Subuh
5:35
Syuruk
6:58
Zuhur
1:05
Asar
4:30
Maghrib
7:10
Isyak
8:24

Cerah masa depan seni, walau gelap daya penglihatan

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Gaya Hidup
31
0

Cerah masa depan seni, walau gelap daya penglihatan

Jul 28, 2020 | 05:30 AM

Usaha memperkasa golongan kurang upaya dengan memberi mereka landasan berseni digiatkan menerusi pesta teater belia M1 Peer Pleasure anjuran ArtsWok Collaborative dengan kerjasama Esplanade. Memberi kaum Hawa ruang menyampaikan apa yang terbuku dalam hati menerusi seni pula menjadi matlamat pesta wanita N.O.W. 2020 anjuran T:>Works (dahulu dikenali sebagai TheatreWorks). Apakah yang dirasakan bakat seni kurang upaya ataupun pengasas pesta seni daripada wanita buat wanita di tengah-tengah mengadakan festival dalam kesuraman Covid-19? BERITA HARIAN melaporkan.


DALAM keadaannya yang cacat penglihatan, bakat seni kurang upaya, Encik Muhammad Hidayat Rahmatullah Mohamad Yaakob, memerlukan ruang pergerakan yang bebas daripada hambatan prop atau kerusi meja.

Ini lebih-lebih lagi apabila beliau perlu menghayunkan tubuhnya ataupun menari ikut rentak muzik K-Pop sebagaimana yang bakal dipersembahkan dalam sketsa Frozen.Broken. Poof! menerusi aplikasi Zoom pada 8 malam, 4 Ogos ini.

Frozen.Broken.Poof! merupakan antara empat kerja seni dalam siri pementasan What If yang disajikan khas sempena pesta teater belia, M1 Peer Pleasure, anjuran ArtsWok Collaborative dengan kerjasama pusat seni Esplanade - Teater Di Persisiran.

Ia berlangsung dari 4 hingga 16 Ogos ini.

Dalam dunia kini bertarung dengan wabak Covid-19, What If membayangkan refleksi individu tentang ketidaktentuan yang dihadapi setiap hari.

Tahun ini, tumpuan pesta teater belia ini adalah mengupas mengenai isu kurang upaya. Antara soalan yang diutarakan ialah 'Bagaimana individu dengan tahap keupayaan berbeza ini tinggal bersama hari demi hari di Singapura, apa lagi dalam pandemik Covid-19 melanda'.

Encik Hidayat, 31 tahun, seorang jurupandu pada pameran Dialogue In The Dark yang memberi ruang orang ramai berasakan pengalaman hidup dalam suasana serba kegelapan, juga terlibat dalam satu persembahan audio, Fetching Sanctuary, pada 8 malam, 11 Ogos ini.

Ketika dihubungi baru-baru ini, Encik Hidayat, anak sulung tiga beradik, begitu teruja dengan pengalaman baru yang diraih dalam bidang seni.

Sebelum ini, beliau adalah anggota pasukan 'goalball' nasional, permainan lempar bola ke dalam gawang, tiga orang sepasukan, yang dikhususkan buat olahragawan buta.

Berkat kemahiran dalam sukan yang lasak itu, Encik Hidayat telah mewakili negara ke Malaysia dan Thailand.

Katanya: "Saya hargai setiap kesempatan mempelajari kemahiran baru. Kali pertama terlibat dalam seni adalah apabila saya diundang menyertai kumpulan 'cajon' (alat muzik paluan seperti blok kayu yang berasal dari Peru) bagi Concert In The Dark, enam tahun lalu.

"Namun, kali ini dalam What If pula memberi ruang saya meneroka teater pergerakan dalam suasana saya sendiri tidak tahu bagaimana reaksi penonton sebab ia dikendalikan dalam Zoom. Saya di rumah, penonton pun di rumah. Tak dapat nak dengar tepukan mereka, apa lagi meninjau reaksi mereka sebab saya tak mampu melihat."

Teras pementasan ini bagi Encik Hidayat adalah menjadi diri sendiri dalam apa jua keadaan yang mencengkam atau tidak menentu.

Semangat tidak putus asa harus ditanam dalam jiwa baginya yang dilahirkan sempurna tetapi hilang daya penglihatan secara beransur-ansur selepas satu kemalangan ketika bermain bola sepak pada usia 14 tahun.

Seorang teman tersepak bola yang mengena pada bahagian kepala Encik Hidayat. Kecederaan yang dialami menjejas urat saraf otak yang berkait dengan urat mata.

Walaupun awalnya tidak begitu merasakan kesannya, pada usia 19 tahun, beliau hilang daya penglihatannya 100 peratus pada saat genting menduduki peperiksaan modul terakhir kursus Diploma Pengajian Pengurusan di Institut Pengurusan Singapura (SIM).

Diploma yang menjadi idaman tidak dapat digenggam dengan Encik Hidayat beralih mengambil kemahiran mengurut yang disediakan Persatuan Cacat Penglihatan Singapura. Beliau menjadi tukang urut selama setahun sebelum beralih menjadi jurupandu Dialogue In The Dark, tugasnya hingga hari ini.

"Tentunya ada detik saya tertanya-tanya mengapa kemalangan itu terjadi dan meluputkan daya penglihatan saya. Saya mengambil masa menyesuaikan diri saya apabila perlu menggunakan tongkat dan mengorientasi diri saya bergerak tanpa deria melihat.

"Mujurlah, agama menjadi sandaran saya. Saya sempat ke Indonesia bagi pengajian agama selama hampir dua tahun. Saya memujuk hati saya dan reda dengan ketentuan Allah. Saya tidak pun menyimpan dendam kepada teman yang menyebabkan kemalangan ini berlaku walau beliau rasa bersalah dan berulang kali meminta maaf.

"Saya ingin menjalani kehidupan saya dengan penuh hikmah dan semangat positif. Misi saya mencari nafkah buat keluarga seperti orang sempurna lain yang bertugas sebagai amanah dan ibadah. Saya terima ketentuan Allah dan hanya memberikan yang terbaik.

"Malah, saya tersentuh dapat menyuntik keinsafan dan kesedaran dalam diri pelajar seawal pada peringkat sekolah rendah yang mengunjungi pameran Dialogue In The Dark.

"Yang menyejukkan hati, lebih ramai murid sekolah rendah berbanding yang lebih dewasa, memberitahu saya, mereka bersyukur dapat melihat dan ingin menjalani hidup mereka penuh manfaat selepas menghadiri pameran ini," katanya yang ingin menajamkan kemahiran dalam seni lakonan suara selepas ini.

Beliau juga ingin mempelajari tentang realiti maya (VR) dan kaitannya dengan alam nyata - bagaimana kemungkinan ia berpotensi menggerakkan minda individu cacat penglihatan melihat dunia yang indah.

  • Tiket $5 bagi setiap sketsa dalam 'What If' boleh ditempah menerusi laman Sistic.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3