Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hiburan
39
0

ULASAN KONSERT

Konsert ‘Imbas Kenangan Lalu Fredo’ buai jiwa, cuit hati

Mar 07, 2020 | 06:50 PM



MESKIPUN dirinya lebih dikenali sebagai penyanyi lagu-lagu ‘jiwa retak’ dan patah hati seperti Kenangan Lalu dan Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta, penyanyi legenda Alfredo Vilenguez juga adalah penghibur yang kaya jenaka spontan.



Pecah-pecah perut penonton di acara Konsert Imbas Kenangan Lalu Bersama Fredo di Studio Resital Esplanade dibuatnya apabila sajian hiburan tanpa henti selama sejam setengah disajikan pada Jumaat (6 Mac).



Fredo, 69 tahun, meniru gaya beberapa penyanyi Barat seperti Michael Jackson, Dionne Warwick, Tina Turner, Bee Gees dan Kenny Rogers ketika menyanyikan lagu perpaduan manusia serata dunia dalam misi bantuan, We Are The World.



Malah, beliau turut membayangkan seandainya pelawak popular, Jerry Lewis dengan gerak lucunya yang tidak boleh diam turut menyanyikan lagu kemanusiaan itu.



Pendek kata, ramai yang menyaksikan acara tersebut termasuk suami Presiden Halimah Yacob, Mohamed Abdullah Alhabshee, mantan Anggota Parlimen Encik Zainudin Nordin dan bintang Gegar Vaganza 6 (GV6), Jatt Ali, terhibur menyaksikan persembahan Fredo yang ditemani band pengiringnya, The Flintstones.



Fredo yang nama Islamnya adalah Mohd Amani bahkan mengejutkan ramai peminatnya yang membesar dengan lagu-lagu solo beliau mahupun ketika bersama The Flybaits.



Pertama, vokalnya masih sama meskipun hampir mencecah usia 70 tahun. Bab lupa-lupa lirik diabaikan sahaja sebab sudah meningkat usia. Lagi pun, ia tidak ketara sehingga menjejas tumpuan penonton.



Sebagaimana kata seorang penonton, Cik Rasyiqah Mohd Din, 55 tahun, seorang setiausaha:

“Fredo memang bintang malar segar. Tenaga vokalnya kalahkan anak muda 30-an tahun. Saya memang minati suara beliau yang unik, nyaring lagi ‘ada jiwa’.”



Kedua, lagu-lagu sedih yang beliau nyanyikan memang menusuk kalbu.



Pastinya ada yang menitiskan air mata ketika mendengarnya dengan penuh penghayatan mendendangkan lagu Kenangan Lalu, Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta dan Kesan Kenangan Lalu II.



Teringat kisah lama mungkin.



Syukur melihatnya masih ligat menari, menyanyi dan mengusik orang ramai. Misalnya, ketika beberapa orang datang lewat dan sedang meniti anak tangga ke tempat duduk mereka, Fredo dengan selamba berkata:


“Tuan-tuan dan puan-puan, perkenalkan...inilah penyanyi latar saya!”



Sebelum ini, Fredo memberitahu penulis beliau diserang kelemahan otot pada wajahnya yang dipanggil Bell’s Palsy pada 2014. Bahagian kanan dan kiri wajahnya terjejas dengan dirinya dirawat di Hospital Alexandra (Singapura).



Pertuturannya juga terjejas lantas menghambat kejelasan sebutan liriknya seakan-akan kata-katanya tertelan.



“Nasib baik, buat aktiviti muzik dan menyanyi beri Fredo semangat dan aktif pada usia hampir 70 tahun. Kalau tidak, saya dah jalan senget macam ni,” ujarnya berseloroh sambil berjalan terincut-incut.



Persembahan itu turut membawa penonton mengimbas semula era manis 1980-an di mana lagu-lagu jenaka turut disajikan The Flybaits seperti Senandung Irama dan Joget Perkelahan.



Fredo kemudian memanggil sahabat karibnya, Horace, dari kumpulan The Flybaits untuk sama-sama menyanyikan lagu Senandung Irama yang disisipkan dengan dendang rakyat Chan Mali Chan dan Hello-Hello O-Papaja.



Beliau memetik bes memainkan irama ikonik Guns N’ Roses, Sweet Child O’ Mine mahupun lagu disko Wild Cherry, Play That Funky Music.



Ukhwah kekeluargaan begitu terasa apabila isterinya yang penyayang, Suzlynna Datuk Mustapha Ma’arof, juga di pentas, menyanyi bersama lagu cinta Deddy Dores dan Mayang Sari, Jangan Pisahkan.



Beliau memastikan segalanya yang diperlukan Fredo, dari air galian hingga kot baru dapat disediakan bila diperlukan.



Anak remajanya juga memberi sokongan di ruang penonton, kadangkala menyanyi bersama bapanya.



Apa lagi yang diperlukan daripada seorang bintang legenda? Tiada apa-apa kecuali penghargaan sewajarnya dengan memberinya ruang bertemu dan menghibur peminat seperti dahulu.



Bagi Fredo yang kini menetap di Kuala Lumpur, penulis yakin bak lagu Joget Perkelahan, lirik ini bermain di mindanya:



“La lalala...gembiranya hatiku... teman lama berjumpa pula...kenangkan masa yang lalu... Bergurau senda...bersama-sama...hiburkan hati yang pilu...”




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >