nampak macam bersahaja di pentas," katanya.



Buat masa ini, Hetty sedang mengkaji pasaran bagi kembali dalam dunia nyanyian dan lakonan.



"Saya merancang bikin 'single' tetapi harus kaji apakah cita rasa pendengar masa kini. Konsep lagu bagaimana pula yang harus saya tampilkan? Sekarang bukan lagi era lagu 'tangkap lentok'. Semua ini perlu diteliti sebab kita inginkan produk terbaik.



"Saya bersemangat melihat bakat muda kini mempromosikan lagu mereka di Instagram. Itulah wadah mereka kini. Zaman saya dahulu, banyak urusan promosi disiarkan di majalah dan akhbar," katanya.



Dalam beliau membina semula jenama Hetty Sarlene, beliau terharu tokoh filem yang banyak memberinya dorongan, Datuk Yusof Haslam, tidak lupa malah ingin bekerjasama dengannya.



"Saya terfikir, saya ni bukan belasan tahun macam dahulu... kita dah tua. Jadi takkan nak dijadikan kita wirawati? Pastinya ada watak lain.



"Datuk Yusof ajak saya berbincang. Ada juga tawaran dari syarikat penerbitan lain bagi saya kembali berlakon. Cuma pada waktu itu slot lakonan bertembung dengan jadual saya menjelajah bagi aktiviti Duta Cuckoo (jenama produk elektronik) yang diraih sewaktu GV5.



"Memang saya rindu berlakon dan berharap dapat kembali ke set penggambaran bagi terus memperkukuh kerjaya seni saya. Teringat Datuk Yusof yang minta kita mainkan emosi marah atau sedih sampai meleleh air mata.



"Berlakon tentunya perlukan lebih masa menjiwai watak, menanti babak lakonan atau pelakon lain. Tak macam nyanyi... datang, nyanyi dan pulang," ujarnya lagi.



Mengenang semula zaman remaja yang terisi dengan keperluan bekerja keras, Hetty akui kadangkala terasa zaman remajanya berlalu pergi dengan pantas.



"Kalau teman sebaya dahulu bebas keluar dan bersantai, masa saya terikat dengan kerja menyanyi dan berlakon. Sebab dahagakan zaman remaja, maka kadangkala saya terasa seperti kebudak-budakan walau umur dah nak masuk 36 tahun!



"Namun, apa yang saya boleh katakan kepada anak seni Singapura yang ingin cuba tembusi pasaran Malaysia, jangan sombong dan sentiasa merendah hati.



"Bina rangkaian kenalan anda. Ramah dengan semua orang. Di sana, anda berdepan dengan bermacam media baik cetakan, radio, televisyen dan digital. Jangan lupa juga untuk bekerja keras dan tidak mudah putus asa," katanya lagi.




"Saya terfikir, saya ni bukan belasan tahun macam dahulu... kita dah tua. Jadi takkan nak dijadikan kita wirawati? Pastinya ada watak lain. Datuk Yusof (Haslam) ajak saya berbincang. Ada juga tawaran dari syarikat penerbitan lain bagi saya kembali berlakon... Memang saya rindu berlakon dan berharap dapat kembali ke set penggambaran bagi terus memperkukuh kerjaya seni saya... Berlakon tentunya perlukan lebih masa menjiwai watak, menanti babak lakonan atau pelakon lain. Tak macm nyanyi... datang, nyanyi dan pulang."
- Penyanyi dan pelakon, Hetty Sarlene.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >