Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

GV8: Ilham 4 pagi berkeroncong bawa jaya buat Adibah; peserta dengan lautan kritikan, Fazley Yaakob, tersingkir

Dec 13, 2021 | 02:53 AM



IRAMA keroncong kreatif peserta Gegar Vaganza 8 (GV8), Adibah Noor, mengubah kesederhanaan pada lagu pop dansa Melly Goeslaw dan Ari Lasso, Jika, sehingga menawan hati juri tetap, Hetty Koes Endang.



Ditambah dengan kehadiran pelakon malar segar, Faizal Hussein, 54 tahun, yang tampil dengan wajahnya ditutup dan tangannya terikat pada kerusi bak mangsa culik, persembahan Adibah, 51 tahun, bak satu pementasan teater yang penuh saspens.



Ini merupakan kali kedua Faizal hadir mengiringi persembahan Adibah. Minggu lalu, beliau bak sang kekasih yang sudah pudar cintanya dan bersikap dingin pada persona pentas yang Adibah hidupkan menerusi lagu Adele, All I Ask.



Adibah dalam akaun TikTok menyatakan ilham yang Allah beri pada 4 pagi untuknya mengubah lagu Jika menjadi lagu keroncong merupakan sesuatu yang beliau syukuri. Doa pengikutnya saban hari yang mengiringi bak sistem sokongan dan pembakar semangat buatnya di gelanggang pertandingan turut dihargai.



Dalam konsert keempat GV8 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Ahad (12 Disember), wujud kesinambungan dan pertukaran peranan. Kali ini, giliran Adibah pula yang memberi layanan kejam buat Faizal dengan matanya yang dibeliak-beliakkan bak adegan filem seram.



Kreativiti Adibah dengan suaranya yang merdu membawa juri dan penonton terbang jauh dengan beliau menduduki tempat pertama kali ini dengan markah 78.1 peratus. 



Tempat pertama bagi konsert pertama dan kedua disandang Aliff Aziz manakala bagi konsert ketiga, Nikki Palikat, pula mengambil-alih kedudukan Aliff.



Secara umum, markah yang diberi juri bagi hampir semua peserta konsert keempat dengan tema seram atau 'Berdiri Bulu Roma Ku' itu nampak berkurangan dari biasa. Sama ada juri kian mempertingkatkan jangkaan dan bersikap lebih tegas dalam pemarkahan atau rata-rata peserta mengalami kesukaran mendendangkan lagu yang menjadi taruhan kali ini.



Nikki, 36 tahun, berada di tempat kedua dengan markah 76.6 peratus. Seperti biasa, beliau mengubah pentas GV8 menjadi bak satu muzikal gah. Minggu ini, Nikki ditemani penari yang menjadi 'zombi' bagi lagu band rok The Cranberries, Zombie.



Saingan terdekatnya, Suki Low, 30 tahun, pula mampu menyanyi sambil berbaring atas katil dalam lagu dramatik dan 'berhantu' Jampi, dendangan asal Hael Husaini. Suki di tangga ketiga peraduan dengan markah 75 peratus.



Aweera, 30 tahun, dengan lagu runut bunyi Lagenda Budak Setan, Bila Cinta, mula menampakkan taringnya di tangga keempat dengan markah 72 peratus.



Bintang legenda, Shidee, 62 tahun, pula mengejutkan ramai apabila masih 'berbisa' dengan lagu Broery Marantika, Hati Yang Terluka. Shidee meraih 69.1 peratus mata di tangga kelima.



Beliau mendapat pujian juri tetap, Datuk Syafinaz Selamat, yang mengatakan dirinya memiliki penjiwaan lagu yang baik sehinggakan apabila ditutup mata si pendengar, emosi yang terkait pada jalan cerita lagu yang dilantunkan 'sampai' dan menyentuh kalbu.



Kekecewaan mungkin dapat dirasakan oleh peminat Aliff, 30 tahun. Penyanyi asal Singapura ini  jatuh ke tangga keenam dengan 68,4 peratus mata, setelah mendendangkan lagu Slam, Jika Kau Rasa Getarnya.



