Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Guru sejarah 'Mr Raimi' tukar kulit jadi Inspektor Zainal

Jul 22, 2021 | 05:30 AM



DI sekolah, pelakon dan penulis naskhah teater, Raimi Safari, dikenali sebagai guru sejarah, Mr Raimi.



Di siaran televisyen Suria kini, beliau adalah Inspektor Zainal, pegawai polis era 1970-an dalam drama jenayah kembara masa, 'Krono'.



Inspektor Zainal didatangi anaknya Azfar (lakonan Erwin Shah Dawson), pegawai polis dari era masa kini, yang berpeluang menjenguk dunia silam bapanya di samping membantunya menghurai kes lama atas sebab-sebab tertentu dalam satu pengembaraan misteri.



Ketika dihubungi menerusi Zoom, Raimi, 34 tahun, yang mula menembusi pasaran televisyen menerusi drama 'Kopi Bujang' sekitar 11 tahun lalu, berkata:



"Saya sebenarnya tak sangka selepas empat atau lima tahun tidak berlakon, syarikat penerbitan masih lagi mengingati saya dan beri kepercayaan bagi saya menggalas amanah sebagai Inspektor Zainal.



"Saya yang bimbang kalau terasa kejanggalannya di set atau banyak terlupa keperluan lakonan atau payah menghayati watak besar dalam 'Krono' ini.



"Maklumlah, kali terakhir saya jayakan penerbitan Suria adalah menerusi drama '7 Hari' bersama Hannah Delisha."



Menurut Raimi, yang bermula sebagai pengurus pentas bagi penerbitan Teater Ekamatra, beliau bukan tidak diberi kesempatan berlakon secara tetap di kaca televisyen.



"Masalahnya saya mengajar sepenuh masa lantas tidak dapat memberi komitmen bagi projek lakonan televisyen yang memakan masa.



"Kebetulan, penggambaran Krono dibuat sewaktu cuti sekolah. Jadi, saya berpeluang masuk set semula setelah sekian lama 'berhabuk' kemahiran lakonan.



"Kadangkala terasa macam kurang pandai pula di set! Tapi saya berusaha berikan yang terbaik. Cabaran begitu terasa memandangkan ada adegan bergasak dalam drama ini.



"Ini kali pertama saya bawa watak polis dan peranan aksi. Alhamdulillah, Abang Faisal Ishak, selaku pengarah yang berpengalaman mengarah projek filem 'KL Gangster: Underworld', banyak membantu dalam memastikan aksi saya tampak realistik. Terima kasih juga kepada penyelia aksi nekad," sambungnya.



PENGGAMBARAN SEMBILAN JAM



Raimi akui tuntutan berlakon pada tengah malam di kilang dengan penggambaran selama sembilan jam menimbulkan kejutan juga buatnya yang sudah lama tidak merasakan pengalaman berlakon televisyen.



"Apabila jadi polis buat kali pertama, saya hanya boleh kenangkan zaman di Perkhidmatan Negara (NS) sahaja di mana saya ditugaskan sebagai polis pengawal pantai.



"Yang sama antara menjadi polis NS dengan polis di televisyen adalah kepentingan mencari bukti kes, menghurai kes dan kena marah dengan pegawai atasan," tambahnya.



Apakah pelajarnya menyedari beliau adalah pelakon televisyen dan pentas?



Raimi menambah:



"Kalau mereka bertanya, saya selalu berseloroh, di kaca televisyen tu, abang kembar saya!



"Namun, saya selalu tekankan kepada pelajar saya agar mencari berbilang hobi atau kemahiran yang boleh menggembirakan mereka agar tidak terbiar kebosanan.



"Pastikan ada perkara yang bermanfaat yang boleh dijadikan sandaran bagi masa depan atau mengajar mereka tentang empati pada orang lain. Empati penting bagi kita refleksi diri."



Beliau mula terkesan dengan dunia lakonan setelah menyaksikan Izatt Yusoff menjayakan pementasan teater 'Apa Nak Jadi, Jadilah'.



DETIK TIMBUL MINAT BERLAKON



"Saya dibawa Cikgu Melayu menyaksikan pementasan Teater Kami itu pada usia 15 tahun, di menengah tiga. Ia tentang anggota NS. Saya begitu terkesan dan merasakan betapa gahnya impak teater yang cukup berkesan di hati saya.



"Dari situ timbul minat mengetahui lebih lanjut tentang teater walaupun tiada cita-cita bergelar pelakon," jelasnya.



Raimi kini mengambil peluang berlakon dengan veteran seperti Azhar Nor Lesta, Keegan Kang, Lim Yu Beng dan Sani Hussin sebagai satu proses pembelajaran buatnya tahu perjalanan seni mereka yang disegani.



"Saya ingin tahu susah payah pelakon sepenuh masa. Tidak banyak bahan arkib tentang pelakon hebat kita yang kita temui. Sebagai seseorang yang suka membaca tentang sejarah dan pelajari sesuatu mengenainya, ini satu cara saya mengamati butiran bersejarah ini daripada pengalaman bersama veteran yang merendah hati dan tidak lokek ilmu," katanya.



Mengenai watak yang berkesan di hatinya sejauh ini, beliau yang juga anggota kolektif penulis naskhah teater Melayu, Main Tulis Group, berkata:



"Di atas sebab sentimental, saya sukakan watak saya dalam 'Kopi Bujang' dan 'Krono'. 'Kopi Bujang' menggandingkan saya dengan pelakon hebat, Haizad Imran, Fauzie Laily, Syed Azmir dan Hatta Said. Justeru, saya enggan mengecewakan mereka dengan lakonan hambar. Ia peranan pertama saya di televisyen.



"'Krono' pula projek kembalinya saya dalam dunia televisyen yang dapat saya jayakan mungkin lima tahun sekali kerana tugas guru.



"Akhir sekali, saya berlakon tiga minit sahaja dalam 'Firasat'. Namun, ujian bagi watak itu sangat berat. Saya berusaha beri yang terbaik, lebih-lebih lagi apabila berlakon dengan Yu Beng, nama besar di Singapura."



Krono disiarkan di Suria pada 10.30 malam setiap Khamis. Ia juga boleh ditonton di aplikasi meWATCH.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >