PELAKON veteran Singapura, Hashimah Hamidon, dikenali dalam kalangan rakan seninya sebagai wanita yang manis, lemah lembut, baik hati dan penyayang.
Lantaran itu, apabila beliau diberi watak wanita penggoda, peranan antagonis mahupun ibu garang, ramai yang payah menerimanya.
Namun seperti sebilangan besar pelakon lain, Hashimah enggan distereotaip dengan satu jenis watak sahaja bahkan suka mencuba peranan di luar kebiasaan dek cabaran yang datang bersamanya.
Di dalam komedi Kecoh Kahwin terbitan Millenia Motion Pictures yang boleh ditonton menerusi aplikasi meWATCH, Hashimah, yang berusia 50-an tahun, kembali sebagai ibu yang prihatin tentang jodoh tiga anak bujangnya.
Tanpa menghiraukan mereka sudah mempunyai pilihan hati, watak yang diterajui Hashimah iaitu Aminah, seorang ibu tunggal, tetap mahu menjodohkan mereka dengan bantuan seorang mak cik bekam bernama Nurul.
Ketika dihubungi Berita Harian, Hashimah berkata sebagaimana tajuk drama ini, set penggambarannya juga kecoh dengan gelak tawa pelakon dan kru belakang tabirnya.
"Pendek kata, memang tak kering gusi dibuatnya. Pelakon muda yang jadi anak saya macam Fauzie Laily memang kuat menyakat. Kemudian ada Harris Baba dan Zhin Sadali yang juga ramah dan mudah mesra. Mereka panggil saya 'mak' dan dah macam anak-anak sendiri.
"Kemudian ada Melissa Sidek sebagai Nurul yang memang kelakar. Sememangnya drama ini mengupas isu kebimbangan seorang ibu tunggal sebelum dia ingin ke Tanah Suci.
"Kalau boleh, Aminah memang nak anak-anaknya segera berumah tangga. Kalau si anak ada pilihan hati, ada yang dia suka dan ada yang dia tidak.
"Aminah boleh dikatakan mak yang belum dapat menerima menantu berbangsa lain. Anak bongsunya bercinta dengan gadis India. Kasihan Arif (watak yang dibawa Zhin). Si mak ni mengada-ngada dan tidak beri ruang mengenal hati budi temanita anaknya, Charanya. Tapi tengoklah kalau lama-lama, hatinya mula lembut," jelasnya.
Menurutnya, penonton dapat membayangkan bagaimana seorang ibu menangani tiga anak bujang dengan personaliti berbeza.
Si abang sulung yang bertindak sebagai bapa dalam keluarga ingin adik-adiknya mendengar katanya.
Anak kedua lebih pendiam dan sering ingin bawa hati pergi jauh dek kesedihan dan kemurungan.
Yang bongsu pula hadapi dilema bercinta dengan gadis India dengan nenek wanita itu juga menentang hubungan mereka.
Ditanya apakah peluang buat pelakon wanita Singapura berusia melebihi 45 tahun berlakon dalam watak mencabar tetap lumayan, Hashimah berkata:
"Sememangnya pada peringkat usia begini, saya kerap diberi watak ibu. Namun, saya tidak fikir watak pelakon wanita matang di Singapura ini terbatas. Ada peranan yang betul-betul memberi kesan.
"Di dalam drama Mengejar Mentari, saya adalah seorang janda. Pada ketika itu, saya sudah pun mencecah 50 tahun.
"Watak saya merupakan ibu dua anak yang tegas tetapi penyayang. Dia pula bertemu lelaki yang tidak diduga merupakan suami orang. Watak ini memang manja dan agak 'gedik' dari segi dia berjalan dan berbual.
"Pernah seorang penonton menyapa saya di luar dan menyatakan dia tidak suka watak itu kerana terasa ia bagaikan terkena pada batang hidungnya sendiri.
"Ada pula penonton lelaki yang kata watak saya tu menjadi. Walaupun tiada hasrat 'tackle' lelaki, tengok dia berjalan gelek-gelek sahaja sudah buat penonton merasakan dia janda penggoda.
"Bagi saya, sebagai pelakon, kita perlu buat tugasan rumah... perlu kaji keperluan watak itu. Dalam drama Jalan Ampas, saya jadi wanita yang hilang ingatan. Mujurlah dalam drama itu ada ramai pelakon veteran yang handal dan membantu seperti Abang S. Sahlan dan A. Mahadi. Dengan jalan cerita dan watak yang mencabar, sambutan yang diterima memang baik.
"Justeru, saya tidak terkurung dalam peranan ibu yang baik sahaja. Kadang jadi ibu yang garang dan menyusahkan anak juga."
Beliau bagaimanapun tahu kerana kebiasaan melihat dirinya lemah lembut, ada penonton yang tidak selesa menyaksikannya dalam watak antagonis.
"Tapi kita sebagai pelakon naklah cuba watak baru. Takkan semua watak baik-baik sahaja. Kita perlukan cabaran walaupun watak yang diberi memang jauh beza dengan personaliti kita," katanya.
Kalau disingkap semula perjalanan seninya, Hashimah yang bermula sebagai penari di Perkumpulan Seni pada usia 13 tahun enggan, tidak minat dan gentar berlakon.
"Kebetulan, pada masa itu, Perkumpulan Seni bakal mementaskan drama tentang gadis buta di Panggung Victoria untuk sajian Pesta Seni Singapura.
"Saya dipujuk untuk cuba berlakon sebagai watak utama itu. Gandingannya hebat-hebat. Ada Kak Hamidah Salim dan Abang M. Sarwan.
"Yang banyak beri dorongan adalah Allahyarham Bani Buang dan Allahyarham Md Noor Juri. Mereka minta saya turun latihan. Kerana cerita itu menarik, ia dipindahkan dari pentas ke televisyen. Saya masih 16 tahun lagi ketika itu," katanya.
"Sememangnya pada peringkat usia begini, saya kerap diberi watak ibu. Namun, saya tidak fikir watak pelakon wanita matang di Singapura ini terbatas... Tapi kita sebagai pelakon naklah cuba watak baru. Takkan semua watak baik-baik sahaja. Kita perlukan cabaran walaupun watak yang diberi memang jauh beza dengan personaliti kita."
- Hashimah Hamidon.