Datuk Syafinaz Selamat yang prihatin dapat mengesan ada sesuatu yang mengganggu Aliff lantas menjejas mutu persembahannya. Apakah kehadiran penyanyi asal lagu ini, Zamani, mengganggu gugatnya kerana gementar? Moga Aliff dapat bangkit semula memukau perhatian peminatnya bagi konsert kelima.



Di tangga ketujuh adalah Azan Scan, 49 tahun, dengan lagu memperingati Allahyarham Sudirman Haji Arshad, Dir, nyanyian asal Rahim Maarof. Beliau menerima markah 68.1 peratus.



Duo Sa.Ya di tangga kelapan dengan markah 64.8 peratus selepas menyanyikan lagu klasik P. Ramlee, Getaran Jiwa.



Ani Maiyuni, 43 tahun, yang membawa lagu Datuk Seri Siti Nurhaliza, Lebih Indah, berada di tangga kesembilan dengan markah 57.8 peratus. 



Bandi Amuk, 54 tahun, yang menyanyikan lagu Iklim, Satu Kesan Abadi, pula di tangga ke-10 dengan markah 55.5 peratus.



Satu-satunya wakil Indonesia ke GV8, Upiak Isil, 35 tahun, yang didapati payah memenuhi jangkaan juri ketika menyanyikan lagu 'besar' Bunga Citra Lestari, Cinta Sejati, yang dijadikan runut bunyi filem Habibie & Ainun, pula di tangga ke-11, dengan 50.5 peratus mata.



Peserta yang banyak dikritik warganet, Datuk Fazley Yaakob, 43 tahun, dek vokal yang dikatakan persis untuk nyanyian karaoke atau hari keluarga, pula tersingkir dengan markah 50 peratus, di tempat ke-12.



Beliau merupakan peserta GV8 kedua yang disingkirkan selepas trio Nico G, minggu lalu.



Kata warganet, Aien, merujuk pada persembahan Fazley: "Tak sedapnya. I dahlah suka lagu Mahligai Syahdu ni. Berdarah telinga."



Sebilangan warganet, dengan pedasnya, pula berkata lebih baik Fazley yang merupakan cef selebriti kembali membiarkan dapurnya berasap sebab memasak adalah lebih baik buatnya daripada menyanyi.



Secara bersahaja, Fazley dalam kata-kata penutup tirai di GV8 berkata: "Bagi sesiapa yang tak nak saya terus menyanyi boleh ke Suka Sucre untuk lihat saya terus memasak."



Bagi konsert minggu kelima dengan tema 'Dulu Lain, Sekarang Lain', Adibah akan menyanyikan lagu Tulus, Gajah,



 Tema ini memerlukan artis 'otai' menyanyikan lagu generasi muda manakala penyanyi muda pula mengembalikan era kegemilangan lagu nostalgia.



Gajah adalah lagu tentang pemuliharaan gajah yang dikhuatiri pupus. Pencipta dan penyanyi lagu ini iaitu Tulus menyatakan lagu itu juga dicipta kerana sewaktu kecil, ramai yang menggelarnya 'Gajah' kerana kegempalan tubuhnya.



Nikki akan mendendangkan lagu Salamiah Hassan, Gelombang. 'Hit' klasik Abba, Dancing Queen, pula menjadi lagu taruhan Suki manakala rok klasik Bon Jovi, You Give Love A Bad Name, akan disampaikan Aweera.



Lagu 'pengantin baru', Haqiem Rusli, Lembah Kesepian, akan dilantunkan Shidee.



Aliff akan menyanyikan lagu Faizal Hussein, Memburu Impian. Mimpi, juga lagu Haqiem, akan disampaikan Azan Scan.



Sa.Ya pula bakal memberi sentuhan 'otai' pada lagu Sufian Suhaimi, Terakhir.



Lagu tular Budak Baru Nak Up (BBNU), Lia Aziz, Kucu Kuca, akan disampaikan Ani Maiyuni manakala Bandi akan mendendangkan lagu Naim Daniel, Purnama.



Upiak pula akan membawa anda susur jalan kenangan dengan lagu Datuk Sheila Majid, Pengemis Muda.



Nota: GV8 disiarkan di Astro Ria (Saluran Singtel TV 608) setiap Ahad mulai 9 malam.



 



 



 



 



 



 



 



 



 



 



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >