Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Harungi langkah demi langkah bagai lipatan 'origami'

Sep 4, 2020 | 5:30 AM
NAMIE RASMAN: Lagu 'Origami' ciptaannya merupakan perlambangan kehidupan yang perlu dijalani langkah demi langkah dan tidak sepi daripada ujian dan kegagalan persis seni melipat 'origami' yang menuntut kecekalan dan inisiatif diri. - Foto HISHAMTHAMC
NAMIE RASMAN: Lagu 'Origami' ciptaannya merupakan perlambangan kehidupan yang perlu dijalani langkah demi langkah dan tidak sepi daripada ujian dan kegagalan persis seni melipat 'origami' yang menuntut kecekalan dan inisiatif diri. - Foto HISHAMTHAMC -

HATI penyanyi dan penggubah lagu, Namie Rasman, terbuka mengharungi pengalaman baru.

Disifatkan sebagai pencinta jaz yang sentiasa teruja memburu ilmu, Namie, pemilik ijazah kepujian Kelas Pertama dalam Muzik Kontemporari dari Lasalle, pernah ke Finland tahun lalu.

Beliau menyertai program penempatan seni selama sebulan, Back To Basics, di institusi seni Arteles Creative Center sekitar desa terpencil dan usang di kota Hameenkyro.

Kini Namie, 29 tahun, yang juga guru muzik dan vokalis kumpulan The Jazz Djogets, muncul dengan 'single' terkininya, Origami.

Soalan (S): Apakah yang mencetuskan inspirasi bagi 'Origami'?

Namie (N): Rutin kehidupan, tabiat manusia dan tentunya jerih payah yang terasa apabila menghasilkan kerja tangan 'origami' (seni lipatan kertas yang berasal dari Jepun). Proses melipat kertas bagi kraf tangan ini sahaja sulit.

S: Apakah 'origami' ini satu perlambangan kehidupan?

N: Ya, melipat 'origami' seperti menjalani kehidupan langkah demi langkah. Kita ada langkah pertama, kedua, ketiga... sehinggalah lipatan 'origami' itu selesai dihasilkan atau dicorak menjadi sesuatu.

Anda boleh memilih bagi menyifatkannya sebagai setiap langkah yang diperlukan dalam mengecapi matlamat anda.

Biasanya, anda perlu rujuk pada senarai cara menyiapkan kerja seni 'origami'. Sayangnya, setiap keterangan yang diberi agak samar-samar. Kita sendiri yang perlu mengagak bagi menentukan apa yang harus dibuat bagi menyiapkan kraftangan ini.

Pastinya kita akan buat silap dan perlu mulakan semula proses melipat kertas ini daripada langkah pertama semula. Kadangkala ini dilakukan berulang-ulang kali tetapi tidak mengapa. Kalau kita hilang kesabaran dan terasa bingit, kita masih boleh cuba lagi.

S: Apakah anda suka menghasilkan 'origami'?

N: Ya, saya gemar menghasilkan 'origami' tetapi saya perlu menonton video YouTube atau membaca arahan yang diberi berkali-kali dan penuh teliti. Ia tidak mudah!

Sebelum mencipta lagu berdasarkan konsep seni lipatan 'origami', saya jarang melipat 'origami'. Kertas 'origami' banyak di rumah...cuma tak terbuat-buat.

Apabila mencipta lagu ini, saya mula gigih melipat 'origami' kerana saya juga ingin merakam bunyi lipatan kertas.

S: Apakah anda akan merakam 'single' Melayu selepas ini?

N: Pastinya ia satu kemungkinan. Sudah lama saya fikirkan tentang rancangan ini dan saya ingin menjadikannya kenyataan.

S: Nyatakan pengamatan anda tentang persada muzik Inggeris di Singapura.

N: Setiap minggu, kita melihat banyak lagu baru dihasilkan. Pemuzik Singapura saling menyokong satu sama lain setiap kali lagu baru dihasilkan. Saya lihat banyak kerjasama terjalin. Singapura mempunyai ramai bakat muzik dengan ciptaan lagu daripada genre berbeza walaupun kebanyakannya muzik pop.

Pendengar mempunyai banyak pilihan. Kerencaman bunyian muzik Inggeris Singapura terjamin. Pendengar di sini harus yakin dengan kerja seni yang kami, pemuzik tempatan, hasilkan. - HARYANI ISMAIL

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg