Gendong bayi teroka Melbourne, Berita Gaya Hidup - BeritaHarian.sg
Subuh
5:45
Syuruk
7:06
Zuhur
1:13
Asar
4:35
Maghrib
7:17
Isyak
8:30
Suatu Ketika di Singapura

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Gaya Hidup0

Gendong bayi teroka Melbourne

Oct 29, 2018 | 05:30 AM

BARU-BARU ini, saya sekeluarga terbang ke Melbourne.

Buat kali kelima, saya dan suami Nasrul Amin Sinen menggendong bayi kami Isabella Irdina bersama.

Kalau dulu Isabella, atau nama timangannya Bella, sekadar menjejaki Batam, Kuala Lumpur, Cameron Highlands dan Bandung, kali ini dia dapat terbang jauh sikit hingga ke negara kanggaru.

Kami bercuti ke Melbourne dengan tujuan istimewa - menyambut hari lahir Bella yang pertama.

Walaupun sudah biasa bawa bayi bercuti, saya masih was-was sebab kali ini destinasi kami nun jauh di sana. Saya cekalkan hati nekad terbang jauh sikit, iaitu sekitar tujuh jam penerbangan dari Singapura.

Halal Home-based Businesses
We want to help Halal Home-based Business owners during these tough times. See the link below.
Do you own a Halal Home-based Business in Singapore? List your products on Berita Harian

Ternyata Melbourne tidak mengecewakan, lebih-lebih lagi jika menggendong bayi bersama.

Mahu bancuh susu? Tukar lampin? Usah bimbang tercari-cari tempat melakukannya.

Di sini mudah jumpa bilik ibu bapa yang bersih dan kemas kerana dijaga dengan baik.

Sesat? Usah panik. Penduduk Melbourne ramah-tamah belaka dan tidak lokek bantuan.

Ditambah seri taman menarik dan juadah beraneka jenis serta kerencaman penduduk pendatang, kami tidak seminit pun rasa bosan selama seminggu di sana.

Cuaca sejuk lima hingga 12 darjah Celsius sedikit sebanyak membantu, lebih-lebih lagi Bella yang jelas ceria dibelai dingin angin Melbourne.

Jadi apakah hadiah hari jadi Bella? Pilihan pertama kami ialah Taman Haiwan Melbourne.

Kami ronda-ronda hampir setengah hari di taman yang luas itu. Bella terlompat-lompat kesukaan tengok gajah, zirafah dan orang utan.

Malangnya, kami tidak larat meronda segenap pelosok zoo sebab semua sudah 'pancit'. Walaupun tiket masuk berharga $36 seorang, kami puas hati dan seronok.

Kalau jejak negara kanggaru, memang tidak sah kalau tidak menikmati salji.

Apa lagi... Kami 'menggelongsor' ke Gunung Lake. Buat kali pertamanya, Bella nampak salji. Anda tidak perlu meneka - Bella terlompat-lompat kesukaan!

Dari Jun ke September, Gunung Lake menjelma jadi taman indah musim sejuk yang menawarkan pelbagai tarikan.

Bagi mereka yang kali pertama menikmati salji, gunung ini memang ideal.

Anda boleh meluncur pada hamparan salji sejauh 30 kilometer. Jika tidak gentar, anda boleh cuba 'tube run' yang mendebarkan.

Setelah puas menghiburkan Bella di Gunung Lake dan Taman Haiwan Melbourne, kami menikmati denyut nadi kota Melbourne.

Naiklah khidmat tram percuma jika anda mahu bersiar-siar keliling bandar.

Jika mahu makan atau masak sendiri di penginapan, berbelanjalah dulu di Pasar Queen Victoria. Anda boleh menikmati pelbagai pilihan bahan segar. Ada juga pasar makanan yang menjual juadah halal seperti falafel dan kebab.

Penginapan kami, Pegasus Apartment Hotel, terletak hanya lima minit berjalan kaki dari pasar tersebut. Tidak perlu mengagak lagi... kamilah yang kerap menunjukkan muka di sana!

Kalau anda jenis suka memandu dan menikmati pemandangan, jangan terlepas mengikuti perjalanan menyusuri The Great Ocean Road, yang memang terkenal di Australia dan seluruh dunia.

Bermula sejam dari Melbourne di Torquay, The Great Ocean Road terbentang 250 kilometer ke Warnambool. Kembara unik itu menarik puluhan ribu pengunjung setiap tahun.

Banyak tarikan yang boleh dinikmati sepanjang perjalanan tersebut. Pada saya, ciptaan alam 12 Apostles merupakan pengalaman teristimewa.

Reka bentuk asli batu kapur yang setinggi 45 meter dari paras laut begitu mengagumkan. Kami terpegun sebaik melihatnya.

Siapa menduga bahawa tarikan itu tercipta 20 juta tahun lalu? Hari ini tinggal lapan 'Apostle' sahaja kerana yang lain sudah runtuh.

Keramahan penduduk, kelazatan makanan, Gunung Lake, Taman Haiwan Melbourne, pasar Victoria dan The Great Ocean Road terpahat indah dalam hati, menjadikan pengalaman seminggu di Melbourne begitu menyeronokkan.

Apatah lagi, percutian ini dilakukan khas buat meraikan hari jadi anak tersayang.

Selamat hari jadi, Bella!

  • Penulis ialah pegawai khidmat awam.

Kirimkan pengalaman melancong anda

ANDA baru pulang mengembara atau melancong dan mempunyai kisah serta foto menarik yang ingin dikongsi?

Halaman ini mengalu-alukan sumbangan sukarela anda.

Kirimkan pengalaman melancong atau lawatan anda ke luar negara dalam bentuk rencana kepada pengelola ruangan Kembara GAH menerusi e-mel bhgah@sph.com.sg. Tulisan anda sebaiknya mengandungi antara 550 dan 600 perkataan.

Gambar pula mesti dalam format .jpg dengan resolusi sekurang-kurangnya 300 dpi dan disertakan sekali penerangan (kapsyen) bagi setiap gambar.

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Try the new Halal Food Map