SEKITAR 35 tahun, kumpulan rok asal Johor Bahru, Lefthanded, muncul di Akademi Polis (Thomson Road) di Singapura bagi satu ‘gig’ yang tidak dapat dilupakan anggotanya hingga ke hari ini.
Apa tidaknya? Akademi yang menjadi ruang latihan pegawai polis itu jarang dikaitkan dengan konsert rok.
Pada Sabtu (7 Mac) pula, Lefthanded sekali lagi mencipta sejarah di Singapura apabila meraikan ulang tahunnya yang ke-40 di satu lokasi unik dan nostalgik iaitu Pawagam Capitol.
Ini merupakan kali pertama gegaran konsert rok Melayu kedengaran di pawagam yang diubah elok semula menjadi sebegitu indah tanpa melenyapkan nostalgianya.
Sebelum ini, acara Melayu yang pernah berlangsung di pawagam itu adalah tayangan perdana Revenge of the Pontianak serta tayangan filem klasik Cucu Datuk Merah.
Dapat dikatakan konsert tiga jam (tempoh yang tidak diduga peminat ibarat satu bonus besar), Lefthanded Live In Singapore, yang turut menampilkan ‘Sifu’ band tersebut, Datuk Ramli Sarip, banyak menyingkap perjalanan seni band legenda itu serta asam garam sebagai pemuzik.
Kalau dikatakan dalam jiwa ramai ‘Mat Rok’ ada taman, saya setuju kerana di sebalik sajian beberapa lagu rok yang kuat bedentam-dentum bunyinya, wujud lirik ketuhanan, mencari diri, ukhwah persaudaraan dan kehilangan orang tersayang dalam lagu-lagu Lefthanded.
Kata-kata penuh hemah Datuk Nash selaku penyanyi Lefthanded juga menyentuh kalbu – tentang kesyukuran, usaha menjadi insan lebih baik dan himpunan doa buat teman-teman yang sudah tiada.
Ingatan pada anggota Lefthanded yang sudah tiada – gitaris Abdul Samad Mian (meninggal dunia pada 2008); pemain dram Abdul Rahman Othman (Man Dayak yang meninggal dunia pada 2016) dan vokalis Syed Azlan Syed Abu Bakar (Arab yang meninggal dunia pada 2016), sentiasa diluahkan Nash sepanjang konsert.
Konsert bermula dengan dendangan puisi penggiat seni setempat, Rafaat Hamzah.
Nash, 60 tahun, mengambil-alih pentas dengan sajian lagu-lagu menggamit memori.
Lagenda Cinta, Sudi-Sudikah Dikau, Ku Kehilangan Cinta 3 Dimensi dan Lanun berkumandang.
Walaupun rambut panjang mengurai Nash sudah lama ditebas, jiwa rok dan vokal bertenaganya masih tidak mengecewakan.
Dibukanya satu persatu perjalanan seni band yang dimulakan pada 1979 itu. Nama ‘Lefthanded’ itu sendiri diraih sempena gitaris tangan kidal, Man Kidal, 57 tahun, yang memiliki bakat luar biasa dan sentiasa tersenyum di pentas dengan lembut tutur katanya.
Nash bercerita tentang bagaimana Man Kidal yang dilahirkan di Singapura awal-awalnya berjuang demi mempertahankan Lefthanded – bermain gitar tanpa henti selama lapan jam sehari di tepi tangga sebuah rumah dengan isterinya gigih mengirim makanan buatnya.
Ini merupakan persembahan pertama Nash bersama Lefthanded di Singapura selepas dua dekad. Sinergi mereka sebagai sahabat dalam peralanan muzik masih terasa.
Ku Di Halaman Rindu, Tiada Lagi Kidungmu, Debunga Wangi, Kenangan Bersamamu dan Seruan menyentuh kalbu ramai yang dewasa dengan lagu-lagu ‘rok kapak’ penuh nilai puitisnya.
Sambil mengenang yang sudah tiada, ia membuat nostalgia zaman persekolahan kembali menerawang.
Apabila Ramli mengambil-alih pentas, bahang konsert semakin terasa. Beliau bercerita bagaimana Lefthanded adalah antara band legenda yang masih wujud di Nusantara, memiliki nilai persembahan dan identiti unik serta harus meneruskan perjuangan di persada seni serantau.
Pada usianya yang mencecah 67 tahun, tenaga Papa Rok masih meluap-luap dengan respons penonton juga tidak putus dengan beliau mendendangkan lagu-lagu seperti Perjalanan Hidup, Teratai, Batu, Kamelia, Sejuta Wajah dan Jikalau Berkasih.
Beliau turut berkongsi kisah tentang kehilangan cucunya yang menderita penyakit barah lantas terilhamlah lagu Satu Tidur Yang Panjang.
Ramli dan Nash kemudian berduet dalam lagu Semangat Lamina yang tercipta sebagai mengenang peristiwa Iraq melanggar Kuwait.
Empat dekad perjalanan seni Lefthanded memang penuh makna. Lagu yang disajikan bukan setakat kisah cinta dua insan tetapi membuka ruang buat peminat menghayati kesyahduan menyerahkan segalanya kepada Yang Maha Esa.
Ada kisah kehilangan, ada kisah keinsafan, ada kisah perjuangan cinta mahupun membanteras serangan ‘lanun’ cetak rompak.
Nash juga tidak lupakan sahabat-sahabat Singapuranya seperti penggubah lagu, S. Atan; pemain bola sepak Malek Awab dan Fandi Ahmad serta pemuzik Art Fazil.