Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

12 Disember hari bahagia Erra Fazira, Mr E

Walau sudah lama selesa menyendiri, merpati dua sejoli ambil keputusan nikah bila fikir keperluan ada kawan bicara pada hari tua
Dec 2, 2025 | 8:53 PM
Erra Fazira, Mr E, Ezwan Zain, Kueh Cafe, naik pelamin, nikah
Erra Fazira (kanan) dan bakal suaminya, Ezwan Zain, atau Mr E, bukan terdesak menamatkan zaman solo mereka tetapi lebih melihat pada keperluan mencari teman berbicara pada usia mendatang. - Foto INSTAGRAM ERRA FAZIRA

Selepas 10 tahun bergelar ibu tunggal, pelakon serta penyanyi Malaysia, Erra Fazira, mengakui tidak mudah mengambil keputusan untuk kembali mendirikan rumah tangga dengan jejaka bergelar Mr E atau nama sebenarnya, Ezwan Zain.

Terdahulu, hubungan pasangan ini mula dihidu media apabila Erra memuat naik ucapan berbaur romantis kepada Mr E, yang juga pemilik rangkaian kedai makan, Kueh Cafe, pada Januari lalu (2025).

Bagaimanapun, kata Erra atau nama sebenarnya, Fazira Wan Chek, 51 tahun, keputusan itu dibuat bukan kerana terdesak, sebaliknya ingin teman hidup untuk mengharungi usia mendatang.

Beliau turut menambah apabila usia semakin meningkat, keinginan untuk mempunyai seseorang yang boleh menjadi tempat bercerita, berbincang dan berkongsi rasa kian menebal dalam hati.

“Kalau nak tunggu yakin, mungkin akan banyak bisikan yang menakutkan.

“Tambah pula, saya sudah selesa hidup sendirian.

“Mr E pun sudah hidup ‘solo’ selama lapan tahun, dan masing-masing sudah ada rasa selesa. 

“Tapi akhirnya, fitrah manusia di peringkat usia seperti ini mahu berteman. Jadi, biarlah kami buat cara yang betul dan diredai.

“Kami bukan di dalam keadaan terdesak mencari pasangan, tapi lebih kepada memikirkan jangka masa panjang untuk berteman dan jadi kawan bicara di hari tua kelak,” kata Erra kepada laman web mStar.

Beliau berkongsi perkara tersebut kepada mStar ketika ditemui pada sidang media pelancaran lagu Cinta Abadi 2025, yang diadakan di Courtyard by Marriott, Kuala Lumpur, Malaysia, pada 2 Disember.

Lagu klasik tersebut dilancarkan pada 1994 melalui album pertama Erra berjudul Erra Fazira, dengan lirik lagu ditulis oleh Habsah Hassan, serta mendapat sentuhan gubahan komposer, Razman.

Watch on YouTube

Ia kemudian disegarkan semula pada 2025, dan dilancarkan di bawah naungan label rakaman, Sony Music Entertainment Malaysia.

Watch on YouTube

Di samping itu, Erra turut mengumumkan tarikh pernikahannya dengan Mr E, yang akan berlangsung pada 12 Disember ini.

Menurutnya, kededua belah keluarga sudah pun bertemu sekitar enam minggu lalu, dan menghantar cincin tanda dalam satu majlis sederhana.

Penyanyi lagu Jendela Hati itu meluahkan harapan agar perkahwinan kali ini menjadi pelengkap dan penutup paling indah dalam hidupnya.

“Sebelum membuat sebarang keputusan, kami telah berbincang terlebih dulu. Apabila semuanya sudah yakin dan pasti, barulah kami berjumpa keluarga masing-masing.

“Saya harap perkahwinan ini yang terbaik, terindah dan penutupnya,” katanya lagi.

Ditanya tentang reaksi anak tunggalnya, Engku Aleesya Engku Emran, 16 tahun, terhadap perkahwinan baru ini, Erra memaklumkan beliau tidak menerima sebarang halangan daripada cahaya matanya termasuk bakal anak tiri.

“Alhamdulillah, kededua anakanda kami sangat positif. Mereka bersyukur, malah ikut saja perancangan kami.

“Tiada bantahan daripada anak-anak.

“Anak saya pun sudah berusia 16 tahun, jadi semuanya sudah difikirkan. Maka, atas pendekatan itu, kami ambil keputusan untuk bersatu,” ujar Erra.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg